Bagi sebuah negara yang agak kecil, iaitu berada di kedudukan ke-109 dari segi jumlah kawasan dan berada di belakang Iceland, Korea Selatan sangat terkenal di seluruh dunia.
Antaranya disebabkan oleh pergolakan sempadan dengan Korea Utara, gelombang K-Pop yang menenggelamkan selebriti Hollywood dan macam-macam lagi.
Daripada sebuah negara yang mundur, ekonomi Korea Selatan membangun dengan begitu pesat dan kini jauh meninggalkan pesaing yang lain.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 7 perkara yang dikuasai oleh Korea Selatan berbanding negara-negara lain.
1. Budaya telefon pintar dan Internet
Ingin melihat dunia masa depan? Terbanglah ke negara di mana penggunaan Internet pada tahap 82.7% dan 78.5% daripada penduduknya menggunakan telefon pintar (sehingga 2013). Bagi populasi antara 18 dan 24 tahun, penggunaan telefon pintar adalah 97.7%.
Sambil mereka menghantar emoji kepada rakan-rakan menggunakan aplikasi seperti Naver Line atau Kakao Talk, rakyat Korea Selatan juga menggunakan telefon pintar mereka untuk membayar di kedai-kedai, menonton TV dalam kereta api bawah tanah dan juga mengimbas kod QR di pasar raya maya pertama di dunia.
2. Penggunaan kad kredit
Menurut data dari Bank of Korea, rakyat Korea Selatan menjadi antara pengguna kad kredit paling tinggi di dunia.
Menurut sumber, rakyat Amerika membuat 77.9 transaksi kad kredit bagi setiap orang setahun dan rakyat Kanada pula sebanyak 89.6%. Namun, rakyat Korea Selatan jauh meninggalkan angka ini dengan 129.7 transaksi kad kredit dalams setahun.
Di Korea Selatan, adalah menyalahi undang-undang untuk penjual menolak penggunaan kad kredit tak kiralah sekecil mana sekalipun harga belian, dan semua teksi mempunyai mesin kad kredit.
3. Gila kerja
Rakyat Korea Selatan sudah sangat biasa dengan pelajaran di mana negara ini mempunyai tahap pendidikan tertinggi dalam negara-negara OECD, dengan 98% daripada populasinya menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah dan 63% di peringkat universiti.
Disebabkan ini, mereka tidak dapat lari daripada tabiat ini sebaik sahaja memasuki alam pekerjaan.
Menurut sumber, Brazil mencatatkan rekod gelaran Piala Dunia FIFA terbanyak dan Korea Utara menerajui dari segi penapisan berita, tetapi Korea Selatan menggungguli dari segi gila kerja.
Menurut data dari Kementerian Strategi dan Kewangan Korea Selatan, rakyat Korea Selatan bekerja 44.6 jam seminggu, berbanding dengan purata negara-negara OECD iaitu 32.8 jam seminggu.
Dan menurut kajian yang dikeluarkan pada Ogos 2014, bersama-sama penduduk Tokyo, penduduk Seoul mendapat jumlah tidur yang paling rendah daripada mana-mana penduduk bandar besar di dunia iaitu dengan kurang daripada enam jam sehari.
4. Kosmetik yang inovatif
Apabila bercakap tentang solekan dan kosmetik, Korea Selatan tidak mungkin dapat berhenti bereksperimen dengan bahan-bahan atau kaedah aplikasi. Jika anda masih menggunakan krim siput, maka anda ketinggalan zaman.
Kini Korea Selatan lebih berminat dengan bahan-bahan seperti tanah liat gunung berapi untuk menghasilkan topeng muka dan juga kacang soya yang ditapai.
Di VDL iaitu jenama kosmetik terkini Korea, produk-produk mereka berubah setiap bulan.
Malah, Korea Selatan merupakan pasaran terbesar bagi kosmetik lelaki dan jauh meninggalkan mana-mana negara di dunia, dengan lelaki di Korea Selatan membeli 33% daripada kosmetik lelaki dunia, iaitu sebanyak RM3.6 bilion setahun.
Produk kosmetik Korea Selatan diimport secara meluas ke serata dunia termasuklah ke Malaysia.
