Setiap orang mempunyai persepsi sendiri berkenaan kadar jenayah di negara kita, dengan stigma-stigma tertentu masih dipegang segelintir individu - mengakibatkan wujud banyak salah tanggapan berkenaan statistik jenayah disebarkan di negara kita.

Negeri-negeri pantai timur kerap dilihat sebagai 'lubuk jenayah' sementara negeri-negeri lain khasnya negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia dilabelkan selamat hanya atas hujah persepsi semata-mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Benarkah persepsi ini? Mari kita cuba perjelaskan dan perbetulkan stigma yang kita ada dengan fakta dan kajian yang telah pun dijalankan, agar gambaran sebenar dapat kita ketahui.

Indeks nisbah kadar jenayah negara kita

pistol diguna penjenayah

Setiap tahun, indeks nisbah kadar jenayah di negara kita akan diambil dan dilakukan kajian, bagi mendapatkan angkanya. Indeks nisbah kadar jenayah diukur dengan mengambil kira statistik kes-kes jenayah yang berlaku serta dilaporkan, dibandingkan dengan jumlah populasi penduduk setiap negeri.

Indeks nisbah kadar jenayah di negara kita mengambil kira lima kategori jenayah utama yang biasa berlaku iaitu jenayah, masalah dadah, masalah korupsi, jenayah persekitaran dan lain-lain jenis jenayah.

Angka yang dilaporkan akan menggunakan nisbah perbandingan jumlah statistik jenayah dengan jumlah populasi dinisbahkan seramai 100,000 orang - memberikan gambaran yang lebih adil berkenaan realiti sebenar kejadian jenayah di negara kita.

Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai indeks nisbah kadar jenayah untuk tahun 2017 sebanyak 309.7 untuk setiap 100 ribu orang penduduk, menurun berbanding 355.2 bagi tahun 2016. Walau bagaimanapun, enam negeri di Malaysia mencatatkan indeks jenayah lebih tinggi berbanding indeks jenayah negara secara keseluruhannya.

Negeri mana mempunyai kadar jenayah paling tinggi?

bandar kuala lumpur 8fh80

Enam negeri mencatatkan kadar jenayah lebih tinggi berbanding purata negara kita. WP Kuala Lumpur menduduki kedudukan pertama, mencatatkan kadar lebih dua kali ganda berbanding purata, dengan nisbah 716.9 berbanding 100,000 orang.

Selangor menduduki tempat kedua dengan nisbah 408.6, Negeri Sembilan ketiga 356.6, Melaka, 339.2, Pulau Pinang 318.3 dan Kedah memenuhkan senarai 6 teratas dengan nisbah 315.3.

Walaupun begitu, berita gembiranya keenam-enam negeri ini termasuklah hampir kesemua negeri yang lain kecuali sebuah negeri mencatatkan penurunan kadar jenayah.

Negeri mana paling selamat dalam Malaysia?

sabah statistik jenayah malaysia

Jika anda bertanya kepada kami negeri mana paling rendah kadar jenayahnya, negeri yang layak dinobatkan sebagai negeri paling selamat adalah negeri Sabah.

Bagaimanapun malangnya Sabah adalah satu-satunya negeri yang mencatatkan peningkatan indeks nisbah sepanjang tiga tahun sejak 2015 sehingga 2017, dengan angka 135.7 tahun 2015, 137.6 bagi tahun 2016 kemudian melonjak tinggi 157.7 untuk setiap 100 ribu orang bagi tahun 2017.

Terengganu menjadi negeri kedua paling selamat dalam tahun 2017 dengan nisbah jenayah 186.8, Perak 213.6, Pahang 219.0, Sarawak 230.7 dan negeri keenam paling selamat di Malaysia adalah negeri Perlis dengan kadar jenayah 239.1 berbanding dengan jumlah populasi 100,000 penduduk.

Kesimpulan

Statistik ini yang baru saja dilaporkan pada bulan Disember 2018 sedikit sebanyak diharap dapat membantu anda memperbetulkan salah tanggapan atau stigma yang ada berkenaan masalah jenayah di negara kita.

penjenayah berkumpul gangster

Kejadian jenayah memang akan berlaku di mana-mana saja dan penulis berpandangan mustahil untuk sesuatu tempat itu dapat mencatatkan kadar jenayah sifar, walaupun tempat itu mempunyai tahap fasiliti mencukupi serta prasarana ekonomi yang mampan.

Adakah statistik yang kami kongsikan ini membuatkan anda sedikit sebanyak terkejut dengan realiti sebenar kadar jenayah di negara kita? Penulis pun sebenarnya terkejut kerana tidak menjangkakan negeri kesayangan penulis mencatatkan kadar jenayah yang agak tinggi.

Rujukan

Jabatan Statistik Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)