Oleh pada 09 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Malay Mail Online / Miera Zulyana

Mahkamah Rayuan semalam meneruskan sabitan dan hukuman mati ke atas 2 bekas pengikut kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ akibat membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, kira-kira 5 tahun lepas.


Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang membuat keputusan tersebut setelah menolak rayuan Shamsinar Abdul Halim (40 tahun) dan Sumustapha Suradi (42 tahun).


Kuorum terbabit berpan­dang­an, terdapat keterangan yang memadai untuk membuktikan tuduhan yang dikenakan ke atas kedua-dua perayu.


Panel itu turut berpuas hati bahawa keterangan dua saksi yang dilindungi yang merupakan rakan sejenayah perayu, disokong oleh keterangan bebas dan menguatkan kes pendakwaan.


Oleh itu, Mahkamah Rayuan meneruskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 27 Disember 2016 yang mensabit dan menghukum kedua-duanya bagi kesalahan membunuh mangsa.


Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akibat membunuh Ahmad Raffli pada jam 1.50 petang, 10 November 2013 di No.7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota. 


Namun, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman selaku Pesuruhjaya Kehakiman melepas dan membebaskan isteri ketiga Harun Mat Saad, Azida Mohd. Zol, (34 tahun); pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, (41 tahun), dan Jefferi Safar, (40 tahun), disebabkan pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan ketiga-tiganya berkonspirasi melakukan jenayah berkenaan.


Harun yang turut merupakan ketua kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ meninggal dunia pada 16 Ogos 2016. Dia selepas itu dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkonspirasi membunuh Ahmad Raffli setelah peguamnya, Amer Hamzah Arshad mengemukakan permohonan menggugurkan pertuduhan ke atasnya.

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)