Oleh pada 16 Aug 2021 kategori

Sudah terlalu lama agaknya kemelut perebutan kuasa merebut jawatan Perdana Menteri Malaysia berlangsung. Kami sendiri sudah tidak lagi larat meneka hala tuju politik negara kita, yang sangat rumit serta lebih 'Inception' berbanding filem 'Inception.'

Kedudukan Perdana Menteri ke 8 Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak beliau menjawat jawatan tersebut memang goyah, berikutan ketiadaan jumlah kerusi yang kukuh dalam Dewan Rakyat bahkan bergoyang kestabilannya dek tekanan sekutu sendiri dalam kerajaan yang ketara lebih ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita masih berteka-teki berapa lama lagikah masalah ini akan berlangsung dan siapakah calon paling sesuai naik menjawat jawatan tersebut. Berikut adalah tujuh nama yang kami sesuai untuk naik sebagai Perdana Menteri ke 9 kita.

1. Ismail Sabri Yaakob

ismail sabri perdana menteri

Seorang peguam dari segi kelulusan anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob hanya mula menjadi seorang ahli parlimen pada tahun 2004 selepas memenangi pilihanraya kerusi parlimen Bera. Beliau kekal menjawat beberapa jawatan menteri dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke 5 dan ke 6.

Perubahan kerajaan menyaksikan Dato' Sri Ismail menggalas tanggungjawab sebagai ketua pembangkang dalam parlimen selama hampir setahun sebelum peralihan kuasa menyaksikan beliau naik menjadi Menteri Pertahanan dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.

Banyak pihak menyebut Dato' Sri Ismail sebagai calon paling realistik untuk naik menjadi PM ke 9. disebabkan kedudukannya yang sudah menjawat jawatan Timbalan.

Sesuatu yang mungkin tidak ramai sedar, beliau adalah ayah kepada penyanyi Dafi yang satu masa dulu cukup digilai anak gadis kita dan ayah mertua kepada pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie dari Indonesia.

2. Hishamuddin Hussein

hishamuddin vape

Ketokohan Dato' Seri Hishamuddin Hussein benar-benar kelihatan semasa krisis kehilangan pesawat MH370 menimpa negara kita.

Peristiwa itu yang harus ditangani dengan cermat kerana melibatkan hubungan antarabangsa, berjaya dipikul baik beliau yang berjaya meredakan pelbagai persoalan dan kritikan walaupun kes itu kekal misteri sehingga kini.

Anak sulung kepada PM Malaysia ke-3, Dato' Sri Hishamuddin merupakan seorang peguam sebelum meloncat ke dalam arena politik sebagai salah seorang orang kanan dalam pergerakan Pemuda UMNO, selepas kontroversi pemecatan Timbalan Perdana Menteri yang berlaku sekitar tahun 1998.

Beliau mula bergelar ahli parlimen selepas memenangi kerusi Tenggara sebelum berpindah ke kerusi Sembrong sejak tahun 2004, yang terus dipegangnya sehingga kini.

Selepas percaturan politik di antara parti dalam komponen Perikatan Nasional berlaku, Dato' Sri Hishamuddin naik menjadi seorang menteri kanan bagi menggantikan Dato' Sri Ismail Yaakob.

3. Mahathir Mohamad

mahathir mohamad calon pm

Sekiranya sebuah kerajaan sementara diputuskan untuk dibentuk hasil gabungan campuran ahli-ahli parlimen tanpa mengambil kira parti, Tun Mahathir Mohamad merupakan individu paling neutral kedudukannya untuk mengepalai kabinet sementara itu.

Berpengalaman luas dalam sepak terajang politik, beliau berjaya memanipulasi iklim politik negara dengan cermat sehingga kembali sebagai PM ke 7 sebelum dirinya mendakwa telah hilang sokongan majoriti, menyebabkan dia memilih untuk meletak jawatan.

Anak kelahiran Kedah dan bekas doktor ini dihormati bukan saja di kalangan pihak kerajaan bahkan pihak pembangkang, meletakkan beliau dalam kedudukan yang agak unik berbanding calon-calon lain yang kami senaraikan di sini. Namun dari segi pembahagian kuasa, jumlah kerusi parlimen agak kecil yang dikuasai beliau agak kecil sedikit sebanyak menyukarkan laluan beliau untuk kembali terpilih.

4. Razaleigh Hamzah

razaleigh hamzah calon pm

Beliau adalah antara nama besar dalam politik negara yang telah beberapa kali hampir menjawat jawatan pemimpin kerajaan pusat nombor 1 negara, namun nasib Tengku Razaleigh Hamzah tampak belum benar-benar ceria.

