Oleh pada 05 Jan 2022 kategori

Di sebalik populariti dan kehidupan mewah seorang selebriti Barat, terdapat satu sisi gelap yang menyelubungi kehidupan mereka. Ramai selebriti di Barat meninggal dunia dalam keadaan misteri dan penuh dengan tanda tanya.

Walaupun secara rasminya mereka diumumkan meninggal dunia akibat dos berlebihan, kemalangan atau membunuh diri tetapi penjelasan yang diberikan seolah-olah tidak menggambarkan situasi sebenar kematian itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kematian beberapa selebriti terkenal Hollywood yang masih menjadi misteri dan tanda tanya kepada pihak umum.

1. Kobe Bryant

kobe bryant

Legenda bola keranjang Kobe Bryant, anak perempuannya dan tujuh lagi individu lain meninggal dunia dalam satu nahas helikopter yang berlaku pada 26 Januari 2020. Namun, punca sebenar nahas itu masih tidak diketahui dengan tepat.

Lembaga Pengangkutan dan Keselamatan Kebangsaan A.S. masih belum dapat menentukan punca nahas kerana model helikopter yang dinaiki mereka tidak pernah terhempas sebelum ini.

Walaupun Lembaga Pengangkutan dan Keselamatan Kebangsaan mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa ia adalah disebabkan kegagalan enjin dan mekanikal tetapi mereka juga tidak menolak ia mungkin berpunca daripada kesilapan manusia atau keadaan cuaca ketika itu.

2. Michael Jackson

michael jackson 29

Raja Pop yang terkenal dengan pelbagai tarian unik ini telah meninggal dunia pada 25 Jun 2009 di rumahnya di Los Angeles. Michael Jackson dikatakan meninggal dunia setelah kegagalan jantung akibat keracunan ubat penahan sakit yang disuntik oleh doktor peribadinya yang juga pakar jantung iaitu Dr. Conrad Murray.

Pelbagai spekulasi timbul bagaimana Raja Pop itu boleh meninggal dunia di tangan seorang pakar jantung. Dr. Murray dikatakan meninggalkan Michael Jackson bersendirian selama 47 minit sebelum menemuinya tidak bernafas.

Dia telah menyuntik campuran ubat penahan sakit yang kuat kepada Michael Jackson yang sepatutnya digunakan di hospital sahaja dengan pemantauan rapi.

Dr. Murray juga melakukan CPR dengan cara yang tidak betul (mustahil bagi seorang pakar jantung) dan tidak menghubungi pihak berkuasa dengan pantas atas alasan tidak menjumpai telefon dan tidak mengetahui alamat itu dengan tepat.

Malah, Dr. Murray juga menipu dalam kenyataan yang diberinya kepada pihak berkuasa. Pelbagai misteri menyelubungi kematian Raja Pop ini yang menjadi tanda tanya.

3. Elizabeth Short

elizabeth short

Pelakon berusia 22 tahun ini ditemui mati di sebuah taman di Los Angeles pada 15 Januari 1947 dengan badannya terputus dua. Kematian pelakon ini dikenali ramai sebagai "Black Dahlia Murder" dan merupakan salah satu misteri yang tidak dapat diselesaikan dalam sejarah Hollywood.

Malah, mulut Short juga ditoreh menggunakan benda tajam seolah-olah dia memiliki senyuman "Joker". Terdapat beberapa lagi potongan pada tubuhnya dan sebahagian kulitnya dibuang.

Tidak lama selepas penemuan mayat Short ditemui, seramai 50 lelaki dan wanita tampil mengaku bahawa mereka adalah pembunuh sebenar pelakon itu. Ini menjadikan pihak polis sukar menyiasat kes itu dengan betul.

Akhirnya, pihak berkuasa tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa sesiapa pun. Walaupun terdapat beberapa teori, pihak berkuasa tetap menemui jalan buntu dan mengelaskan kes itu sebagai "Cold Case".

4. Brittany Murphy

brittany murphy dan simon monjack

Brittany Murphy dan Simon Monjack

Pelakon bertubuh genit ini meninggal dunia mengejut pada usia 32 tahun. Dia ketika itu sedang mengalami simptom seperti selsema sebelum rebah di bilik mandinya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pakar bedah membuat kesimpulan bahawa pelakon itu mati akibat radang paru-paru dan anemia. Mereka juga menolak tuduhan bahawa pelakon itu mati akibat lebihan dos ubat-ubatan.

Walaupun banyak ubat-ubatan ditemui di dalam rumahnya, suaminya iaitu Simon Monjack menafikan bahawa Brittany ketagihan ubat-ubatan itu. Monjack tahu bahawa isterinya tidak sihat tetapi tidak membawa berjumpa doktor dengan alasan boleh menanganinya sendiri.

Namun, kematian Brittany menjadi lebih misteri lima bulan kemudian apabila suaminya iaitu Simon Monjack pula ditemui mati dengan punca yang sama dan di tempat yang sama di mana Brittany rebah.

5. George Reeves

george reeves

Pelakon asal Superman ini ditemui mati di dalam biliknya dengan kesan tembakan di kepala pada 16 Jun 1959. Walaupun ia dikategorikan sebagai kes bunuh diri, ramai rakan-rakan pelakon itu mendakwanya sebagai satu pembunuhan.

Malah, rakan-rakannya mendakwa bahawa Reeves tidak mempunyai musuh. Malam sebelum kematiannya, Reeves keluar minum bersama tiga rakannya tetapi mereka terlalu mabuk untuk menjadi saksi kes itu. 

Lebih pelik lagi, tiada nota bunuh diri ditemui. Bahkan, Reeves ditemui mati dalam keadaan berbogel dengan beberapa kesan lebam di mukanya. Keadaan ini adalah sangat pelik bagi sesuatu kes bunuh diri.

Kes kematiannya tidak pernah dibuka semula tetapi bagaimana kes itu disiasat masih tidak memuaskan hati rakan-rakan dan keluarga terdekat pelakon itu.

6. Prince

prince 351

Penyanyi pop terkenal ini meninggal dunia pada 21 April 2016 akibat lebihan dos ubat palsu. Penyanyi itu menyangka dia mengambil sejenis ubat tahan sakit bernama Vicodin tetapi sebenarnya ia adalah ubat palsu yang dicampur fentanyl, sejenis opioid yang 50 kali lebih kuat daripada heroin.

Penyiasatan selama dua tahun mendapati tiada siapa termasuklah Prince sendiri menyedari bahawa dia sebenarnya ketagihan fentanyl sehinggalah ia sudah terlambat.

Malah, pihak berkuasa juga mendapati ubat itu tidak dikeluarkan oleh doktor. Tiada bukti siapa yang membekalkan ubat itu kerana penyanyi itu menjaga privasinya dan tidak mahu sesiapa tahu mengenai penyakit dan ketagihan ubatnya.

Pihak berkuasa yang tidak mempunyai bukti kukuh untuk menangkap atau mendakwa sesiapa telah menutup kes ini tetapi masih terdapat pelbagai misteri yang menyelubunginya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)