Terdapat dua musim di negeri Kedah iaitu musim hujan dan juga musim kemarau. Musim hujan bermula dari Mei sehingga Oktober. Manakala musim kemarau pula biasanya bermula dari November sehingga April.
Pada zaman dahulu, orang-orang kampung menamakan musim hujan sebagai musim barat kerana angin dari barat meniup ke darat serta membawa hujan. Musim kemarau pula disebut sebagai musim timur kerana anginnya datang dari arah timur.
BESARKAN TEKS A- A+
Pesawah dan nelayan dari Kedah membahagikan musim-musim ini kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil, dikenali sebagai "Bulan Piama". Terdapat 12 bulan piama dalam setahun tetapi bilangan harinya sedikit berbeza berbanding kalender yang kita gunakan sekarang.
Bulan Piama yang pertama disebut sebagai "Bulan Sa", bulan kedua pula sebagai "Bulan Dua" dan seterusnya "Bulan Tiga sehinggalah "Bulan Dua Belas". Setiap bulannya mempunyai ciri-ciri berbeza dari bulan lain kerana berlaku perubahan-perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, arah angin, cuaca, tabiat haiwan dan kedudukan bintang dalam tiap-tiap bulan piama itu.
Dalam kiraan Bulan Piama, tarikh Hijrah tidaklah boleh digunakan. Bulan Piama lebih hampir dan selari dengan bulan-bulan astrologi Bintang Dua Belas di mana Bulan Sa hampir berlengkap dengan Sagittarius. Bulan Piama dalam tarikh Masihi boleh dilihat dalam jadual berikut :
Seperti yang diterangkan, setiap bulan dalam Bulan Piama ini mempunyai ciri-ciri berbeza kerana berlaku perubahan-perubahan tertentu. Berikut adalah penerangan ringkas tentang perubahan yang berlaku dalam setiap Bulan Piama itu.
Bulan Sa
Berlakunya hembusan angin selang seli yang mengelirukan. Kadang kala angin timur bertiup di sebelah pagi manakala angin barat di sebelah petang. Orang menyebutnya sebagai "Sembang Timur dan Sembang Barat" kerana kedua-duanya berbalas-balas sama kencang seperti orang sedang bersembang.
Apabila angin timur menang, maka bermulalah bulan pertama dalam kiraan piama orang-orang kedah yang dipanggil sebagai Bulan Sa. Ada kalanya berlaku hujan yang tidak berhenti selama 44 hari digelarkan sebagai "Piama Hujan 44" sehingga masuk ke Bulan Dua.
Pada penghujung bulan ini, buah kendong masak dan burung-burung akan memakannya. Ikan-ikan bendang pula akan berkejaran mencari jalan ke sungai kerana sawah akan kekeringan dalam musim kemarau yang akan menjelang. Padi tak boleh ditanam lagi di dalam bulan ini dan kalau ditanam juga pokoknya tak akan beranak dan kalau berbuah kelak isinya tak akan penuh.
Bulan Dua
Emping beras
Hujan masih turun berselang-seli dan angin timur masih bertiup kencang. Pada waktu ini penyu mula bertelur di pantai. Pokok padi sudah mengeluarkan buah yang boleh dibuat ringi atau emping. Orang yang menanam padi ringan jenis "Ridin Keling" sudah boleh menuai.
Bulan ini juga merupakan musim burung mengawan di celah-celah pokok padi seperti burung sintar, ruak-ruak dan ayam-ayam. Nelayan pula akan menurunkan belat (perangkap) kerana ikan-ikan besar seperti tenggiri dan siakap sedang galak. Masa ini juga buah janggus berbunga dan putat berpucuk. Pukul 10 malam, Bintang Ketika (tujuh bintang sejajar) berada di puncak kepala.
Bulan Tiga
Hujan semakin kurang, hanya renyai-renyai. Rebung tumbuh rendah di rumpun buluh. Pada waktu ini juga padi berat mula masak untuk dituai. Buah berkait dan cenerai akan masak ranum.
Pokok-pokok kayu lain seperti pokok dedap, cengkering, kacang gula dan keriang lada berbunga dalam bulan ini. Pada penghujung bulan ini buah seperti mempelam, bacang, rambai, pupur mula berbunga. Bintang Ketika akan tegak berkelip-kelip sekitar pukul 8 malam.
Bulan Empat
Merupakan musim bunga di Kedah kerana pokok-pokok kayu seperti durian, manggis dan langsat akan mengeluarkan bunga. Pada waktu ini juga orang mula menangkap ikan di sawah menggunakan serkap kerana padi sudah habis dituai.
Angin timur mula menggila dan boleh menghanyutkan perahu nelayan berbatu-batu di laut. Di tepi pantai, airnya tenang tetapi di tengah laut berombak besar.
