Oleh pada 11 Jul 2019 kategori

Sewaktu berlakunya Perang Dunia Kedua (WWII) pada era 1940-an, negara kita juga tidak terlepas daripada terkena bahangnya. Antara pertempuran terpenting ialah Pertempuran Jitra atau Battle of Jitra pada 11 Disember 1941.

Sebahagian dari Pillboxes yang masih terdapat di Jitra. Kredit Zafrani Arifin

Ini kerana Kedah adalah benteng utama dan pertahanan awal tentera British dalam mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun yang menyelinap masuk melalui jalan darat selepas mendarat di Songkhla, Thailand.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada 4 Disember 1941, Lt. Jeneral Yamashita, Panglima 25 Pemerintahan Medan Tentera Darat Jepun mengetuai bala tentera Jepun yang mempunyai kekuatan sebanyak 25,000 anggota. Mereka berlepas dengan 18 buah kapal pengangkutan dari Indo-China menuju Thailand.

Pada 7 Disember 1941, armada kapal tentera laut Jepun telah berpecah untuk mendarat serentak di Songkhla, Patani dan Kota Bharu. Pada mulanya, tentera Jepun yang mendarat di Songkhla telah dihalang oleh Polis Tentera Thailand. Setelah berunding, tentera Jepun dibenarkan mendarat dan bersiap sedia untuk menuju sempadan Tanah Melayu.

tentera jepun berarak

Tentera British telah pun melakukan persediaan awal untuk menghadapi serangan tentera Jepun dengan membina 26 buah kubu pertahanan di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar. Pembinaannya itu dirancang oleh Mejar Jeneral William Dobbie dan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.

Pada awal Disember 1941, pihak British membuat persediaan akhir sebelum ketibaan tentera Jepun. Mereka menumpukan dua jalan utama menuju ke Thailand. Namun, pertahanan British menghadapi beberapa masalah seperti hujan lebat selama empat hari yang membuatkan laluan kurang lancar, kubu dipenuhi air dan banyak unit sedang sibuk menjalani latihan Operasi Matador.

British juga cuba melengahkan pergerakan tentera Jepun dengan bergerak ke utara melalui Changlun. Pada 8 Disember, British menghantar pasukan perlindungan udara dan mengebom pergerakan tentera Jepun yang sedang mendarat. Jepun membiarkan keadaan itu sehingga semua kelengkapan selamat mendarat dan membuat serangan balas.

peta kedudukan tentera british di jitra

Peta kedudukan tentera British di Jitra

Pada 9 Disember 1941, lebih 500 pesawat udara Jepun yang diketuai oleh Lt. Jen. Sugawara yang berpangkalan di Indo-Cina telah berlepas ke Tanah Melayu. Mereka menyerang pangkalan udara di Alor Setar sehingga pangkalan itu terpaksa ditutup. Pesawat Buffolo milik British dan Australia begitu daif dibandingkan pesawat Mitsubishi Zeros milik Jepun dan gagal mempertahankan ruang angkasa Tanah Melayu.

Sementara itu di utara sempadan Thailand, Lt. Kol. Saeki memandu sendiri kereta kebal bersama 300 lagi anggota tentera untuk bertembung dengan pasukan British yang datang dari Changlun. Pertempuran yang berlaku pada waktu tengah malam 10 Disember itu memihak kepada Jepun dan merupakan kekalahan pertama British.

Menurut seorang pegawai tentera British, keadaan taktikal mereka amat daif dan terpaksa berundur semula ke Changlun manakala pasukan di sebelah kiri di Perlis juga terpaksa berundur ke Kodiang. Ini membuatkan Jepun dengan mudah melintasi sempadan Tanah Melayu.

battle of jitra 601

Pada 11 Disember, pertempuran berlaku di Changlun antara tentera Jepun dan pasukan pelindung British yang terdiri daripada 1/14 Regimen Punjab. Mereka yang sepatutnya mempertahankan Changlun sehingga subuh 12 Disember akhirnya kalah setelah empat jam bertempur.

Dari situ, kereta kebal Jepun terus mengetuai serangan terhadap kedudukan 2/1 Gurkha di Asun. Jepun menyerang secara berdepan dan juga dari sebelah sisi. Dalam keadaan taktik serangan yang tidak diduga ini, askar Gurkha bertempiaran lari melalui hutan dan Jepun terus mara ke Jitra.

Di Jitra, terdapat satu jambatan di Manggol dan merupakan laluan strategik bagi pengunduran tentera British dan kemaraan tentera Jepun. Kerja pemasangan alat letupan pada jabatan itu dilakukan untuk memperlahankan kemaraan Jepun.

jambatan manggol

Namun, kesilapan telah berlaku apabila satu pasukan perlindungan di bawah 6 Briged diperintahkan berundur ke Jitra. Kerana menyangka ia adalah tentera Jepun yang sedang mara, pasukan pertahanan yang berada di Manggol telah meletupkan jabatan itu. Akibatnya sejumlah kenderaan pengangkutan beserta tujuh meriam kereta kebal dan empat meriam laras tinggi terpaksa ditinggalkan di seberang jabatan Manggol itu.

