Oleh pada 26 Dec 2017 kategori

10 fakta pelik tentang sekolah di jepun

Sumber foto: Fotolia by Adobe

Zaman persekolahan merupakan antara kenangan terindah yang dilalui dalam hidup. Disebabkan bebanan kerja rumah, waktu hujung minggu dan musim cuti sekolah adalah yang paling dinanti-nantikan sekali.

Kita mungkin sudah dibiasakan dengan peraturan-peraturan seperti tidak membuat bising, makan dan membawa telefon bimbit di dalam kelas.

Di Jepun, sistem pendidikan mereka agak berbeza dan lain dari yang lain. Berikut adalah senarai 10 budaya persekolahan yang hanya terdapat di "negara matahari terbit" ini.

1. Makan tengah hari disediakan oleh pelajar

makan tengah hari di sekolah jepun

Sumber foto: Toru Takahashi / AP

Apabila tiba waktu makan tengah hari, pelajar tidak meninggalkan bilik darjah untuk ke kantin. Sebaliknya, mereka dikehendaki membawa alas meja dan pinggan dari rumah. 

Hidangan yang diberikan seperti nasi, ikan atau makanan tradisional Jepun yang lain. Makanan tersebut disediakan oleh pelajar sendiri atau tukang masak.

Pelajar dan guru perlu bersama-sama menghabiskan makanan itu sehingga licin, dalam tempoh yang ditetapkan. Setelah selesai, mereka akan membersihkan sendiri segala peralatan yang digunakan dan memberus gigi.

2. Tukang cuci adalah suatu pekerjaan asing

kerja kerja pembersihan di sekolah jepun

Sumber foto: Quora

Kebanyakan sekolah di Jepun tidak mempunyai tukang cuci. Sebaliknya, pelajar sendiri bertanggungjawab membersihkan bilik darjah, kawasan koridor dan tandas sekolah.

Ini termasuk kerja-kerja seperti mengemop lantai, membuang habuk dan membersihkan pemadam papan hitam. Tanpa mengira pangkat, kesemua warga sekolah seperti guru, kakitangan dan pengetua turut bergabung tenaga dalam aktiviti ini.  

3. Musim panas dimanfaatkan sebaik mungkin

musim panas di sekolah jepun

Sumber foto: The Tokyo Times

Cuti yang diberikan sekadar 5 hingga 6 minggu, bermula pada 20 Julai hingga akhir bulan Ogos. Guru juga tidak pernah bercuti, kecuali pada cuti umum.

Semasa cuti sekolah, pelajar sering hadir ke kelas, sama ada untuk belajar atau membuat kerja sekolah yang bertimbun. Mereka juga perlu mengambil bahagian dalam aktiviti kelab dan latihan sukan.

4. Terpaksa hadir ke sekolah pada hujung minggu

hujung minggu di sekolah jepun

Sumber foto: Allegheny College

Sehingga tahun 1992, cuti hujung minggu di Jepun hanya selama sehari. Selepas itu, kerajaan memutuskan untuk memberi pelajar lebih banyak masa berehat.

Disebalik itu, kebanyakan sekolah menengah di sini telah melanggar peraturan tersebut dan masih menawarkan kelas pada hari Sabtu.

Tidak hairanlah mengapa ramai pelajar mereka yang sering tertidur di kelas, akibat keletihan melampau. Namun, guru jarang sekali menegur perlakuan itu atas dasar simpati.

5. Baju sejuk dengan pilihan warna tertentu

baju sejuk di sekolah jepun

Sumber foto: Ari Helminen

Pelajar ditegah memakai jaket yang berwarna-warni. Hanya warna-warna tertentu seperti perang, biru gelap, hitam atau kelabu sahaja yang dibenarkan.

Pelajar juga perlu mengekalkan cara pemakaian pakaian seragam, biarpun selepas meninggalkan bangunan sekolah.

6. Telefon bimbit tidak diharamkan sepenuhnya

penggunaan telefon bimbit di sekolah jepun

Sumber foto: Metalifestream

Secara asasnya, penggunaan telefon bimbit di kawasan sekolah adalah suatu kesalahan. Namun, pelajar diberi kelonggaran untuk menggunakan peranti itu di antara sesi kelas.

Selepas waktu persekolahan, ia juga boleh digunakan di tempat letak kereta atau pintu depan sekolah.

7. Kelas renang adalah subjek wajib

kelas renang di sekolah jepun 48711

Sumber foto: The News Geeks

Majoriti sekolah di Jepun mempunyai sebuah kolam renang. Pelajar dikehendaki belajar berenang dengan jarak tertentu.

Kelas ini dianggap serius dan sebahagian daripada kurikulum. Sekiranya gagal, pelajar perlu menjalani latihan sepanjang musim panas.

8. Memperkenalkan "Kancho", prank paling tak masuk akal abad ini

prank tak masuk akal kancho di sekolah jepun

Sumber foto: Youtube Just Facts

"Kancho" lebih dilihat sebagai sebuah tradisi berbanding peraturan di kalangan pelajar sekolah di Jepun. Suatu perkara biasa buat mereka untuk melakukan gurauan bodoh ini.

Ia melibatkan penggunaan jari telunjuk kedua-dua belah tangan untuk mencucuk seseorang di bahagian punggung. Apabila terdapat guru dari luar negara, mereka sering diberi amaran tentang prank ini.

9. Khidmat guru pengganti tidak diperlukan

khidmat guru pengganti di sekolah jepun

Sumber foto: Angie Harms

Bagi kebanyakan murid, apabila seorang guru pengganti mengambil alih kelas, ia merupakan alasan untuk kita menjadi malas dan tidak produktif. Di Jepun, peranan guru pengganti jarang sekali wujud.

Ya, terdapat kemungkinan guru lain akan ditugaskan untuk memasuki kelas, jika guru sebenar mempunyai urusan lain. Tetapi, pelajar biasanya mengambil inisiatif sendiri untuk belajar dan menjaga tingkah laku mereka, tanpa sebarang pengawasan.

10. Perintah berkurung yang amat ketat

perintah berkurung di sekolah jepun

Sumber foto: domingoyu.com

Bayangkan betapa peritnya perintah berkurung yang diberikan oleh ibu bapa anda, apabila anda melakukan sesuatu kesalahan.

Hukuman ini dikenakan sepanjang masa kepada para belia di Jepun. Pelajar diwajibkan pulang ke rumah sebelum pukul 10 malam dan dilarang tidur di rumah rakan.

Rujukan:

1.    Providr

2.    The News Geeks

3.    Japan Info


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)