Oleh pada 09 Mar 2020 kategori

Seringkali dimomokkan sebagai pihak yang paling dibenci dalam gabungan (bekas) kerajaan Pakatan Harapan, parti Democratic Action Party atau DAP terus menjadi beg pasir belasahan seteru politik yang bertentangan ideologi di negara kita.

Digambarkan dengan istilah rasis, cauvinis serta lebih mementingkan kaum Cina, stigma yang dihadapi oleh DAP sebenarnya layak dikatakan menjadi antara punca utama kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah benar parti ini seburuk seperti yang digambarkan ataupun propaganda politik pihak lawan, berjaya membuatkan masyarakat menerima persepsi negatif itu atau DAP sendiri tidak membantu menjernihkan sentimen negatif yang mereka terima? Bagi penulis, masalah itu sebenarnya berpunca daripada kedua-duanya yang menjadi faktor utama.

Parti berbilang kaum atau parti kaum Cina?

bendera dap

Satu isu yang sangat sukar ditangkis oleh parti DAP adalah bagaimana mereka dilabelkan sebagai parti yang mewakili kaum Cina, sedangkan perlembagaan parti itu sendiri sudah menyatakan sejelas mungkin - gagasan DAP merupakan gagasan pelbagai kaum dan pelbagai bangsa.

Bagaimanapun, sekiranya kita tanya seseorang yang mengambil sikap neutral wujudkah kecenderungan DAP untuk meletakkan keutamaan mereka berat kepada kaum Cina; besar kemungkinan jawapan yang akan terima sudah pastilah mengakuinya ada.

DAP gagal mengikis stigma 'DAP untuk orang Cina' kerana tidak diketahui apa sebabnya, walaupun perjuangan DAP nyata perjuangan kesamarataan bangsa - masih terlalu banyak isu yang dibangkitkan DAP nyata hanya berorientasikan kepada apa yang dimahukan orang Cina.

Isu UEC dan sekolah jenis kebangsaan menjadi peluru utama (bekas) pembangkang menghentam kerajaan Pakatan Harapan namun perkara itu seakan-akan tidak diendahkan oleh kepimpinan tertinggi DAP. Seolah-olah DAP langsung tidak menghiraukan penolakan orang Malaysia, khasnya orang Melayu dan masyarakat Bumiputera yang mahu isu itu agar tidak lagi dipanjangkan.

yb syefura othman dap melayu

Selain itu, pengumuman kenyataan-kenyataan rasmi dari Kementerian diwakili ahli parti DAP yang dibuat dalam bahasa mandarin juga menunjukkan kegagalan DAP dalam menelusuri dan memahami pembentukan persepsi yang diharapkan berlaku.

DAP kelihatan terlalu gelojoh mahu memaksa rakyat Malaysia faham mandarin sehinggakan seperti mengabaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Tidak salah untuk penulis sifatkan tindakan menyiarkan kenyataan rasmi kerajaan lengkap dengan jata negara kita dalam bahasa mandarin, merupakan satu perbuatan yang sangat biadab serta tidak patut dilakukan - oleh sebuah parti yang sepatutnya mewakili pelbagai kaum.

Apa hala tuju DAP?

persidangan dap anwar ibrahim

Satu perkara baik yang penulis perlu akui tentang DAP adalah keberkesanan mereka dalam bentuk pentadbiran. Mereka mempunyai beberapa orang wakil kabinet yang harus dikatakan berkebolehan, setaraf dengan wakil-wakil handal komponen Pakatan Harapan yang lain.

Bagaimanapun, keberkesanan kerja semata-mata atau bijak mengurus tidak akan membantu perang persepsi yang akan senantiasa berlaku dalam politik. Kegagalan DAP dalam memahami sentimen dan sensitiviti masyarakat kita apabila beberapa pemimpin kanan parti tersebut secara terbuka bermulut lancang tak kena tempat menyebabkan ramai yang tawar hati pada mereka.

Salah satu punca kegagalan DAP dalam mengawal persepsi orang ramai sudah pastilah berkait dengan isu komik propaganda yang menyanjung pemerintahan negara China. Kita semua tahu isu itu sengaja diperbesarkan pihak pembangkang pada ketika itu tetapi untuk seorang rakyat Malaysia yang akur dengan perlembagaan - perkara itu memang wajar diperbesarkan dan dihebohkan.

