Kredit foto: mormonmusic.org
Penyakit kemurungan yang dihidapi vokalis Imagine Dragons dari Amerika Syarikat, Dan Reynolds, 30, sudah semakin pulih.
Reynolds yang membuat pengakuan itu di konsert siri jelajah Imagine Dragons Evolve World Tour di Stadium Malawati, Shah Alam, malam Sabtu lalu, berkata, penonton yang mempunyai masalah sama perlulah mendapatkan bantuan dengan segera.
Menurutnya lagi, dia tidak menyangka penyakit yang didiagnosis beberapa tahun lalu itu bertukar menjadi kekuatan baru buatnya pada hari ini.
“Jangan pernah menganggap penyakit itu sebagai satu kelemahan. Kepada sesiapa yang berhadapan kemurungan atau ketakutan, jangan jadikan ia kelemahan diri. Carilah bantuan dan suarakan apa yang kamu ingin sampaikan.
“Paling bagus, carilah pakar terapi untuk diri kerana saya pun memiliki satu. Saya ingin beritahu semua yang saya kini sangat-sangat sihat,” katanya yang berdiri di pentas disaksikan lebih 10,000 penonton yang hadir.
Buat julung kalinya membuat persembahan di Malaysia, mereka akui sudah lama menanam niat untuk ke sini.
Hasrat itu hanya menanti masa yang sesuai untuk direalisasikan untuk para peminatnya yang istimewa.
“Untuk pengetahuan semua, kami sangat menjaga media sosial kami. Saya masih ingat pada 2012, peminat di sini membuat permintaan agar kami datang Malaysia," katanya.
Malah, mereka menyifatkan kunjungan kali ini begitu menarik kerana layanan yang diterima.
“Akhirnya impian itu tercapai dan kami sangat bertuah dapat datang ke sini. Kami dilayan dengan begitu baik dan peminat di sini memang mengagumkan,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro