Menjadi seorang selebriti walaupun terpalit dengan populariti serta kemahsyuran, sebenarnya membawa beban yang agak besar untuk seseorang.

Kehilangan privasi diri serta berdepan banyak kekangan dalam menjalani kehidupan normal, mampu membuatkan seseorang rasa menyesal mahu merasai status bergelar selebriti.

Itulah sebabnya, ada di kalangan selebriti terkenal yang namanya mahsyur ke seluruh dunia menyembunyikan kisah bagaimana wujudnya pasangan kembar mereka, yang hidup biasa serta lari dari merasai apa yang adik beradik kembar mereka alami.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 selebriti terkenal antarabangsa yang sebenarnya mempunyai adik-beradik kembar.

1. Rami Malek dan Sami Malek

rami sami malek

Rami Malek merupakan pelakon berketurunan Arab yang mencipta nama dengan siri televisyen 'Mr. Robot', sebelum naik sebagai bintang filem selepas terpilih melakonkan watak Freddie Mercury dalam filem Bohemian Rhapsody.

Dia mempunyai seorang kembar seiras bernama Sami Malek yang kini berkhidmat sebagai seorang guru di Los Angeles.

Sami yang kekurangan bakat dalam bidang lakonan dikatakan pernah menggunakan khidmat adiknya menyamar menggantikan dirinya, membaca monolog dalam salah satu tugasan universiti yang perlu diselesaikan.

Selepas menamatkan pengajian Sami meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan, mengajar subjek 'English as Second Language' atau ESL di sekolah peringkat menengah. Rami pula terus mengejar cita-citanya mahu menjadi aktor yang serius hasil minatnya melakonkan drama sejak usia muda lagi.

2. Vin Diesel dan Paul Vincent

paul vincent vin diesel

Walaupun menggunakan nama 'Vin Diesel,' nama sebenar beliau adalah Mark Sinclair Vincent.

Imej lasak yang seringkali dimainkan beliau dalam filem membuatkan Vin terkenal sebagai seorang pelakon aksi yang disegani jauh berbeza dengan kembar tidak seirasnya, Paul Sinclair Vincent yang jarang muncul di khalayak ramai. 

Berbeza dengan kembarnya, Paul memilih untuk menjalani hidup normal membina karier sebagai seorang produser yang senantiasa bertindak di balik tabir. Dia sengaja memilih untuk menyembunyikan dirinya daripada media, sehinggakan tidak langsung memiliki akaun media sosial.

Pasangan kembar ini lahir pada 18 Julai 1967 dalam perut yang sama, tetapi mempunyai perwatakan serta identiti yang sangat jauh berbeza antara satu sama lain. Vin Diesel terkenal dengan imej kepala botaknya sementara Paul pula lebih terkenal kerana tidak terkenal.

Hanya selepas Vin Diesel mengakui kewujudan kembarnya, barulah media menyedari Vin Diesel sebenarnya mempunyai kembar yang layak dikatakan lebih kacak jika dibandingkan keduanya.

3. Alanis Morissette

alanis dan wade morisette

Satu ketika dulu, Alanis Morissette merupakan penyanyi wanita nombor satu dunia selepas kemunculan album 'Jagged Little Pill' pada tahun 1995, membuktikan irama alternatif rock mampu dinyanyikan wanita dalam keadaan marah-marah.

Album tersebut juga mengubah nasibnya, mengangkat beliau sebagai ikon muzik antarabangsa yang masih aktif hingga kini.

Beliau berkongsi rahim dengan seorang bayi lelaki, kembarnya yang lahir beberapa minit lebih awal bernama Wade Imre Morissette.

Pengaruh muzik dalam hidup pasangan kembar itu bermula sejak awal dengan pendedahan kepada instrumen piano dan gitar yang menjadi permainan awal mereka berdua - sehinggakan kedua-duanya berkecimpung dalam muzik.

Jika Alanis terkenal dengan muzik alternatif rock, Wade pula memilih melodi lebih tenang; mengadunkan elemen muzik berkonsepkan spiritualiti, mempersembahkan lagu-lagu yang mampu membuatkan seseorang terpesona dan khusyuk serta meneruskan tradisi persembahan klasik yang digelarkan sebagai 'kirtan.'

4. Scarlett Johansson

scarlett johansson kembar abangnya lelaki

Scarlett Johansson kini bergelar pelakon wanita yang mendapat bayaran tertinggi di dunia dan gelaran itu dipegangnya sejak tahun 2018.

Lahir pada 22 November 1984, Scarlett berkongsi alam rahim dengan kembarnya, Hunter yang rapat melindungi Scarlett setelah adiknya bergelar selebriti.

Hunter pada asalnya turut  mencuba nasib menceburi bidang lakonan seawalusia 12 tahun, namun jelas rezekinya bukan di situ seperti adiknya. Selepas menamatkan pengajian, Hunter lebih banyak menyertai gerakan komuniti sebelum mula aktif dalam bidang kerajaan tempatan, terlibat sebagai badan penggerak komuniti di Manhattan Municipal Building.

Dia menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2008 selepas ditawarkan menjadi sebahagian daripada jawatankuasa gerak kerja kempen bersama Barrack Obama semasa merebut jawatan presiden, menjawat beberapa jawatan lain dalam NGO-NGO yang melakukan kerja-kerja amal.

5. Ashton Kutcher

ashton kutcher michael kutcher

Ashton Kutcher kini mungkin tidak aktif seperti dahulu sebagai pelakon, lebih menumpukan perhatian kepada kariernya sebagai seorang pelabur saham serta aktivis membanteras pemerdagangan manusia.

Kembarnya pula Michael Kutcher merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya serta seorang aktivis. Kedua-duanya berkongsi zaman membesar yang serupa, berdepan perceraian ibu bapa tetapi Michael dikatakan lebih banyak menderita.

Pada usia kecil 3 tahun Michael disahkan mengidap masalah cerebral palsy yang menyebabkan pergerakannya terbatas, tidak seperti manusia lain berikutan masalah abnormaliti pada anggota badan. Penyakit ini melemahkan anggota badannya di bahagian badan sebelah kanan.

Ketika baru berusia 13 tahun, Michael mengalami masalah pada bahagian jantung sehingga  memerlukan jantung baru dimasukkan bagi menggantikan jantungnya yang mula rosak.

Walaupun kini semakin sihat, kondisi kedua-dua kembar ini nyata berbeza sejak mula lagi. Ashton yang lahir lebih awal mempunyai berat 4.76kg semasa dilahirkan, berbeza dengan adiknya Michael yang hanya mempunyai berat 2.27kg.

Oleh kerana mengalami sendiri hidup yang berbeza haluannya walaupun pernah duduk dalam rahim yang sama, setiap kali topik tentang adiknya diajukan Ashton tidak dapat menahan air mata.

Secara kebetulan, nama watak yang dimainkan Ashton dalam siri tv 'That 70's Show' yang menjadi batu loncatan pertama beliau sebagai pelakon - dinamakan 'Michael.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)