Dikenali ramai sebagai antara individu yang paling berpengaruh dalam memperkembangkan ekonomi negara sejak dekad awal penubuhan Malaysia lagi, pengalaman beliau dalam bidang ekonomi telah membolehkan Tengku Razaleigh bekerjasama dengan PM pertama lagi untuk membangunkan negara.

Tengku Razaleigh memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju Bank Bumiputra (kini CIMB Bank), PNB dan Petronas.

Walau demikian dalam arena politik, dia gagal menterjemahkan pengalamannya menjadi kejayaan selepas banyak kali ditewaskan seterunya. Kini sudah berusia 84 tahun, pergolakan politik yang berlaku ketika ini mungkin peluang paling cerah untuk beliau memenuhi potensi yang telah sekian lama beliau tonjolkan.

5. Mustapa Mohamed

mustapa mohamed calon pm

Di antara semua calon dalam kerajaan Perikatan Nasional ketika ini paling layak menjawat jawatan PM, nama Dato's Sri Mustapa Mohamed mungkin jarang kedengaran.

Beliau adalah antara ahli politik yang kurang kontroversi, kurang bercakap serta tidak banyak menimbulkan 'kerenah' dalam parlimen. Tindakan kontroversi paling besar yang beliau lakukan setakat ini, adalah bertukar parti dari UMNO ke Bersatu yang menyebabkan banyak pihak dari UMNO mengkritik tindakan beliau.

Tetapi kebolehan beliau dalam kerajaan tidak boleh dinafikan. Beliau terpilih untuk berkhidmat di bawah PM ke 4, 5, 6 dan 8 dalam beberapa portfolio menteri, khasnya melibatkan urusan ekonomi dan kewangan - sesuai dengan kelayakan beliau dalam bidang ekonomi.

Kedudukan beliau yang harus diakui dihormati dan disegani majoriti parti komponen Perikatan Nasional serta sudah sedia berada dalam kerajaan, mungkin akan membantu menjernihkan ketegangan sedia ada.

Mungkin pilihan terakhir kami ini sukar diterima ramai, tetapi dalam situasi sekarang bagi kami Dato' Sri Mustapa Mohamaed mungkin adalah orang paling sesuai untuk menghentikan segala sengketa politik yang sudah terlalu lama melanda negara kita.

Namun kami tahu, politik yang suasanya reda bukanlah politik namanya di Malaysia.

6. Muhyiddin Yassin

muhyiddin yassin pm malaysia

Ada kemungkinan juga, selepas semua konflik yang melanda kita dan perkiraan semula jumlah sokongan ahli parlimen dalam menentukan tahap sokongan calon Perdana Menteri ke 9 - kita akan menyaksikan kembali Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali sebagai PM kita.

Jika ini berlaku, kami ucapkan syabas terlebih dahulu kepada beliau kerana menjadi individu pertama dalam sejarah negara kita mampu melakukan percaturan sedemikian rupa.

7. Azmin Ali

azmin ali pm malaysia

Pernah diisytiharkan sebagai Menteri Besar Selangor terbaik selepas mengambil alih tugas itu, Dato' Seri Azmin Ali akhirnya memilih jalan untuk keluar daripada gabungan yang telah lama dia sertai untuk menyertai kerajaan Perikatan Nasional. 

Tindakan itu yang mencetuskan perdebatan hangat, mengakibatkan beliau serta beberapa orang lagi pemimpin yang menurut jejak langkahnya mula dilabelkan pengkhianat atau pembelot. Semua yang perlu ditempuhi beliau kini, bukanlah sesuatu yang asing untuk sosok tubuh itu. 

Seorang lulusan ekonomi, Azmin memulakan karier sebagai salah seorang pegawai di bawah Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas pemecatan 'bossnya', Azmin menjadi penggerak utama gerakan reformasi yang membawa angin perubahan dalam politik negara kita.

Ekoran gejolak politik ketika itu, Azmin memenangi kerusi pilihanraya negeri seterusnya mula menjadi wakil rakyat negeri Selangor, sebelum menang kerusi Parlimen Gombak pada tahun 2008. Selepas Langkah Kajang tidak berhasil, akhirnya Azmin menjawat jawatan Menteri Besar.

Sepanjang karier politik, Azmin telah melalui bermacam jenis dugaan, difitnah dengan bermacam jenis tohmahan termasuklah tuduhan buruk melibatkan ahli keluarga sendiri. Namun kemampuan yang ditonjolkan semasa menjawat jawatan Menteri Kanan dalam kerajaan, membuktikan segala kemampuannya. 

Adakah Azmin Ali akan langkah bendul, berjaya menjadi PM terlebih dahulu sebelum bekas boss-nya? Kita sama-sama tunggu dan lihat apa hasilnya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)