Pada waktu senja, tentera Jepun telah masuk di sebelah timur jalan Jitra-Changlun dan mula mengasak pertahanan kanan yang diduduki oleh 2/9 Jats dan 1st Leicesters. Jepun dengan mudah mematahkan pertahanan British dan pada jam 8.30 malam, kereta kebal Jepun menuju ke pusat pertahanan British. 

Di Jitra, pasukan tentera Jepun seolah-olah tidak diberi tentangan langsung oleh tentera British. Pada 12 Disember, Jeneral Murray-Lyon yang sepatutnya mengepung kedudukan Jepun diberitahu tentang kehilangan dua batalion dalam pertempuran sehari sebelum itu.

mejar jeneral david murray lyon

Jeneral Murray-Lyon (kanan)

jeneral kawamura jitra

Jeneral Kawamura

Dalam keadaan ini, Jeneral Murray-Lyon meminta izin kepada Panglima Malaya Command melalui Markas 3 Kor untuk berundur dari Jitra dan membuat pertahanan di Gurun.

Di pihak Jepun pula, Mejar Jeneral Kawamura memerintahkan Rejimen 41 Infantri dan Regimen 11 Infantri menyerang kawasan barat dan timur jalan utama di Jitra. Ini menyebabkan berlakunya pertempuran yang amat hebat. Pasukan tentera British diasak teruk dan menjelang jam 3 petang, tembak-menembak dan letupan berhenti.

Pada waktu tengah malam pula, tentera Jepun membuat serbuan terhadap jambatan Sungai Bata tetapi berjaya diusir oleh 2/2 Regimen Refal Gurkha. Askar Gurkha kemudian meletupkan jambatan itu sebelum berundur. Pasukan 2/6 Regimen Refal Gurkha adalah unit terakhir yang meninggalkan Jitra.

kereta kebal jepun 6

Pada pagi 13 Disember 1941, Jepun akhirnya berjaya menguasai pekan Jitra dan merampas pelbagai peralatan yang ditinggalkan oleh British. Ramai tentera British terkorban dalam peristiwa ini dan hanya 50 orang tentera Jepun sahaja yang maut.

Beberapa pengajaran penting dalam sejarah Pertempuran Jitra 1941 dapat diambil sebagai teladan. Jepun berjaya mengalahkan British dengan mudah kerana mempunyai perancangan yang rapi dan berkesan walaupun jumlah kekuatan British jauh lebih besar daripada mereka.

Selain itu, sikap sombong British yang terlalu yakin akhirnya memakan diri sendiri. Mereka yakin bahawa pertahanan di Jitra mampu bertahan selama tiga bulan tetapi tewas setelah hanya 3 hari sahaja. British juga menyangka Jepun akan mendarat di sepanjang pantai di Pekan, Pahang hingga ke Mersing, Johor.

tentera jepun seronok banzai

Kerana kesilapan ini, pergerakan tentera Jepun menawan Tanah Melayu telah berjalan lancar mengikut jadual. Rancangan Jepun ialah untuk mara ke Singapura dalam tempoh 60 hari, semuanya mengikut jadual kecuali menyeberangi Sungai Perak yang sepatutnya dilakukan pada 15 Disember tetapi ia berlaku pada 26 Disember.

Malah, pendudukan Jepun di Kuala Lumpur berlaku pada 11 Januari 1942 iaitu 3 hari sebelum jadual. Sekiranya pertahanan di Jitra dapat bertahan lebih lama, mungkin sejarah Tanah Melayu akan berbeza pada hari ini.

Kubu Pillbox yang masih ada di sekitar Jitra Kedah

Bagi anda yang tinggal di Jitra atau daerah berdekatan seperti Alor Setar dan Padang Besar, anda pasti selalu melihat kubu-kubu ini kan? Jagalah kubu ini dengan baik. Bersihkan ia agar ia terjaga dan utuh sepanjang zaman.

Kubu Pillbox juga boleh dikategorikan sebagai tinggalan sejarah yang sangat berharga pada masa sama sebagai tugu peringatan kepada generasi hadapan memperingati perjuangan nenek moyang kita bergadai nyawa menentang penjajah.

kubu pillbox jitra kedah perang battle of jitra 1

Kubu pertahanan di Jitra Kedah. Kubu ini digunakan untuk menghalang serangan Jepun yang datang dari Thailand. Kredit Zafrani Arifin

british pillbox jitra line pulau ketam kedah ww2

Pillbox di Pulau Ketam Kedah (Jalan Kodiang menuju ke Perlis). Kredit Zafrani Arifin

gambar perang jitra kedah battle of jitra

Gambaq lama di Pillbox Jitra. Kredit Zafrani Arifin

10479745 10202402343213678 6886501217994296621 n

Pillbox Pulau Ketam

pillbox kubu hutan kampung kedah ww2

Pillbox di Hutan Kampung Kedah

keadaan di dalam kubu pillbox perang ww2 kedah

Keadaan di dalam pillbox. Kredit gambar Afiq Faisal

Rujukan:

1. Harian Metro

2. Dark of Mystery

3. Kosmo




Hakcipta iluminasi.com (2017)