Oleh pada 15 May 2019 kategori

Credit : dailymail

Anda mungkin pernah mendengar tentang "Pertandingan Bayi Paling Comel" atau "Pertandingan Gambar Bayi Paling Fotogenik" yang sering dianjurkan oleh majalah-majalah atau produk-produk berkaitan dengan bayi. Akan tetapi, di Jepun terdapat satu pertandingan bayi yang unik dan mungkin tidak pernah dianjurkan di tempat lain.

Ia adalah "Pertandingan Bayi Dengan Tangisan Paling Kuat" dan diadakan di salah sebuah kuil paling tua dan paling terkenal di Tokyo, Kuil Sensoji. Setiap tahun, ketenangan dan kedamaian di Kuil Sensoji ini akan terganggu oleh tangisan ratusan bayi yang menangis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Festival Bayi Menangis Nakizumo

kuil sensoji

Kuil Sensoji. Credit : touristinjapan

Orang ramai dari seluruh Jepun dan luar negara akan berkumpul di kawasan kuil untuk menonton bayi-bayi bersaing antara satu sama lain dalam pertandingan yang dinamakan sebagai "Festival Bayi Menangis Nakizumo" ini.

Pertandingan unik ini bukanlah baru dianjurkan tetapi sudah berlangsung sejak 400 tahun yang lalu. Setiap bayi yang bertanding akan digandingkan dengan ahli gusti sumo yang akan membuatkan mereka menangis, sekaligus bersaing dengan pihak lawannya.

para peserta festival nakizumo

Para peserta sedang menunggu giliran. Credit : tokyocreative

Secara semula jadinya kita akan berasa sedikit terganggu dengan tangisan seorang bayi, inikan pula beratus-ratus jumlahnya. Namun, apa yang berlaku di pertandingan ini adalah berlainan dengan perasaan itu malah ia agak menghiburkan.

Pertandingan ini sebenarnya bermula secara tidak sengaja daripada kepercayaan Jepun "naku ko wa sodatsu" yang membawa maksud "bayi menangis cepat membesar".

Menurut kepercayaan budaya Jepun, bayi yang menangis itu bermakna dia akan membesar menjadi kuat dan sihat. Selain itu, bayi yang menangis juga dipercayai dapat menangkis serangan dan menghalau roh jahat.

Peraturan pertandingan

nakizumo

Credit : abcnews

Pertandingan ini diadakan hampir serupa seperti mana pertandingan gusti sumo diadakan. Setiap pusingan akan disertai oleh dua orang bayi yang bersaing antara satu sama lain. Ahli gusti sumo akan mendukung bayi, masuk ke dalam gelanggang dan bersedia di posisi masing-masing.

Peraturan pertandingan adalah cukup mudah, bayi pertama yang menangis dikira pemenang. Sekiranya kedua-dua bayi yang bertanding itu menangis secara serentak, maka bayi dengan tangisan paling kuat dipilih sebagai pemenang.

Pengadil pertandingan diberi tugasan untuk membuat beberapa kaedah dan gaya yang cukup untuk membuat bayi-bayi itu menangis tanpa perlu bertindak di luar batasan. Salah satunya ialah dengan mengucapkan "naki naki" yang bermaksud "menangis, menangis" dalam bahasa Malaysia.

pengadil nakizumo

Credit : tokyocreative

Cara lainnya ialah dengan memakai topeng seram untuk menakutkan bayi-bayi itu. Topeng yang dipakai biasanya adalah topeng "Syaitan Burung Tengu" yang merupakan roh jahat yang akan lari jika mendengar bunyi tangisan bayi. Sementara itu, ahli gusti sumo pula secara perlahan-lahan akan menggeletek dan mengangkat bayi untuk memudahkan kerja pengadil.

Pertandingan yang popular di Jepun

Pada tahun 2018 lebih daripada 160 orang bayi telah bertanding dalam Festival Bayi Menangis Nakizumo ini. Pertandingan ini begitu popular dalam masyarakat Jepun khususnya yang tinggal berhampiran bandaraya Tokyo. 

nakizumo 2

Mereka berlumba-lumba untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang berusia lingkungan setahun untuk menjadi peserta pada setiap kali festival. Ada kalanya, penyertaan terlalu ramai sehingga pihak penganjur terpaksa membuat cabutan undi untuk mendaftarkan bayi yang layak sebagai peserta.

Walaupun terdapat juga pertandingan versi kecil seumpama ini diadakan di kejiranan dan bandar lain di Jepun, pertandingan yang terbesar tetap diadakan di Kuil Sensoji yang terletak di daerah Asakusa di pusat bandar Tokyo. Tradisi lama ini menarik ramai pengunjung tidak kira dari dalam atau luar.

Bagi sebahagian orang, pertandingan ini mungkin merupakan pengalaman mengerikan yang perlu dilalui oleh seorang bayi. Akan tetapi, tujuan dan kepercayaan penduduk setempat adalah untuk memastikan bahawa bayi-bayi ini mempunyai permulaan hidup yang baik selain meneruskan budaya mereka.

Selain dapat merasai budaya yang diturunkan dari generasi ke generasi, orang ramai juga dapat melihat bayi-bayi comel dalam pakaian tradisi mereka. Tidak dilupakan juga ahli-ahli gusti sumo yang bertubuh besar, lucu dan juga tidak kurang "comelnya".

Rujukan :

1. The Sun

2. The Culture Trip

3. Telegraph




Hakcipta iluminasi.com (2017)