kisah pembunuhan wineville chicken coop

Pada 10 Mac 1928, seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun bernama Walter Collins telah hilang dari sebuah kawasan kejiranan di Los Angeles. Kali terakhir Walter dilihat sekitar jam 5:00 petang oleh seorang jiran di penjuru jalan Pasadena Avenue dan North Avenue 23 di Lincoln Heights, Los Angeles.

Ibunya, Christine Collins, memberikan Walter sejumlah wang untuk menonton filem di teater berdekatan. Ayah Walter pada ketika itu berada di Penjara Negeri Folsom kerana jenayah rompakan.

Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) pada ketika itu sedang berada di bawah siasatan untuk beberapa skandal rasuah dan ketidakmampuan mereka untuk mencari Walter Collins. Perkara ini adalah amat memalukan.

Ketua polis LAPD, James Davis, berada di bawah banyak tekanan untuk menyelesaikan kes tersebut dan penyiasatan kes kehilangan Walter diketuai oleh Kapten J.J. Jones.

Usaha mencari Walter dilakukan di merata tempat termasuklah di sepanjang Tasik Lincoln Park tetapi tidak dapat menemui apa-apa.

berita kehilangan walter collins

(Berita kehilangan Walter Collins)

Beberapa tip diberikan oleh orang awam namun semuanya menemui jalan buntu. Kehilangan Walter bukanlah satu-satunya kes yang berlaku pada ketika itu.

Selain Walter, Nelson dan Lewis Winslow yang masing-masing berusia 10 dan 12 tahun juga hilang dalam perjalanan pulang ke Pomona pada 16 Mei 1928.

Ibu bapa adik-beradik Winslow menerima surat pelik dari mereka di mana yang pertama mengatakan mereka menuju ke Mexico dan yang kedua mengatakan mereka merancang untuk terus hilang selagi mereka boleh menjadi terkenal.

Pihak polis pada mulanya tidak mengaitkan kedua-dua kes kehilangan ini. Mereka juga tidak menemui kaitan antara kes-kes ini dengan mayat seorang budak lelaki Latino tanpa kepala yang mereka temui di La Puente pada bulan Februari.

arthur hutchins curi identiti walter collins

(Kanak-kanak yang mengaku dirinya Walter Collins)

5 bulan selepas kehilangan Walter iaitu pada Ogos 1928, polis Illinois menemui seorang budak lelaki tersesat seorang diri yang kemudian memberitahu mereka namanya adalah Arthur Kent.

Pada mulanya dia hanya memberitahu bahawa ayahnya meninggalkannya, jadi polis menempatkannya dengan keluarga sementara.

Namun, kanak-kanak itu akhirnya memberitahu mereka nama sebenarnya adalah Walter Collins dari Los Angeles dan bahawa dia mengelak pertanyaan polis untuk melindungi ayahnya.

walter collins dan christine collines

(Christine Collins dan kanak-kanak yang mengaku sebagai anaknya, Walter Collins)

Polis Illinois menghubungi polis California, menghantar gambar budak lelaki itu dan kemudian menghantarnya ke Los Angeles.

Pihak berkuasa California menghubungi Christine dan menunjukkan kepadanya gambar "anaknya" namun Chistine mengatakan bahawa budak itu bukan anaknya.

Walau bagaimanapun, Kapten J.J. Jones memujuk Christine untuk "mencuba" membawa pulang budak lelaki itu untuk sementara waktu.

3 minggu selepas menjaga kanak-kanak yang tidak dikenali itu, Christine membawa budak tersebut ke balai polis.

kapten j j jones

(Kapten J.J. Jones)

Dia juga membawa rekod pergigian Walter dan kenyataan yang ditandatangani oleh orang yang mengenali Walter untuk mengatakan bahawa budak tersebut bukan anak Christine.

Disebabkan ini, Kapten Jones mengatakan bahawa Christine gila dan mendakwa wanita itu cuba untuk mengelak daripada tanggungjawabnya sebagai ibu. Malah, Jones percaya bahawa Christine hanya cuba untuk memalukan LAPD.

Tidak cukup dengan itu, Jones memasukkan Christine ke wad psikiatri di Hospital Los Angeles menggunakan "Code 12" yang membolehkan polis menyingkirkan pengacau dengan menghumbankannya ke hospital psikiatri.

