Oleh pada 09 Jul 2020 kategori

Jika ada orang bertanya kepada anda, apakah jenama minuman berkarbonat nombor 1 dunia, sudah pasti ramai akan menjawab Coca-Cola, bukannya pesaing terdekat mereka iaitu Pepsi. 

Bagaimanapun, semasa era perang dingin di antara Kesatuan Soviet (USSR) dengan Amerika Syarikat serta sekutunya, Pepsi mula menambat hati rakyat Russia.

Disebabkan kekangan yang diwujudkan USSR ke atas import masuk produk Amerika Syarikat ketika itu, memaksa jenama Amerika Syarikat seperti Coca-Cola wajib dijual kepada kerajaan USSR, Coca-Cola memilih untuk menghentikan aktiviti pemasaran mereka di situ.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak bagi Pepsi!

Memujuk Soviet menerima Pepsi sebagai ganti Coca-Cola

pepsi barter kapal selam

Pada tahun 1959, Donald M.Kendall, salah seorang pengasas minuman tersebut menyertai ekspo perdagangan produk Amerika Syarikat di Russia.

Ekspo tersebut mendapat sambutan hangat, dikunjungi Nikita Khruschchev yang ketika itu Setiausaha Agung USSR dan pemimpin nombor 1 parti gabungan tersebut serta Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Richard Nixon.

Kendall sempat menghulurkan segelas Pepsi kepada Khruschchev untuk dicuba, licin diteguk beliau yang kelihatan dahaga. Mengharapkan agar kelompongan yang ditinggalkan oleh Coca-Cola dapat diisi oleh Pepsi, Kendall memulakan usul mencadangkan agar USSR membenarkan Pepsi diimport masuk.

Khrucschchev yang tahu minat tinggi masyarakat Soviet ketika itu terhadap minuman Coca-Cola, merasakan itu adalah peluang yang baik untuk kerajaan meredakan kemarahan orang ramai ketika itu. Kenapa? Sekejap lagi kita ulas.

Usul yang dibawa Kendall berjaya dan Pepsi mula dibenarkan bertapak di Russia.

Berurusniaga secara barter

vodka stolichnaya import amerika syarikat

Disebabkan oleh isu perang dingin yang masih melanda, semua urusniaga yang dijalankan antara Pepsi dan USSR berdepan kekangan besar.

Masalah utamanya - adalah kadar tukaran wang yang terlalu merugikan USSR kerana wang mereka tiada nilai di pasaran antarabangsa.

Kerajaan Soviet juga tidak membenarkan urusniaga dengan menggunakan matawang asing dilakukan, bagi melindungi nilai matawang mereka. Ini menyebabkan produk-produk import yang popular tidak lagi masuk, mengakibatkan banyak permintaan rakyat Soviet gagal dipenuhi.

Sentimen masyarakat Soviet ketika itu juga dilihat seakan marah dengan langkah kerajaan mereka, jadi kerjasama dengan Pepsi dilihat akan menyelesaikan satu daripada pelbagai masalah ekonomi mereka.

Pepsi akan dibenarkan jualannya dan peluang pekerjaan kepada warga Soviet akan dibuka, disebabkan pembukaan kilang pengeluaran minuman tersebut.

Bagi membolehkan urusniaga tetap berjaya dilakukan, Pepsi dan kerajaan Soviet bersetuju untuk menjalankan urusan mereka dengan sistem barter, berasaskan kepada prinsip quid pro quo atau 'tukar sesuatu dengan sesuatu.'

Persetujuan dicapai untuk Pepsi masuk ke pasaran USSR tetapi dalam masa yang sama, PepsiCo, syarikat pengeluar Pepsi diberikan tanggungjawab memasarkan minuman keras Stolichnaya Vodka yang akan dibekalkan kerajaan USSR.

Perjanjian ini nyata menguntungkan kedua-dua pihak. Pepsi berjaya melebarkan pengaruh mereka di USSR bagi menggantikan Coca-Cola sementara warga Russia pula menikmati pulangan selepas produk mereka mula memecah masuk pasaran Amerika Syarikat.

