Oleh pada 08 May 2018 kategori

penyokong ph

Saya seorang penyokong Pakatan Harapan.

Walaupun begitu, saya tidak suka budaya tidak menggalakkan perbezaan pendapat yang kerap dibuat oleh penyokong Pakatan Harapan. Walaupun saya seorang penyokong PH, ada masanya tak dapat lagilah saya nak nafikan beberapa perkara tertentu yang dibuat oleh kerajaan pusat membawa faedah kepada kita.

Saya mahu politik sihat diamalkan di negara kita. Bagaimanapun mentaliti yang ditunjukkan segelintir penyokong Pakatan Harapan agak memalukan. Mereka kurang rasional dalam membincangkan sesuatu isu sehinggakan membawa kepada penggunaan politik emosi. Mari saya ceritakan pandangan saya. Saya mungkin dalam kelompok kecil penyokong PH yang setuju dengan pengenalan sistem cukai GST.

Dalam manifesto PH ada dikatakan mereka ingin menghapuskan GST. Saya tidak bersetuju dengan agenda tersebut. Saya tahu apa faedah GST, keberkesanannya dalam memastikan pelari cukai tidak culas. Saya juga faham kenapa GST diperkenalkan pada waktu tersebut ekoran penurunan harga minyak dunia yang mendadak.

Tetapi saya takut nak berkata sedemikian pada kawan-kawan saya secara terbuka. Ini kerana pada mereka GST ini buruk. Hujah mereka menyanggah GST masih lagi bergantung dengan apa yang diperkatakan oleh Menteri, Ahmad Maslan berkenaan potensi untuk berlakunya penurunan harga.

Saya dah baca. Ahmad Maslan tak salah.

Budaya takut berbeza pandangan

28515070 218331405390965 6846135151212043694 o

Pernah sekali saya kata perkara itu pada seorang dua kawan saya. Saya terangkan sepatutnya peniaga dan pengeluarlah yang memeriksa dan membetulkan harga mengikut kadar cukai yang baru, tetapi akhirnya yang salah tetap saya. Mereka tidak dapat faham apa kesalahan yang dilakukan peniaga. Kawan saya tidak dapat memahami sebagai rakyat, peniaga pun perlu memainkan peranan bersikap jujur dalam membantu menurunkan harga.

Alhamdulillah saya dapat faham perkara ini. Walaupun ramai di kalangan kawan-kawan saya gemar berbicara tentang GST tetapi akhirnya yang keluar disebut hanyalah persepsi-persepsi dan bukan fakta.

Lebih teruk lagi bila GST nak dikaitkan dengan 1MDB pula. Saya setuju siasatan lebih telus dilakukan terhadap 1MDB. Bagaimanapun nampak benarlah ramai kawan saya secara pandai-pandai kaitkan 1MDB dan GST yang langsung tak ada hubungkaitnya, hanya untuk diada-adakan dakwaan.

Sepanjang apa yang saya baca, saya tak pernah jumpa buktinya. Bila saya minta rujukan, semua mula tukar topik perbualan.

Pada saya, saya nampak berapa cukai saya kena. Sistem dulu, berapa sebenarnya cukai yang telah kita kena dalam sistem SST? Adakah boleh jika saya simpulkan yang pembantah GST ni lebih gemar mereka tak tahu mereka sedang dikenakan cukai? Kini saya tahu kalau saya beli barang ni, berapa cukai saya dah kena. Cukai memanglah tak disenangi, tetapi kini angka dia ada. Itu positif.

Penyokong Pakatan Harapan takut dengan fakta?

pakatan harapan convention0701l

Mengapa penyokong Pakatan Harapan kelihatan cukup takut untuk melihat fakta? Saya tidak mahu kata banyak negara dah perkenalkan sistem cukai yang sama sebagai bukti positif seperti yang selalu dicanang penyokong kerajaan - tetapi saya melihat dari perspektif saya sendiri.

Faktanya ada depan mata. Ahli-ahli ekonomi pun sudah banyak memperkatakan tentang faedah GST pada orang ramai, jadi bagi saya yang buta ekonomi ini - tak salah rasanya untuk kita percaya cakap-cakap ahli ekonomi walaupun mungkin ideologi politik kita berlainan rupa.

