Oleh pada 05 Mar 2020 kategori

Kebangkitan gerakan Pakatan Rakyat (sebelum menjadi Pakatan Harapan) merupakan satu kisah yang menarik untuk diceritakan sejarahnya.

Bermula daripada detik pergolakan dalam kerajaan melibatkan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; kebangkitan Pakatan Rakyat menggegarkan kerajaan dalam dua pilihanraya pada tahun 2008 dan 2013 menjadi titik tolak keseimbangan kuasa dalam politik negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun artikel ini ditulis, bukanlah untuk menceritakan kepada anda berkenaan era kebangkitan Pakatan Rakyat sebelum tibanya detik bersejarah 9 Mei 2018, tetapi cuba menceritakan semula berkenaan bagaimana tumbangnya Pakatan Rakyat dek pergolakan yang berlaku dalam Pakatan sendiri.

Gerakan pemindahan kuasa yang dinamakan sebagai 'Langkah Kajang' digerakkan oleh kumpulan penyokong pro-DS Anwar, bagi meletakkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Bagaimanapun, apa yang terjadi jauh berbeza dengan perancangan - sehingga mematikan kerjasama politik kalangan pihak pembangkang yang paling utuh setakat ini.

Selangor sebagai habuan ahli politik

wawancara khalid ibrahim

Menjadi pentadbir Selangor merupakan antara impian parti politik negara kita - oleh kerana itu pihak-pihak politik antara parti kerap mensasarkan Selangor untuk ditawan, berikutan kedudukan Selangor sebagai negara terkaya dan mempunyai populasi tertinggi di Malaysia.

Berikutan berlakunya peralihan kuasa pada pilihanraya umum tahun 2008 membolehkan Selangor tumbang kepada Pakatan Rakyat (PR), pihak PR berjaya menubuhkan kerajaan negeri dengan Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang ahli korporat berpengaruh serta berstatus legenda di kalangan rakyat Malaysia diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, sekitar tahun 2014 selepas kejayaan merampas kerusi Barisan Nasional seterusnya merampas beberapa negeri, desas-desus berkenaan perlunya pertukaran tampuk pentadbiran Selangor mula kedengaran. TS Khalid yang pada ketika itu masih mentadbir, dikatakan perlu digantikan dengan DS Anwar Ibrahim kerana gerakan itu dilihat bakal menjadi pemangkin kepada usaha Pakatan Rakyat menawan pentadbiran pusat.

Bagi membolehkan kondisi itu berlaku, seorang ahli Dewan Undang Negeri Selangor di kawasan Kajang, Lee Chin Cheh menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN Kajang pada 27 Januari 2014 - seterusnya mengosongkan kerusi bagi membolehkan DS Anwar bertanding pilihanraya kecil yang bakal diadakan.

Dalam tulisan panjang bertarikh 29 Januari 2014, pengarah strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli memberikan hujah kenapa langkah itu perlu diambil, memohon maaf kepada pengundi, khasnya pengundi di Kajang kerana membazirkan masa dan tenaga pengundi yang baru saja memilih wakil mereka tidak sampai setahun sebelum itu.

Gerakan yang dilabelkan sebagai 'Langkah Kajang' atau nama penuhnya 'Langkah Kajang Langkah ke Putrajaya' disifatkan perlu, bagi membolehkan Pakatan Rakyat mempunyai landasan yang segera dalam usaha menguasai Putrajaya. Selain itu, kemasukan DS Anwar ke dalam kerajaan Selangor dilihat akan menyatukan parti dalam Pakatan serta kerjasama dalam PKR sendiri.

Halangan utama Datuk Seri Anwar Ibrahim

kisah anwar langkah kajang

Desas-desus berkenaan usaha meletakkan DS Anwar sebagai MB Selangor bagaimanapun ada beberapa kisah tambahan. Kita akan sentuh isu ini sekejap lagi. Dalam PKR dan BN bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil, nama DS Anwar yang disebut sebagai calon untuk pilihanraya kecil pada 23 Mac 2014 mula berdepan kekangan besar.

Mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah kepada beliau atas dakwaan melakukan jenayah homoseksual pada 7 Mac 2014, menyebabkan PKR terpaksa mencari calon lain bagi menggantikannya. Nama isteri DS Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail disebut sebagai pengganti paling sesuai. Pakatan Rakyat yang pada ketika itu memang diakui sedang mengharungi kenaikan gelombang populariti rakyat, memenangi pilihanraya kecil itu dengan majoriti 5,379 undi - memulakan rancangan Pakatan Rakyat untuk menakluk Putrajaya.

Bagaimanapun, usaha untuk menggantikan TS Khalid Ibrahim mengambil masa yang agak lama.

Kisah tentang krisis persefahaman antara beliau sebagai MB Selangor yang enggan menurut arahan parti sendiri mula kedengaran khasnya dalam isu penstrukturan semula industri air di negeri itu, yang dilakukan tanpa persetujuan parti. Pada 21 Julai, PKR menamakan DS Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar bagi mengggantikan TS Khalid.

Situasi tegang ini memuncak pada 4 Ogos 2014, selepas setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution mengedarkan sebuah dokumen 40 muka surat menyenaraikan kesemua salah laku yang telah dilakukan TS Khalid Ibrahim semasa mentadbir Selangor. Bagi menghalang dia dijatuhkan, TS Khalid Ibrahim melakukan laporan di SPRM menyebabkan tindakan keras diambil oleh PKR. Beliau dilucutkan keanggotaan parti PKR atas 'masalah disiplin' menyebabkan Selangor dipimpin oleh seorang Menteri Besar berstatus bebas.

