Setiap tahun dalam bulan November, lebih daripada setengah juta orang pelajar sekolah menengah di seluruh Korea Selatan akan menduduki peperiksaan terpenting di negara itu. Ujian itu dikenali sebagai CSAT (College Scholastic Ability Test) atau Suneung.
Ia merupakan sesi ujian peperiksaan yang berlangsung selama lapan jam, di mana para pelajar akan diuji dalam bahasa Korea, bahasa Inggeris, matematik, kajian sosial, sejarah dan sains. Ia merupakan ujian terpenting yang akan diduduki oleh mana-mana pelajar Korea Selatan dalam kehidupan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana mereka menjawab soalan dalam peperiksaan pada hari itu akan menentukan universiti manakah yang akan mereka pergi. Ia seterusnya mempengaruhi prospek pekerjaan mereka, pendapatan mereka, di mana mereka tinggal bahkan mempengaruhi kehidupan perkahwinan mereka.
Ia adalah peperiksaan kritikal di mana pihak berkuasa tempatan akan mencuba sebaik mungkin untuk membuatkan hari itu lebih mudah untuk para pelajar yang mendudukinya. Untuk satu hari sahaja, peperiksaan itu menjadi keutamaan di seluruh negara.
Pada hari peperiksaan SCAT, waktu bekerja bermula lewat satu jam supaya kesibukan jalan raya dapat ditangguhkan dan lancar bagi memudahkan pelajar pergi ke dewan peperiksaan. Kadang-kala pegawai polis akan mengiringi para pelajar ke pusar peperiksaan.
Kedai-kedai, bank dan pasaran saham juga dibuka lebih lewat daripada biasa pada hari itu. Pesawat dan kapal terbang tidak dibenarkan terbang semasa ujian pendengaran sedang berlangsung supaya para pelajar yang mengambil peperiksaan berhampiran lapangan terbang tidak terganggu oleh pesawat yang terbang dan mendarat. Seluruh negara seakan-akan terhenti pada hari itu.
Pihak polis membawa calon peperiksaan
Orang ramai, para pelajar yang lebih muda dan guru-guru akan beratur menyusuri jalan-jalan ke pusat peperiksaan sambil menyanyi, bersorak dan bahkan menawarkan coklat kepada calon peperiksaan sebagai tanda tuah.
Manakala ibu bapa calon yang gementar pula akan berkumpul di kuil dan gereja, memegang gambar anak-anak mereka sambil berdoa untuk kejayaan mereka. Tekanan untuk melakukan dengan baik dalam ujian CSAT mencetuskan kemurungan yang ketara di kalangan pelajar.
Seorang pelajar berumur 19 tahun, Lee Yeon-soo, memberitahu Al Jazeera bahawa kebanyakan pelajar mendapat keputusan yang lebih teruk dalam peperiksaan sebenar berbanding ujian latihan kerana tekanan yang begitu tinggi.
Orang ramai bersorak untuk calon peperiksaan
Kerana hanya ada segelintir sahaja universiti berprestij di negara itu, persaingan untuk mendapatkan tempat menjadi begitu sengit. Seorang pelajar, Han Jae Kyung, berjenaka bahawa peluang untuk memasuki universiti terhebat di negara itu adalah sama seperti peluang untuk disambar petir.
Tekanan sosial yang begitu hebat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka juga menyebabkan ramai para pelajar yang mengambil ujian tersebut sebanyak beberapa kali. Namun, ia adalah memalukan kerana menunjukkan bahawa pelajar itu tidak cukup bijak.
Ketidakupayaan untuk melaksanakan yang terbaik mengikut jangkaan masyarakat dan ibu bapa, sering mendorong para pelajar untuk membunuh diri. Menyediakan diri untuk peperiksaan ini adalah "usaha yang memakan diri sendiri".
Ibu bapa berdoa untuk kejayaan anak mereka
Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan CSAT biasanya akan mengadakan sesi pembelajaran sesudah waktu sekolah bermula dari pukul 6 petang hingga 10 malam. Mereka mengkaji semula apa yang dipelajari pada hari itu dan belajar apa yang akan diajar pada keesokan harinya.
Pada hujung minggu pula, ada antara mereka yang menghadiri kelas tusyen. Sesetengahnya akan menghadiri lima hingga enam sesi kelas. Walaupun pihak kerajaan telah membuat undang-undang bahawa pusat pengajian perlu ditutup pada pukul 10 malam, masih ada yang melanggar peraturan itu dan membuat kelas prep sekolah sehingga jam 2 pagi.
Seorang lagi pelajar, Lee Yeon-soo, berkata bahawa dia berasa orang-orang Korea mempunyai penyakit. Ia adalah penyakit "sibuk". Pelajar sibuk belajar sepanjang masa sehingga mereka tidak mempunyai kehidupan lain. Sekolah-sekolah juga telah menjadi seperti penjara.
Inilah hakikat yang perlu dihadapi oleh para pelajar sekolah di Korea Selatan. Setelah berjaya menamatkan pengajian di universiti, mereka juga perlu melalui perkara yang sama seperti ini ketika bekerja.
Agak-agak ada tak yang meniru dalam peperiksaan seperti dalam filem "Bad Genius"?
Rujukan:
1. BBC
2. Al Jazeera
3. SCMP