Masa depan bagaimana mahu digarap oleh DAP untuk Malaysia? Sekiranya gagasan 'Malaysia untuk orang Malaysia' atau 'Malaysian Malayisa' menjadi sasaran utama - mengapa segala tindak tanduk DAP seakan mencerminkan yang DAP tidak faham psiki atau mentaliti penduduk kita secara keseluruhannya?

Dakwaan-dakwaan besar melibatkan parti DAP dan krisis yang berlaku dalam Kementerian Pendidikan, seperti yang didedahkan bekas pegawai Menteri Pendidikan belum dapat dijawab dengan baik.

Selain itu dakwaan gergasi bahawa isu penjualan konsesi lebuhraya PLUS kepada pihak tertentu yang menyebabkan kekeruhan hubungan Perdana Menteri ke 7, Tun Mahathir Mohamad dengan pemimpin DAP dalam kerajaan masih belum dijelaskan. 

Masih relevankah DAP dalam Malaysia akan datang?

yb rara syefura dyana sofya dap wanita melayu

Setelah diberikan peluang hampir 2 tahun untuk menunjukkan kemampuan mentadbir, DAP menampakkan kepada masyarakat Malaysia kekuatan mereka dan kelemahan mereka, secara tampak. Mereka setia pada parti, tidak mudah dibeli. Bergerak secara teratur, punya visi dan misi yang terancang.

Bagaimanapun DAP rakus dalam usaha mahu mengubah Malaysia mengikut acuan DAP sehinggakan orang ramai mual dengan sikap pimpinan parti itu. Label 'pro Cina' gagal diubah, sebaliknya diperkukuhkan lagi tanpa ada usaha memperbaikinya. DAP bermula dengan harapan ramai orang berbilang kaum, sebaliknya mensia-siakan peluang yang terhidang - berubah menjadi parti yang kerap menjadi mangsa momokan seteru politik mereka.

Apa yang DAP boleh buat untuk kekal relevan dalam politik Malaysia? Pertukaran kepimpinan teratas yang lebih mencerminkan semangat kerjasama antara semua kaum perlu menjadi perubahan terbesar, membuang stigma-stigma 'DAP parti Cina' yang telah terlalu lama menghantui parti tersebut.

Selaras dengan perubahan pucuk pimpinan yang lebih mesra masyarakat Malaysia, sudah pastilah secara perlahan-lahan visi DAP juga tidak lagi terarah kepada perjuangan bagi memenuhi permintaan kaum Cina - sebaliknya akan lebih tersusun dalam usaha meletakkan rakyat Malaysia sebagai isu utama. Yang penting, semuanya perlu dilakukan berdasarkan kepada perlembagaan negara kita.

Siapa rakan DAP dalam pilihanraya akan datang?

pkr dap amanah bersatu pakatan harapan

Satu soalan yang bermain dalam fikiran penulis sepanjang perubahan politik negara kita selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, adalah kebangkitan politik sentrik-Melayu yang dilihat bakal terus menguasai sentimen masyarakat sehingga pilihanraya seterusnya.

Melihat reaksi pemimpin DAP selepas terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan, dapat dilihat bahawa masih ramai ahli DAP yang tidak sedar di mana silap mereka sebelum ini - sehingga menjadi penyumbang utama kejatuhan kerajaan yang berjaya menjinakkan gabungan berusia 60 tahun menguasai politik negara.

Apa yang ditakuti, majoriti parti politik di pihak pembangkang akan mula merasakan kerjasama dengan DAP dilihat sebagai satu beban, dalam menarik hati pengundi yang rata-ratanya mula dapat menerima realiti. Adakah parti-parti politik akan berani mengambil risiko bersatu dengan DAP dalam iklim politik negara kita yang seakan terus mahu memainkan sentimen melanyak DAP?

Seandainya Pakatan Harapan kekal dalam komposisi sekarang, pada hemat penulis amat sukar untuk gabungan itukembali menambat hati pengundi kerana parut-parut yang terhasil, masih belum diubati. Salah satu parut itu, adalah parti DAP.

DAP perlu menjalani proses kesamarataan, menampilkan pemimpin peringkat tertinggi yang lebih majmuk pecahannya serta mengawal stigma cauvinis yang kerap dilemparkan pada mereka.

Sekiranya itu sudah berlaku, tidak sukar untuk Malaysia terbuka menerima Perdana Menteri dari parti DAP yang pertama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)