Kanak-kanak lain mengatakan Walter sudah dibunuh

Pada September 1928, seorang wanita Kanada bernama Winnefred Clark telah menghubungi pihak berkuasa AS memberitahu mereka bahawa anak saudaranya, Gordon Northcott, telah menculik anaknya, Sanford Clark, di California.

Kakak Sanford iaitu Jesse Clark risaukan adiknya yang berusia 15 tahun itu sejak dia pergi ke AS dua tahun lalu dengan Gordon Northcott yang baru berusia 21 tahun ketika itu.

gordon northcott pembunuh wineville chicken coop 800

Gordon Northcott : Bapa saudara Sanford dan Jesse

Jessie kemudiannya memutuskan untuk pergi ke ladang milik Gordon di Wineville, California untuk memeriksa keadaan adiknya.

Dalam tempoh beberapa hari Jessie tinggal di situ, dia mendapati bahawa bapa saudaranya memukul adiknya dan terlibat dalam perkara pelik.

Dalam bulan yang sama, Sanford memberitahu penyiasat bahawa bapa saudaranya menculiknya serta telah mendera secara fizikal dan seksual.

sanford clark anak saudara gordon northcott 10

(Sanford Clark)

Dia juga memberitahu bahawa bapa saudaranya memaksanya melihat Walter Collins, Nelson dan Lewis Winslow serta beberapa kanak-kanak lain didera.

Kadang-kala Sanford dipaksa untuk terlibat sama dalam perbuatan keji itu.

Gordon menculik kanak-kanak lelaki untuk dirogol dan apabila dia bosan, dia akan membawa mereka ke bilik inkubator untuk melihat anak ayam menetas lalu membunuhnya dengan kapak.

Sanford juga memberitahu bahawa bapa saudaranya telah membunuh seorang budak Latin di La Puente dan mereka berdua membunuh Walter Collins kerana kanak-kanak malang ini menjadi saksi kepada satu lagi pembunuhan.

pembunuhan wineville chicken coop 737

(Lokasi pembunuhan)

Polis diberitahu bahawa lokasi mayat Walter dan adik-beradik Winslow berhampiran reban ayam berhampiran rumah tersebut. Setelah digali, pihak polis hanya menemui tulang manusia sahaja.

Juga terdapat tulang-tulang berteraburan di ladang tersebut yang mana yang kemudiannya disahkan osebagai tulang kanak-kanak lelaki.

Polis juga menemukan beberapa bilah kapak serta peralatan ladang yang terdapat kesan rambut dan darah manusia.

Juga ditemui adalah buku milik adik-beradik Winslow dan beberapa keping surat yang ditulis untuk ibu bapa mereka.

Namun, tiada apa yang dapat dikaitkan secara terus dengan Walter Collins ditemui.

walter collins sebenar

(Polis menemui pakaian dan barangan milik mangsa-mangsa)

2 hari kemudian, bapa Gordon iaitu Cyrus Northcott memberitahu polis bahawa anaknya mengaku kepadanya melakukan pembunuhan-pembunuhan tersebut.

Pada ketika itu, Gordon dan ibunya Sarah Northcott telah meninggalkan bandar tersebut.

LAPD dalam masa yang sama terus menegaskan bahawa budak yang ditemui itu adalah anak Christine, namun mula mempercayai sebaliknya selepas seorang pakar tulisan membandingkan tulisan budak itu dengan tulisan sebenar Walter.

Walter Collins mengaku dia bukan Walter Collins sebenar

kisah pembunuhan wineville chicken coop 304

(Walter Collins sebenar (kiri) dan penyamar Walter Collins)

Akhirnya selepas beberapa bulan, kanak-kanak yang mendakwa dirinya Walter Collins memberitahu perkara sebenar dan dia bukanlah anak kepada Christine.

Dia memutuskan untuk menyamar sebagai Walter apabila seseorang mengatakan bahawa wajahnya kelihatan seperti kanak-kanak yang hilang pada ketika itu.

Arthur Hutchins, 12 tahun, telah mengambil identiti Walter Collins dalam usahanya untuk pergi ke Hollywood untuk bertemu dengan wira koboinya, Tom Mix.

Setelah mendapat tahu perkara sebenar, ibu tirinya menjemput Arthur di Los Angeles dan membawanya pulang.

