Kredit foto: Facebook Haqiem Rusli

Haqiem Rusli, 20, mengakui, selepas enam hari merujuk masalah kemurungan yang dihadapinya kepada pakar psikiatri, dirinya lebih tenang dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya lebih tenang dan banyak habiskan masa di rumah.

"Pada mulanya, saya bertemu ahli psikologi disusuli pakar psikiatri. Ada beberapa perkara yang saya tak boleh dedah kerana sangat sulit.

"Namun, apa yang boleh saya beritahu, saya lebih tenang dan stabil," katanya kepada BH Online.

Bagi penyanyi yang melonjak naik menerusi rancangan pencarian bakat Idola Kecil musim pertama tahun 2008 itu, proses pemulihan banyak dibantu melalui gaya kehidupan sihat yang baharu dipraktikkannya.

"Kalau dulu, saya suka lepak pada waktu malam hingga pagi, apatah lagi saya berdepan masalah sukar tidur atau insomnia.

"Bayangkan, setiap hari, saya hanya boleh tidur pada jam lima atau enam pagi," katanya yang membuat kenyataan sewaktu menghadiri majlis Stand In Solidarity For Mental Illness anjuran Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) di Petaling Jaya.

pakar psikiatri bersuara isu kemurungan haqiem rusli 2

Kredit foto: Instagram Erra Fazira

Majlis itu menyaksikan aktres Erra Fazira diumum menjalin kerjasama dengan pertubuhan berkenaan dengan matlamat meningkatkan kesedaran netizen terhadap sakit mental.

Haqiem turut mengaku dirinya disaran doktor agar mendapatkan waktu rehat yakni tidur yang secukupnya.

"Saya cuba mengubah gaya hidup yang lebih sihat... Saya kena cukup tidur.

"Doktor juga beri ubat tidur supaya saya dapat putaran normal semula... Saya tidak lagi keluar rumah terlalu kerap buat sementara waktu.

"Ini kerana saya tak mahu mengundang kecaman. Saya selesa meluangkan masa dengan keluarga di rumah," katanya yang bercuti dalam tempoh sebulan untuk menstabilkan kesihatan. 

Memilih untuk menjadi diri sendiri dalam interaksinya menerusi media sosial, itulah yang bakal direncanakan Haqiem susulan apa yang telah berlaku.

"Sebelum ini, saya agak takut hendak muat naik sesuatu... Namun, selepas diberi semangat insan terdekat, saya memilih jadi diri sendiri.

"Saya ambil langkah menutup ruang komen untuk tidak menggalakkan netizen menambah dosa, sekali gus menyalurkan aura negatif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Haqiem bakal menyambung aktiviti seni bagi mempromosikan single terbaharu, Selamat Tinggal Sayang, begitupun pemilihan acara akan menjadi lebih selektif kelak.

pakar psikiatri bersuara isu kemurungan haqiem rusli 3

Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

"Cuma buat masa sekarang, saya kena lebih selektif memilih acara. Saya lebihkan masa untuk diri sendiri berbanding aktiviti lain," katanya.

Dalam pada itu, pakar psikiatri dan pensyarah kanan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM), Dr Hazli Zakaria yang turut berada pada majlis sama, berkata, Haqiem yang mendakwa dirinya mengalami kemurungan perlu melengkapkan prosedur rawatan termasuk sesi perundingan.

"Ada banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum memulakan diagnosis. Ini bukan mudah kerana banyak maklumat perlu diambil tahu.

"Saya perlu faham apa yang berlaku kepada dirinya sehingga timbul masalah berbangkit seperti didakwa. Kita perlu tahu apa yang terjadi kepadanya adalah kesihatan mental atau penyakit mental," katanya.

Tambahnya, beliau mengutamakan usaha dalam meningkatkan tahap keyakinan diri remaja itu sepanjang rawatan berlangsung.




Hakcipta iluminasi.com (2017)