Sumber foto: Bernama
KOTA BHARU: Seorang penganggur dikenakan hukuman mati dan penjara 18 tahun serta 12 sebatan setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam atas kesalahan memperkosa dan membunuh seorang suri rumah 3 tahun lepas di Kampung Batu Papan, Gua Musang.
Hukuman dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Ahmad Bache dalam penghakimannya turut menemukan tertuduh memiliki niat dan berada dalam keadaan sedar semasa membunuh mangsa, serta mempertimbangkan keterangan saksi iaitu anak lelaki mangsa (sewaktu itu berumur 5 tahun) yang menyaksikan tertuduh sedang menyembelih ibunya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohammad Awari Ahmad (25 tahun) telah membunuh dan memperkosa mangsa (sewaktu itu berumur 25 tahun) di sebuah kediaman tanpa nombor, Kampung Batu Papan, Gua Musang antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, pada 1 Mac 2015.
Tertuduh didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut seksyen 376(4) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan tidak kurang dari 10 sebatan.
Pendakwaan diuruskan oleh Timbalan Pendakwaraya Shaharaliza Ab Razak. Sementara itu, tertuduh pula diwakili peguam yang dilantik mahkamah, Latifah Ariffin.
Tiga tahun lepas, media mendedahkan mangsa maut diyakini kerana dikelar penjenayah yang memasuki kediaman sewanya pukul 2.30 pagi, 1 Mac 2015 semasa suaminya (30 tahun) iaitu seorang sukarelawan polis sedang bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.
Mangsa meninggal dunia pukul 6.40 pagi setelah 4 jam mendapatkan rawatan di bilik kecemasan Hospital Gua Musang (HGM). Bahkan, beliau sempat memaklumkan 'petunjuk' utama yang menyebabkan suspek berjaya ditangkap.
Sumber berita: Astro Awani