Arthur dikatakan langsung tidak menunjukkan rasa menyesal ke atas segala perbuatannya dan berkata bahawa sudah tentu Christine mengetahui bahawa dia bukanlah anaknya seolah-olah mahu menyalahkan wanita tersebut.

Sebaik selepas Arthur pulang ke Illinois, Christine dibebaskan daripada wad psikiatri.

Penangkapan Gordon Northcott

penangkapan gordon northcott

Pada 20 September 1928, Gordon Northcott telah ditangkap di British Columbia manakala ibunya Sarah Northcott ditangkap di Alberta, Kanada.

Pada Disember tahun yang sama, polis membawa Gordon kembali ke ladangnya dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Semasa di sana, dia mengaku secara lisan melakukan lima pembunuhan, termasuk adik-beradik Winslow, Walter Collins, dan seorang budak lelaki Mexico bernama Alvin Gothea.

gordon northcott hanya mengaku melakukan satu pembunuhan sahaja

(Pengakuan Gordon Northcott)

Namun kemudian pada hari yang sama, Gordon tiba-tiba hanya mengakui melakukan satu pembunuhan dalam pengakuan bertulis iaitu pembunuhan ke atas Alvin Gothea.

Akhirnya, ibu Gordon mengaku tentang pembunuhan Walter di mana dia mengaku melakukan hentakan terakhir ke atas kanak-kanak itu dan menanamnya berhampiran reban ayam.

Perbicaraan 

perbicaraan gordon northcott

Perbicaraan Gordon Norticott bermula pada Januari 1929 di mana Gordon memecat beberapa peguam pembela dan membela dirinya sendiri. Dia mengaku melakukan gangguan terhadap kanak-kanak kerana dia sukakan mereka malah meminta ibunya untuk mengesahkan perkara itu. 

Dalam usaha terdesak untuk melindungi anaknya, Sarah mengaku telah membunuh Walter Collins walaupun mayatnya tidak pernah dijumpai.

Lebih mengejutkan, Sarah mendakwa bahawa dia bukanlah ibu tetapi nenek kepada Gordon kerana suaminya merogol anak perempuannya Winnefred dan Gordon adalah anak kepada Winnefred.

Namun, dakwaan ini tidak pernah disahkan.

Gordon juga mendakwa mempunyai hubungan sumbang mahram dengan ibunya dan mengaku bapanya telah mencabulnya.

gordon northcott 2

Bersama dengan kenyataan pembelaan yang tersangat pelik, Sarah Northcott dianggap sebagai saksi yang tidak mempunyai kredibiliti kerana satu-satunya kenyataan yang dibuat dengan berterusan adalah bahawa dia sanggup melakukan apa sahaja untuk Gordon.

Gordon Northcott didapati bersalah atas pembunuhan 3 kanak-kanak lelaki, dijatuhkan hukuman mati dan digantung pada tahun 1930. Ibunya pula didapati bersalah membunuh Walter Collins dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Walaupun begitu, keluarga mangsa masih tidak berasa lega kerana masih tidak menemui mayat mangsa.

Kapten J. J. Jones digantung kerja dan hakim menghadiahkan Christien Collins lebih daripada $10,000,

Tidak lama selepas hukuman tersebut, kes pembunuhan Wineville Chicken Coop akhirnya ditutup setelah penduduk tempatan memutuskan untuk menukar nama bandar mereka.

Mereka menukarkan nama bandar kepada Mira Loma, yang bermaksud "pemandangan dari bukit" dalam bahasa Sepanyol.

gordon northcott 827

Walter Collins tidak pernah ditemui, namun polis percaya bahawa dia adalah salah seorang daripada mangsa pembunuh bersiri Gordon Northcott dan ibunya Sarah Northcott. 

Kerana polis tidak menemui bukti fizikal secara konklusif menghubungkan Walter dengan kes pembunuhan Wineville Chicken Coop Murders, Christine masih tidak berputus asa untuk beberapa dekad dan percaya bahawa Walter masih hidup.

Christine terus mencari anaknya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir di Los Angeles pada tahun 1964, 36 tahun setelah satu-satunya anaknya hilang.

Kisah ini menjadi inspirasi kepada filem arahan Clint Eastwood yang ditayangkan pada tahun 2008 bertajuk Changeling lakonan Angelina Jolie.

Rujukan:

1. Mental

2. Crime Museum

3. Heather Monroe



Hakcipta iluminasi.com (2017)