Perang Soviet-Afghan menggugat perjanjian

populariti pepsi di russia

Selepas beberapa dekad menjalinkan kerjasama, hubungan Pepsi dan Soviet kembali terjejas berikutan perang Soviet menentang pejuang pembebasan Afghan.

Pejuang mujahidin Afghanistan yang didokong oleh Amerika Syarikat, Pakistan, Iran dan beberapa negara lain, menyebabkan usaha boikot sepenuhnya produk keluaran Soviet berlaku di Amerika Syarikat. Jenama yang terkesan adalah Stolichnaya Vodka yang kini tidak lagi dibenarkan edarannya di negara tersebut.

Isu ini memerlukan perbincangan semula di antara PepsiCo dengan kerajaan USSR, memaksa sistem barter yang telah berjalan lancar diubah.

Disebabkan produk Soviet kini dianggap tiada lagi nilai dalam pasaran Amerika Syarikat, kerajaan USSR mencadangkan kepada PepsiCo untuk menerima pertukaran import masuk masuk Pepsi dengan kelengkapan perang milik USSR!

Urusniaga pertama dengan format baru ini berjalan lancar pada bulan Mei 1989. Pepsi terus beroperasi di USSR dibayar dengan 17 buah kapal selam lama dianggarkan dengan harga $150,000 sebuah dengan tambahan 3 kapal perang. Kesemua kapal ini akhirnya dijual oleh PepsiCo untuk dijadikan barangan ganti dan alat terpakai, memberikan mereka pulangan dana.

lori pepsi tenggelam kapal selam

Selain itu, PepsiCo juga berjaya mendapatkan sebuah kapal pengangkut minyak baru dari Soviet, yang disewakan pula kepada sebuah syarikat minyak dari Norway.

Apa yang perlu dibuat oleh PepsiCo pula atas semua 'bayaran' yang mereka terima?

PepsiCo perlu membuka 26 kilang tambahan bagi memproses Pepsi, menjadikan 45 kilang kesemuanya yang bakal beroperasi di USSR demi menampung permintaan yang semakin menggila.

Pertukaran ini menjadikan Pepsi satu-satunya jenama minuman berkarbonat, yang pernah mempunyai angkatan perang sendiri.

Rancangan besar yang runtuh selepas kejatuhan USSR

populariti pepsi di moscow

Pada 9 April 1990, media Amerika Syarikat mula melaporkan tentang kejayaan rundingan di antara USSR dan PepsiCo, bagi melakukan pertukaran terbesar sepanjang kerjasama mereka - melibatkan nilai tukaran sebanyak $3 billion.

Sekiranya berjaya, perjanjian itu bakal menjadi urusniaga terbesar pernah berlaku di antara sebuah syarikat milik Amerika Syarikat dengan kerajaan Soviet. Dalam perjanjian itu,

Soviet bersetuju untuk menukarkan 10 kapal pengangkut minyak dan kapal pengangkut lain, dengan syarat PepsiCo akan memperkembangkan lagi perniagaan mereka serta memodenkan teknik pembuatan yang ada.

Pertambahan 4 kilang baru menjadikan 50 buah kilang kesemuanya lengkap dengan teknologi bagi membolehkan minuman Pepsi dibekalkan dalam tin aluminium menggantikan botol kaca, menjadi syarat utama yang perlu dipatuhi PepsiCo seandainya mahu urusniaga itu dianggap berjaya.

Selain itu, kelonggaran import masuk produk Soviet ke Amerika Syarikat membolehkan PepsiCo kembali mengedarkan Stolichnaya Vodka ke pasaran sana. Perjanjian itu dipersetujui akan kekal sehingga tahun 2000, sebelum perlu dirombak semula.

Malang bagi kedua-dua pihak, Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991 menamatkan perjanjian lumayan yang telah dimeterai. Disebabkan oleh terpecahnya USSR menjadi beberapa buah negara, perang merebut pasaran minuman berkarbonat kembali disertai Coca-Cola.

Namun Pepsi terus rapat dengan Russia. Pada tahun 2009, kilang pengeluaran terbesar PepsiCo dibuka di Moscow dan sehingga kini, Pepsi terus sinonim sebagai minuman kegemaran masyarakat di sana.




Hakcipta iluminasi.com (2017)