coca cola vs pepsi

Bayangkan jika anda sedang memesan makanan di restoran makanan segera dan minuman yang anda mahukan adalah Coca-Cola atau Coke. Namun pelayan restoran berkenaan menjawab, "Coke habis, ganti dengan Pepsi boleh?".

Apa perasaan anda? Adakah anda kecewa? Mungkin ya dan mungkin tidak. Namun apa yang perlu dilihat dalam situasi ini adalah, adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara rasa Pepsi dan Coke?

Dan mengapa kebanyakan daripada kita mempunyai kecenderungan yang kuat terhadap salah satu daripada minuman ini?

Cuba lakukan eksperimen ini dengan rakan-rakan anda.

Isikan 2 gelas, satu dengan Coke dan satu lagi dengan Pepsi. Kemudian minta rakan anda untuk rasa kedua-dua minuman ini tanpa memberitahu mereka yang mana satu adalah Coke atau Pepsi.

mana satu lagi sedap coca cola atau pepsi

Perhatikan berapa ramai di antara mereka yang lebih menyukai Pepsi atau Coke, dan yang mana satu mereka rasakan adalah Coke atau Pepsi.

Kemudian, ulang eksperimen ini, tetapi kali ini beritahu rakan-rakan anda gelas yang mana satu mengandungi Pepsi dan Coke. Perhatikan minuman mana yang mereka suka kali ini.

Eksperimen ini dikenali sebagai eksperimen neuromarketing atau pemasaran berkaitan otak, yang dilakukan oleh sekumpulan saintis neurologi pada tahun 2004.

Sebelum kita bincangkan tentang kajian ini, perlu kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan neuromarketing.

Definisi Neuromarketing

apa itu neuromarketing

Perkataan neuromarketing adalah gabungan antara perkataan neurosains (sains saraf) dan pemasaran.

Neurosains adalah kajian mengenai apa sahaja dan semua yang berkaitan dengan sistem saraf kita. Ia melibatkan penyelidikan ke otak dan psikologinya.

Pemasaran pula adalah strategi yang digunakan oleh perniagaan yang membantu mereka menjual produk mereka kepada pengguna.

Antara sebahagian daripada strategi pemasaran adalah iklan dan tajaan.

maksud neuromarketing

Untuk memahami produk apa yang perlu dijual kepada kumpulan pengguna yang mana, pemasar perlu memahami psikologi pembeli mereka.

Dan di sinilah maklumat mengenai otak sangat berguna.

Mengapa anda lebih suka telefon Android berbanding iPhone? Mengapa anda lebih gemarkan Honda berbanding Toyota?

Jika pihak pemasar dapat mengetahui mengapa orang lebih memilih perkara tertentu daripada yang lain, mereka dapat menggunakan strategi yang dipelajari untuk meningkatkan penjualan mereka.

Neuromarketing bertujuan untuk memahami faktor asas mengapa seseorang itu membeli dan tingkah laku pembeliannya, serta bagaimana untuk memanipulasikannya. 

Kajian Coke vs Pepsi

perang cola coke pepsi

Kembali kepada eksperimen yang disebutkan di atas.

Dalam eksperimen ini, 67 orang individu mengambil bahagian.

Ketika para peserta minum minuman tersebut di bawah syarat yang dinyatakan di awal eksperimen (rasa minuman tanpa mengetahui mana satu Coke atau Pepsi), aktiviti otak mereka diukur melalui Pengimejan Resonans Magnetik (fMRI) Kefungsian.

Apabila satu kawasan otak diaktifkan, terdapat aliran darah ke kawasan tersebut. fMRI ini mengesan perubahan aliran darah ini dan ia membantu saintis memahami aktiviti mana yang merangsang bahagian otak yang mana satu.

Dan dengan memahami kawasan otak mana yang diaktifkan sebagai tindak balas terhadap rangsangan tertentu membolehkan para saintis memahami tingkah laku manusia.

Dengan menggunakan fMRI, para penyelidik memerhatikan bahagian otak mana yang diaktifkan ketika minuman yang berbeza diminum.

neuromarketing pepsi vs coca cola

Ketika para peserta tidak tahu minuman yang mana satu diminum, kecenderungan terhadap kedua-dua minuman tersebut terikat sekitar 50%, dalam kata mudah ia adalah seri.

Namun, keputusan yang sangat berbesa diperolehi apabila para peserta mengetahui jenama minuman mana yang mereka minum.

Kali ini, Coke mendapat undian yang lebih tinggi, dengan lebih daripada separuh dari 67 orang tersebut memilihnya berbanding Pepsi.

Satu-satunya perkara yang berubah adalah mereka tahu nama jenama minuman yang diminum.

Jadi, mengapa pilihan mereka berubah dengan begitu drastik?

Ketika para peserta tidak mengetahui jenama minuman yang diminum, pusat keseronokan yang terletak di bahagian depan otak yang dikenali sebagai korteks prefrontal ventromedial (vmPFC) menyala.

coke vs pepsi

Bahagian otak ini sangat responsif terhadap makanan yang kita rasa memuaskan, seperti minuman soda bergula.

Sebaliknya, ketika para peserta mengetahui nama minuman tersebut, kawasan otak yang menyala mempunyai kaitan dengan emosi dan kenangan.

Menyedari minuman yang mereka minum adalah Coke, para peserta menunjukkan reaksi emosional terhadap jenama tersebut, yang menyebabkan mereka lebih memilihnya berbanding Pepsi.

Jenama Pepsi tidak menimbulkan reaksi emosional pada para peserta.

iklan coca cola

Dengan ini, para saintis terlibat menyimpulkan bahawa kempen pengiklanan Coke yang sangat berjaya telah memberikan kesan yang sangat mendalam kepada ingatan pengguna.

Iklan-iklan Coke sangat berkesan sehingga orang ramai telah membentuk hubungan emosi dengan idea Coke, yang memberi mereka keselesaan dan kebahagiaan.

Ia secara tak langsung telah menjadi simbol budaya yang sukar dihapuskan!

Oleh itu, Coke lebih disukai hanya berdasarkan jenama, walaupun rasa Pepsi dan Coke tidaklah begitu berbeza.

Rujukan:

1. Eureka Alert

2. Carleton Edu

3. Science



Hakcipta iluminasi.com (2017)