Identiti seseorang biasanya mampu kelihatan pada raut wajah seseorang serta warna kulit masing-masing.

Bagaimanapun dalam beberapa situasi di mana perkahwinan campur melibatkan pasangan yang jauh berlainan keturunan dan etniknya, cahaya mata mereka mampu mempunyai pelbagai ciri identiti yang pelbagai mengakibatkan keturunan asal mereka sukar dikenali.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin atas sebab itulah kita digalakkan untuk mengahwini individu yang duduk jauh dari tempat asal kita agaknya? Berikut adalah 5 selebriti yang sukar untuk dikenali apa etniknya kerana latar belakang yang bercampur-aduk keluarganya.

1. Taika Waititi

taika waititi keturunan kaum etnik

Mendengar nama pengarah, pelakon serta pelawak Taika Waititi - kita pasti membayangkan wajahnya mirip seorang lelaki kulit hitam dari Afrika. Itu pandangan penulis pada awalnya.

Tetapi apabila dilakukan carian ke atas nama ini, jelas sekali Waititi merupakan seorang yang berketurunan campur aduk.

Menggunakan dua nama sepanjang kariernya, beliau dikenali sebagai Taika David Cohen sempena nama keluarga ibunya pada awalnya atau Taika David Waititi dari belah keluarga ayahnya.

Ayah beliau seorang lelaki berketurunan Maori daripada etnik Te Whānau-ā-Apanui yang kini hanya tinggal lebih 11 ribu orang di New Zealand, sementara ibu beliau pula adalah seorang wanita Yahudi Ashkenazi bernama Robin Cohen, seorang pensyarah kanan di Victoria University of Wellington.

Walaupun mempunyai darah Yahudi, ironinya - ramai memuji lakonan Waititi sebagai Adolf Hitler dalam filem arahannya 'Jojo's Rabbit' bersama Scarlett Johansson. Waititi turut dikenali sebagai pengarah filem 'Thor - Ragnarok' serta turut memainkan watak lucu rakan karib Thor, Korg dalam filem itu.

2. Shakira

shakira lubnan

Nampak Shakira ni macam orang Arab sikit-sikit kan? Dia pun memang gemar buat tarian gelek yang menyerupai tarian gelek masyarakat Arab. 

Shakira atau nama penuhnya Shakira Isabel Mebarak Ripoll berasal dari Barranquilla, Colombia. Bagaimanapun pengaruh budaya asal ayahnya, William Mebarak Chadid yang berasal dari Lubnan cukup kuat dalam hidupnya.

William berhijrah mengikut keluarga ke Colombia pada usia 5 tahun, terkenal sebagai seornag penulis selepas membina kerjaya sebagai seorang jurnalis dan guru. Ibu Shakira pula adalah wanita tempatan Colombia bernama Nidia del Carmen Ripoll Torrado.

Ketika berusia 4 tahun, William membawa anaknya Shakira ke sebuah restoran Asia Barat yang memainkan muzik berasaskan instrumen doumbek, sejenis gendang tradisional masyarakat Asia Barat yang popular.

Shakira mula meminati muzik dalam genre tersebut yang dia akui mengasyikkan, seterusnya melatih diri sendiri untuk menari.

3. Zoe Kravitz

zoe kravitz keturunan etnik kaum

Pelakon watak 'Catwoman' ini semakin mencipta nama dalam industri filem Hollywood. Dia juga mempunyai latar belakang yang unik serta sukar dikategorikan keturunannya.

Datuknya, Seymour Kravitz adalah seorang Yahudi kulit putih, bertugas sebagai produser drama selepas tamat perkhidmatan tentera sebagai seorang Green Beret. Nenek Zoe pula seorang pelakon wanita kulit hitam anak kepada migran dari Bahamas bernama Roxie Roker.

Hasil perkahwinan kedua-duanya, mereka dikurniakan seorang anak yang dinamakan Leonard Kravitz, lebih dikenali dalam industri hiburan antarabangsa sebagai pemuzik handalan Lenny Kravitz - ayah kandung Zoe.

Ibu kepada Zoe pula adalah Lisa Bonet, seorang pelakon popular sekitar dekad 80-an dan 90-an, yang membintangi siri-siri sitkom televisyen besar seperti The Cosby Show.

