Oleh pada 17 Aug 2020 kategori

Bagi mereka yang terlibat dalam politik, mereka sudah pasti mengenali asam garam yang perlu ditempuhi. Apatah lagi dugaan duniawi yang datang.

Menjadi seorang ahli politik yang berpengaruh membawa pelbagai bentuk cubaan yang memang sukar ditepis, apatah lagi apabila banyak pihak mula hadir menawarkan bermacam ganjaran untuk bantuan yang boleh diberikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudah beberapa kali ahli politik negara kita dihadapkan ke mahkamah untuk diadili atas dakwaan kesalahan salah guna kuasa yang membawa kepada korupsi. Tak semua disabitkan kesalahan berbeza dengan lima nama di bawah.

1. Dr. Mohamad Khir Toyo

mohamad khir toyo mb selangor

Pada bulan September tahun 2015, Mahkamah Persekutuan mengumumkan pengekalan hukuman penjara 12 bulan ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.

Seorang doktor gigi, Dr. Khir Toyo yang seringkali diingati (dalam nada negatif) akibat pemberian penyapu kepada kakitangan kerajaan Selangor yang tidak mencapai prestasi memuaskan.

Rayuannya untuk meringan hukuman ditolak selepas didapati bersalah oleh panel dianggotai lima orang hakim, menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk kepentingan peribadi. Dr. Khir didakwa berjaya mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

Beliau selamat menjalani hukuman di penjara Kajang selama 6 bulan, dibebaskan lebih awal dengan pengawasan pegawai parol pada bulan Mei tahun 2016.

2. Dato' Seri Harun Idris

gambar harun idris bekas mb selangor

Allahyarham Dato Seri Harun Idris merupakan seorang ahli politik yang popular yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, ditangkap pada 24 November 1976 atas 16 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Kesemua dakwaan dikatakan berlaku dalam tempoh 6 tahun, bermula daripada bulan Januari 1969 sehinggalah bulan sama tahun 1975.

Pada ketika itu beliau yang memegang jawatan pengerusi Bank Rakyat, didakwa menggunakan kedudukan tersebut untuk memanipulasi jualan saham bank tersebut, bagi mendapatkan dana menganjurkan pertarungan tinju antara legenda Muhammad Ali dan Joe Bugner di Malaysia.

Akibat daripada tindakan itu, Dato' Harun dijatuhkan hukuman penjara 4 tahun ekoran peranannya sebagai perancang utama usaha tersebut. Beliau mendapat pengampunan YDP Agong pada tahun 1981.

Insiden itu menyebabkan kerugian berjumlah RM7.9 juta perlu ditanggung Bank Rakyat.

3. Datuk Abdul Rahman Bakri

rahman bakri dakwaan palsu tuntutan

Nama beliau mungkin kurang menyerlah berbanding individu lain dalam senarai ini, tetapi bagi penduduk Sabak Bernam, dia adalah wakil rakyat mereka selama 2 penggal sebelum dia didakwa atas 8 tuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

Pada bulan Mac tahun 2012, Datuk Abdul Rahman dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah melakukan beberapa siri tuntutan palsu berjumlah RM80,000 ke atas dana rakyat negeri Selangor sekitar tahun 2008.

Beliau dilaporkan mencipta pelbagai tuntutan palsu melibatkan 8 tuduhan bernilai RM10,000 setiap satu yang didakwa digunakan untuk program bersama rakyat, program motivasi pelajar, forum dan pelbagai lagi aktiviti yang didakwa tidak dianjurkan.

Rayuan yang dilakukan memerlukan masa hampir 4 tahun prosesnya, sebelum mahkamah rayuan membebaskan beliau dari tuduhan pada bulan Mei tahun 2016 selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes itu berlaku akibat kecuaian.

4. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim

anwar laungan reformasi mahkamah

Apabila disebut tentang tokoh popular ini, banyak pihak akan menuding jari kepada kes hubungan luar tabii yang pernah menggemparkan negara. Ramai seakan terlupa beliau turut sama pernah disabitkan kesalahan atas perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Berdepan empat tuduhan rasuah, Dato' Seri Anwar didapati bersalah ke atas semua tuduhan menyebabkan beliau dijatuhi hukuman penjara 6 tahun.

Selepas hukuman dibacakan, hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul terpaksa melakukan ulasan bagi menjawab tuduhan bahawa wujudnya konspirasi di antara beliau dengan pihak tertentu, bagi memastikan sabitan kesalahan berjaya dilakukan.

Datuk Augustine menafikan tuduhan itu, sebaliknya mempertahankan bahawa mahkamah bertindak bebas dan hukuman yang dikenakan, adalah disebabkan kedudukan Anwar sebagai pemimpin no.2 negara ketika itu.

Empat tuduhan itu secara ringkasnya menamakan Dato' Seri Anwar sebagai seorang konspirator yang memperkayakan kroninya, menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menekan saksi dan polis, dalam kes-kes peribadi berkaitan beliau.

5. Datuk Seri Najib bin Abdul Razak

najib src international penjara 12 tahun

Bekas Perdana Menteri Malaysia ke 6, Datuk Seri Najib yang popular dengan gelaran 'Bossku' baru saja didapati bersalah ke atas 7 pertuduhan melibatkan pecah amanah, penggubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Atas semua tuduhan, beliau dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dengan denda RM210 juta. Beliau bernasib baik hakim mengumumkan kesemua hukuman akan dijalankan serentak, menjadikan jumlah kumulatif durasi penjara beliau 'hanyalah' 12 tahun.

Menjadi individu pertama bergelar bekas Perdana Menteri yang disabitkan kesalahan di mahkamah, pada ketika ini Datuk Seri Najib dan pasukan pembelaannya sudah pun melakukan permohonan rayuan pada 30 Julai 2020.

Masih aktif di media sosial dan kempen-kempen ceramah politik, bekas Perdana Menteri ke 6 ini kekal bebas disebabkan oleh bayaran ikat jamin sebanyak RM1 juta yang dilunaskan, membolehkan beliau meneruskan kerjaya politiknya.

Kedudukannya sebagai Ahli Parlimen masih kekal, disebabkan oleh status kes itu yang masih berjalan sehinggalah proses rayuan selesai dilakukan.

Adakah beliau akan dipenjarakan? Apa yang boleh kita buat sekarang hanyalah tunggu dan lihat - sambil makan Super Ring.




Hakcipta iluminasi.com (2017)