Walaupun begitu, satu-satunya sokongan yang datang bagi membolehkan TS Khalid Ibrahim meneruskan tugas datang daripada Istana Selangor sendiri, dengan Sultan Selangor mengizinkan beliau meneruskan tugas yang telah diamanahkan. Sokongan ini bagaimanapun dibantah ADUN PKR dan DAP dalam kerajaan Selangor, menyifatkan TS Khalid sudah hilang sokongan majoriti dalam kerajaan negeri - dengan DS Wan Azizah dilihat calon rasmi yang mendapat sokongan mutlak.

Retak dalam hubungan parti Pakatan Rakyat mula terbentuk, selepas empat orang ADUN Selangor dari parti PAS menyatakan sokongan untuk TS Khalid meneruskan tugasnya - menyebabkan kerajaan Selangor berada dalam keadaan tergantung dan masa depan Pakatan Rakyat mula goyah.

Tan Sri Khalid bangkit mempertahankan diri

ts khalid ibrahim istana

Menyedari dia mendapat sokongan pihak Sultan, TS Khalid menggunakan kuasanya untuk menyarankan mana-mana ADUN Selangor yang tidak berpuas hati dengannya, meletakkan jawatan. Enam orang ahli exco Selangor dipecat kerana tidak mahu bekerjasama.

Enggan menyerah, exco dari parti PKR dan DAP yang dipecat mula mencabar pemecatan mereka, menyifatkan pemecatan itu tidak sah. Status TS Khalid terus dicabar, disifatkan hanya bersifat sementara kerana tiada sokongan majoriti. Selepas cuba bertahan dengan sokongan minoriti, pada 26 Ogos 2014 - TS Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan menamakan DS Wan Azizah sebagai penggantinya.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak pihak istana yang mahu setiap parti yang ada dalam kerajaan negeri Selangor menamakan calon yang dirasakan sesuai untuk mengepalai kerajaan itu.

PAS meletakkan 3 nama sementara PKR dan DAP pula berkeras, hanya menamakan DS Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Tindakan hanya menamakan calon tunggal itu disifatkan tidak mematuhi permintaan Sultan Selangor, selain daripada tiadanya surat rasmi sampai ke istana; pengumuman itu hanya dilakukan melalui media.

PKR dan DAP berusaha memohon maaf dan menghantar semula nama seperti yang diarahkan, termasuklah nama calon utama mereka DS Wan Azizah Wan Ismail dan perkara ini mendapat kritikan pihak istana.

azmin ali anwar ibrahim langkah kajang sejarah perpecahan pergolakan pkr

Selepas temuduga dilakukan pihak istana, Istana Selangor mengumumkan Dato' Seri Azmin Ali akan naik menjadi Menteri Besar ke 15 negeri Selangor - satu keputusan yang tidak dapat diterima oleh PKR dan DAP.

Majlis angkat sumpah itu hanya dihadiri barisan ahli kerajaan Selangor yang sangat kecil, termasuklah empat orang ADUN PAS yang menyokong pentadbiran TS Khalid Ibrahim - selepas jemputan untuk adat istiadat itu, tidak dikeluarkan kepada semua pimpinan negeri. DS Azmin Ali naik menjadi Menteri Besar Selangor walaupun dibayangi hasrat partinya yang mahukan individu lain, menyebabkan timbul perang dingin dalam Pakatan.

Berakhirnya Langkah Kajang

saifudin nasution rafizi ramli pkr

Selesai perubahan tampuk kepimpinan kerajaan Selangor, Langkah Kajang yang diusahakan sebagai jalan pantas ke Putrajaya dipercayai gagal mencapai matlamatnya, hanya berjaya menjatuhkan TS Khalid Ibrahim tanpa berjaya mencapai sasaran penuhnya. Langkah itu dikritik banyak pihak kerana amat dangkal, serta mencipta krisis tanpa wujud keperluan selain daripada hanya berebutkan kuasa.

Rafizi Ramli yang menjadi arkitek gerakan itu gagal mengembalikan reputasinya atas . Saifuddin Nasution diarahkan oleh mahkamah tinggi untuk memohon maaf secara terbuka selepas kalah kes saman, atas penyebaran dokumen 40 muka surat bertujuan untuk memfitnah TS Khalid Ibrahim.

Pada bulan September tahun 2017, Latheefa Koya salah seorang anggota majlis pimpinan pusat PKR (serta pengerusi SPRM semasa artikel ini ditulis) meletakkan beban kesalahan atas Langkah Kajang sepenuhnya kepada bahu Rafizi Ramli, menyifatkan rancangan itu menjadi punca pembubaran Pakatan Rakyat - menyebabkan keretakan antara hubungan parti komponen dalam gagasan itu.

Dalam temuramah tahun 2018, TS Khalid Ibrahim menjelaskan punca utama beliau diturunkan adalah kerana keengganannya bekerjasama menggunakan dana negeri Selangor untuk tujuan parti - dilihat sebagai mengingkari arahan terus pucuk pimpinan parti.

Berehat daripada sepak terajang politik, Tan Sri Khalid Ibrahim kekal bekerjasama dengan parti PAS yang banyak membantu beliau - menyatakan kesudian untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang baru terbentuk, pada 4 Mac 2020.




Hakcipta iluminasi.com (2017)