Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Gambar fail / Kosmo Online

Mahkamah Persekutuan kelmarin mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap 4 bekas penuntut Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) kerana membunuh pensyarah mereka, Zara Eleena Omar Peter (23 tahun) pada tahun 2012.

Kempat-empat mereka terdiri daripada Mohamad Zul Shahril Suhaimi (26 tahun), Mohamad Sharafe Matt Noh (25 tahun), Azizi Aizat Ibrahim (26 tahun) dan Mohamad Safwan Muhamad (26 tahun).

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel 5 anggota mahkamah, diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif semasa menolak rayuan akhir oleh kesemua pemuda berkenaan.

 

Mahkamah turut disidangi bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Sri Balia Yusof Wahi dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Hakim Raus memutuskan bahawa bukti keterangan yang dikemukakan ke atas keempat-empat mereka adalah mencukupi dan amat kukuh untuk mensabitkan mereka terhadap tuduhan yang dikemukakan.

Lanjutan dari itu, panel itu berpendapat, sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini adalah selamat bagi dikekalkan.

Barisan pembelaan ialah Datuk Naran Singh, Hisyam Teh Poh Teik, Shamsul Sulaiman dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, manakala Nurulhuda Nur’Aini Mohd. Nor selaku Timbalan Pendakwa Raya mewakili pendakwaan.

Keempat-empatnya disabitkan membunuh pensyarah Bahasa Inggeris mereka itu yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU), antara pukul 1.30 pagi dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

zara eleena omar peter dibunuh kejam

Sumber foto: malaysianreview.com

3 daripada mereka (kecuali Muhamad Safwan) turut disabitkan dengan kesalahan membunuh bapa mangsa, Omar Peter Abdullah (56 tahun) yang merupakan pesara syarikat kewangan, antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012, dan 1.30 pagi keesokannya, di kediaman dua beranak itu di No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.

Mahkamah Tinggi menerusi keputusannya berpuas hati bahawa Mohamad Zul Shahril, yang sewaktu itu adalah kekasih Zara Eleena merupakan perancang utama keseluruhan insiden tersebut, dimulai dengan kecurian barang kemas kepunyaan ibu gadis berkenaan, Normaliah Mahmood.

Sumber berita:

1.    Utusan Online

2.    Bernama

3.    Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)