Bulan Lima
Nelayan memasang belat
Pada 15 haribulan dalam bulan ini, matahari tengah hari akan berada tepat di atas kepala dan bayang-bayang akan hilang sejenak sebelum waktu Zohor. Pada waktu ini pokok janggus akan mula berbuah.
Bunga sena kembang pertama memberi alamat bahawa hujan akan turun tidak lama lagi. Pada waktu ini orang-orang kampung akan masuk ke hutan mencari kayu membuat tenggala dan alat-alat turun ke bendang. Nelayan di kuala pula bersiap mengangkat belat.
Bulan Enam
Dalam bulan ini, Bintang Ketika tidak lagi kelihatan pada waktu malam. Udang dan anak siakap akan naik sepanjang pantai Sanglang hingga ke Tanjung Dawai dan ia akan berterusan sehingga Bulan Sa.
Hujan 'kapar keranji' iaitu panggilan kepada hujan yang mula turun selepas musim panas akan tiba bersama guruh, menutup rekahan tanah dan menyegarkan pokok-pokok kayu. Pokok nipah akan mula mengeluarkan bunga. Apabila hujan cukup lebat dan pokok sena berbunga kali ketiga, orang-orang bendang akan mula membajak sawah.
Bulan Tujuh
Walaupun musim hujan tetapi apabila panas bahangnya sangat terik. Alun di laut sudah mula meninggi dan angin barat tua membawa ribut selang lima atau enam hari sekali.
Dalam bulan ini awan mula bergulung-gulung di kaki langit, menandakan laut akan didatangi ribut. Ribut biasanya datang ketika air pasang penuh ataupun masa surut dan ombak laut mula beralun besar.
Bulan Lapan
Pesawah mula menabur benih padi supaya padi sempat masak dalam musim kemarau kelak. Pada waktu ini, Bintang Ketika muncul di waktu hampirnya naik fajar. Orang di kawasan bukit pula sedang sibuk menugal (membuat lubang) padi huma.
Buah nipah pula masak isi dan masa inilah orang mula membuat air nira. Pada penghujung bulan ini, hujan akan berhenti dan tibanya musim kering pendek yang dipanggil "selatan anak keli atau anak puyu". Ribut di laut dan guruh tenggara sering kedengaran dan ombak di laut semakin besar akibat angin bertiup kencang dari selatan.
Bulan Sembilan
Kaum wanita menanam padi menggunakan alat Kuku Kambing
Setelah semaian cukup umur, mulalah orang menanam padi. Selagi Bintang Ketika belum rembang di waktu Subuh, bolehlah menanam. Selepas masa itu, padi akan terkena penyakit dan mungkin tidak akan mengeluarkan buah.
Pada waktu ini juga durian mula luruh di Kedah. Sekiranya hujan turun dalam bulan ini ia hanyalah renyai-renyai sahaja. Pada penghujung bulan ini angin akan bergerak ke arah utara dan ombak di laur semakin kuat.
Bulan Sepuluh
15 haribulan dalam bulan ini matahari berada di puncak kepala menyeberangi ke bahagian utara seperti Bulan Lima. Bintang Ketika kelihatan jelas pada waktu subuh.
Penghujung bulan ini burung balai berbunyi dari atas pokok menyambut Bulan Sebelas. Ini bermakna masih boleh lagi menanam padi bagi orang yang lewat tetapi eloklah ditanam padi jenis ringan yakni yang cepat masak.
Bulan Sebelas
Awal bulan ini merupakan waktu terakhir untuk menanam padi (jenis ringan) kerana padi yang ditanam akhir bulan tidak akan mengeluarkan hasil. Masa ini sepatutnya padi sedang dara.
Di laut ada ribut dan di daratan akan berlaku bah jika hujan bertembung dengan air pasang. Ikan darat seperti puyu, keli, haruan, sepat benua, dan selat beredar dari sawah ke sungai-sungai bersama air bah.
Bulan Dua Belas
Masa untuk menanam padi sudah habis. Hujan lebat berlaku di Kedah dan banjir mungkin terjadi dalam beberapa minggu ini. Ribut di laut reda dan orang kuala mula bersiap untuk turun ke laut.
Pada waktu ini ikan di darat mula membiak. Pokok gelingan besar, kekabu dan bunga perupuk pula mula menghasilkan bunga. Angin timur mula bertiup berselang-seli dengan angin barat dan laut tenang. Sekali sekala berlaku angin kencang dipanggil "Timur Melugas".
Kiraan Bulan Piama ini telah hilang dalam pengetahuan generasi sekarang tetapi masih ramai lagi orang-orang tua di Kedah yang tahu mengenai hal ini. Sekiranya perkara ini tidak diajar atau dikongsikan dengan generasi sekarang maka pupuslah satu warisan lama kita yang berharga.
Rujukan:
2. USM