Apa yang cukup menggusarkan penyokong Pakatan Harapan untuk sekurang-kurangnya membuka mata dan telinga? Tengoklah faedah pada diri kita daripada bentuk peribadi. Saya tidak sempat melalui zaman reformasi. Kata abang-abang saya, zaman itu hebat rakyat merusuh di jalanan.

Tetapi zaman sekarang, kita tidak perlu merusuh di jalanan. Kita patutnya merusuh dalam pemikiran. Sekiranya kita rasa Barisan Nasional salah, buktikan mereka salah.

Kalahkan mereka dengan akal, bukan lagi dengan rusuhan ataupun lebih teruk lagi, emosi dan perasaan. Itu salah satu kelemahan Pakatan Harapan, masih terpaksa bergantung dengan sentimen yang sengaja diada-adakan.

Kita semua mahu politik sihat, bukan?

pakatanh pg dloh 8973 full 271

Sukar untuk diwujudkan budaya politik sihat, sekiranya saya yang terang-terang seorang penyokong dan (bakal) pengundi Pakatan Harapan pun takut nak berbicara tentang perkara-perkara baik tentang tindakan kerajaan. Takut kena sembur. Saya tidaklah tebal muka macam sesetengah individu yang tak takut digelar macai, pemakan dedak atau individu penjilat kerajaan. Saya takut. Lagipun saya bukan 'pemakan dedak'.

Jadi saya coretkan tulisan ini untuk dikongsikan bersama pembaca-pembaca Iluminasi, harap admin terbitkan. Hendak tulis sendiri di media sosial guna akaun sendiri memang saya rasa tak sanggup berdepan bermacam tuduhan. Penyokong Pakatan Harapan terlalu beremosi dalam menilai sesuatu, sehinggakan kita tidak sedar kita menolak fakta-fakta yang diambil daripada penyelidikan berpuluh tahun lamanya.

Kita masih lagi bergantung dengan sentimen emosi yang diakui oleh abang-abang saya, sebagai salah satu faktor utama meluasnya pengaruh Pakatan Harapan ketika ini. Tetapi saat ini bukan lagi zaman untuk kita main politik emosi. Kita tolaklah ke tepi.

Kita percaya Pakatan Harapan adalah penggerak demokrasi jadi kita sebagai penyokong pun, mestilah berani menyuarakan pendapat masing-masing sesama sendiri, serta tidak takut untuk menongkah arus melawan hujah manifesto Pakatan Harapan pada apa saja bahagian yang tak berapa kita berkenan di hati.

Mulalah berfikir macam kerajaan

malaysia flag1

Salah satu perkara dalam manifesto itu yang saya tak mampu setujui adalah penghapusan GST. Ada lagi tapi cukuplah satu contoh.

Saya sedar sebagai seorang penyokong Pakatan, ada banyak perkara kita mahu pertikaikan. Sana sini semua kita nak bangkang, tetapi mentaliti itu hanya menyediakan kita untuk jadi pembangkang. Mahu jadi kerajaan mentalitinya berbeza. Kerajaan perlu lakukan banyak perkara yang orang ramai tak akan suka. Itulah bezanya jadi kerajaan dan pembangkang di negara kita.

Bagi Datuk Seri Najib pula, saya hormati keputusan dan keberanian beliau dalam melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan di negara kita. Memang sukar keputusan itu dilakukan apatah lagi apabila melihat sentimen masyarakat ketika ini. Walau demikian, saya sebagai seorang penyokong Pakatan Harapan tetap bertepuk tangan kerana itu adalah satu keputusan yang berani, tepat dan memerlukan.

Saya harap nukilan ini dapat menginspirasikan anda untuk menjadikan politik yang lebih sihat, berfakta dan berujukan sebagai amalan dalam membentuk negara kita ke arah yang lebih baik.

Saya percaya penyokong Pakatan Harapan pun mahu politik matang diamalkan, setidak-tidaknya antara Pakatan sendiri kalau tak dapat dengan pihak lawan. Tolong janganlah panggil saya dengan bermacam gelaran. Dalam hati tisu saya, ada taman.

Nukilan,

Kamaruddin Al-Wasim

Serdang, Selangor.

p.s. - teruskan usaha anda Team Iluminasi. Tolong rahsiakan alamat email saya. Minta tolong letakkan gambar cantik-cantik.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)