Nenek Zoe di sebelah ibunya pula adalah seorang wanita kulit putih berketurunan Yahudi bernama Arlene Joyce Litman, yang mengahwini Allen Bonet seorang penyanyi opera profesional berkulit hitam.

Oleh kerana latar belakangnya yang pelbagai, Zoe sering berhadapan masalah setiap kali ada soalan berkenaan keturunannya diajukan.

Dia pernah dikecam kerana enggan mengiktiraf dirinya sebagai anak seni berkulit hitam, sehingga dituduh dengan bermacam tohmahan walaupun jelas latar belakangnya agak luar biasa.

Pada tahun 2017, Lisa Bonet ibu kepada Zoe mengahwini Jason Momoa, pelakon watak Aquaman yang juga seorang lelaki Hawaii beretnik Phoenicia, menjadikan Momoa ayah tiri kepada Zoe.

Memang meriah betul rumah mereka yang sangat berbeza latar belakangnya.

4. Slash

slash inggeris identiti

Melihat wajah dan saiz pemain gitar terkenal Slash, pasti ramai menyangkakan dia berketurunan Mexico atau negara-negara sekitarnya. Raut wajah beliau juga unik, tidak seorang Caucasian, bukan juga bercirikan Afrika dan sah-sahlah bukan berwajah orang Cina.

Slash atau nama sebenar beliau Saul Hudson adalah anak kepada pasangan yang benar-benar menjiwai seni dalam karier mereka.

Ayahnya, Anthony Hudson seorang pereka dan pelukis berketurunan Inggeris yang pernah mencipta lukisan dan rekaan untuk kulit album pemuzik besar seperti Neil Young dan Joni Mitchell.

Ibunya Ola Oliver merupakan seorang pereka fesyen berkulit hitam yang lahir di Los Angeles, pernah berkhidmat sebagai pereka kostum kepada artis-artis terkenal di Amerika Syarikat seperti John Lennon, David Bowie dan Diana Ross.

Hasil rekaan ikonik Ola ada yang terpilih sebagai pameran kekal di Metropolitan Museum of Art, New York.

Slash sendiri walaupun karier beliau mirip dengan industri hiburan Amerika Syarikat, sebenarnya lahir di Straffordshire, England atau lebih tepat sebuah daerah bernama Stoke-on-Trent. Daerah itu sangat terkenal dengan pembuatan peralatan berasaskan seramik dan tanah liat.

5. Ben Kingsley

ben kingsley gandhi identiti keturunan

Anda tahu tak Sir Ben Kingsley, pelakon veteran popular dalam filem Iron Man dan Shang-Chi, sebenarnya adalah seorang lelaki berketurunan Gujarat bernama Krishna Pandit Bhanji?

Ayahnya bernama Rahimtulla Harji Bhanji, berasal dari Jamnagar, India sementara ibu kepada pelakon veteran ini adalah seorang wanita Inggeris bernama Anna Lyna Mary.

Datuk kepada Ben Kingsley merupakan seorang peniaga rempah berpengaruh, memilih untuk membawa keluarganya berpindah ke negara Zanzibar (kini sudah tidak wujud lagi). Selepas kejatuhan kerajaan Zanzibar, Rahimtulla berpindah ke United Kingdom, ketika Ben atau nama betulnya Krishna berusia 14 tahun.

Walaupun ayahnya seorang Muslim aliran Ismaili, perubahan kepercayaan ini berlaku selepas Kingsley dilahirkan. Krishna/Kingsley dari segi agamanya adalah seorang yang berpegang kepada aliran Quaker, salah satu aliran dalam Kristian Protestan.

Dia memilih untuk menggunakan nama 'Ben Kingsley' sekitar dekad 1960-an, ekoran kesukaran mendapatkan peluang akibat nama asalnya sukar diterima dalam industri hiburan di UK ketika itu.

Ironinya -  karier Kingsley sebagai pelakon mula berkembang ke satu tahap luar biasa selepas memainkan watak Mahatma Gandhi, dalam filem 'Gandhi'.




Hakcipta iluminasi.com (2017)