5. Starcraft
Bermain permainan video Starcraft sebenarnya adalah kerjaya yang sah di Korea Selatan, dengan para pemain pro menjana pendapatan berjuta-juta ringgit sebagai tambahan kepada tajaan.
Sejak permainan video ini dilancarkan pada tahun 1998, hampir separuh dari semua permainan telah dijual di Korea Selatan, di mana kanak-kanak dan orang dewasa tidak melepaskan peluang bermain.
Terdapat siaran TV yang dikhaskan semata-mata untuk permainan video ini, dan budaya ini telah membawa kepada kira-kira 14% orang Korea Selatan berusia antara 9 hingga 12 tahun yang menderita ketagihan Internet, menurut Badan Informasi Nasional.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan Korea Selatan meluluskan satu larangan yang dikenali sebagai "undang-undang shutdown" atau "undang-undang Cinderalla", mengharamkan individu berusia 16 tahun dan ke bawah daripada laman-laman sesawang permainan.
Akan tetapi, undang-undang ini langsung tidak dihiraukan mereka, membuktikan ketagihan Internet dan Starcraft di Korea Selatan mengatasi undang-undang.
6. Sogeting
"Bila sogeting anda yang seterusnya"? Ini adalah antara salah satu soalan yang paling kerap ditanyakan kepada mana-mana individu yang bujang di Korea Selatan. Sogeting dalam bahasa Korea bermaksud "blind date", atau temu janji tanpa mengenali siapa pihak yang satu lagi.
Jika anda rasakan budaya ini sudah ketinggalan zaman, ia tidak bagi Korea Selatan kerana ini masih dilakukan secara meluas di negara ini. Soalan ini biasanya akan dijawab dengan jawapan, "Kamu ada sesiapa untuk diperkenalkan kepada saya?".
Disebabkan oleh jumlah blind date yang terlalu banyak di Korea Selatan, apabila mereka berasa tidak serasi, mereka akan terus move on dengan cepat.
Menurut data yang dikumpulkan oleh syarikat cari jodoh terbesar Korea Selatan, Duo, jangka masa purata hubungan dari pertemuan pertama hingga ke perkahwinan adalah kira-kira 10.2 bulan untuk mereka yang bekerja, dengan purata 62 pertemuan bagi setiap pasangan.
Dalam kaji selidik yang dilakukan oleh Duo, individu bujang yang bekerja yang berminat untuk berkahwin memberitahu bahawa mereka biasanya hadir ke 2 blind date dalam tempoh seminggu.
Daripada 4 syarikat cari jodoh di Korea Selatan, di mana negara ini mempunyai lebih daripada 2,500 syarikat cari jodoh, Duo mempunyai 63.2% daripada bahagian pasaran Korea Selatan.
7. Pembedahan plastik
Dan yang terakhir yang mana anda mungkin dapat jangkakan, sudah tentunya pembedahan plastik.
Sama ada dahi luas, gigi panjang atau bentuk muka yang lonjong, tiada satu pun ciri-ciri pada wajah yang gagal dicantikkan oleh para doktor di pusat pembedahan kosmetik Asia ini.
Orang Rusia, China, Mongolia, Jepun malah Malaysia berpusu-pusu ke Korea Selatan dalam "lawatan perubatan" melibatkan pembedahan plastik. Mereka ke negara ini bukan sahaja kerana kemahiran yang dimiliki oleh pakar bedah Korea Selatan, tetapi juga untuk harga yang berpatutan.
Menurut pakar bedah plastik Hospital Universiti Nasional Seoul Kwon Seung-taik, untuk pembedahan face-lift wajah yang biasa dan bukannya sangat baik di Amerika Syarikat, pengguna perlu membayar sekitar RM40,000.
Namun di Korea Selatan, pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan yang sama dengan harga yang sangat jauh lebih rendah iaitu sekitar RM8,000 hingga RM12,000.
Malah, pembedahan plastik di negara ini menjadi sangat biasa sehinggakan ibu bapa menghadiahkan anak-anak mereka yang tamat sekolah menengah dengan pembedahan hidung atau kelopak mata.
Rujukan:
1. Huff Post
2. CGI Clinic
3. Sogeting