album terakhir hafiz hamidun 1

Kredit foto: Instagram Hafiz Hamidun

Selepas 16 tahun, penyanyi Hafiz Hamidun bakal menamatkan kerjayanya sebagai penyanyi menerusi penerbitan album terakhir.

“Selepas tujuh album, sudah sampai masanya saya berhenti. Kini, saya dalam proses pembikinan album terakhir,” katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu ketuhanan itu menyifatkan album yang sedang dalam proses pembikinan ini menjadi pelengkap kepada kerjayanya selaku penyanyi solo.

“Cukuplah album yang pernah saya keluarkan sebelum ini. Namun, itu tak bermakna saya bersara kerana akan terus menghasilkan karya untuk penyanyi lain,” katanya.

Usaha untuk menggahkan album yang memuatkan 14 buah lagu itu diperhebatkan lagi dengan sasaran promosi secara global.

album terakhir hafiz hamidun 2

Kredit foto: Instagram Hafiz Hamidun

“Saya gelarkan ia sebagai album antarabangsa dan satu ‘masterpiece’ daripada saya. Semua pengalaman yang diraih sepanjang kembara seni ini, saya curahkan dalam album ini," katanya.

Tidak sekadar itu, Hafiz mengharapkan ia mampu menjadi karya malar segar yang tak lapuk ditelan zaman.

“Moga album terakhir ini diterima ramai dan bertahan lama. Siapa tahu, mungkin sehingga 10 tahun ke depan nama saya masih dikenali kerana album ini.

“Banyak hal yang perlu difikirkan sebelum mengeluarkan album. Saya tahu, saat ini ramai penyanyi lebih selesa mengeluarkan satu persatu single tetapi saya fikirkan lebih daripada itu.

“Album ini menunjukkan kecintaan dan komitmen saya terhadap bidang ini,” katanya.

Penyanyi dan komposer berusia 34 tahun itu menganggap produk terakhir ini sebagai ruang untuk beliau meneroka cabaran baharu.

“Apabila berakhirnya penerbitan album untuk diri sendiri, saya harap ada peluang untuk melakukan kerja lain.

“Maksud saya, pergi lebih jauh sebagai anak seni. Saya pernah membuat persembahan di banyak tempat termasuk Istana Budaya.

“Matlamat saya bukan sekadar lagu saya dimainkan di radio dan TV tetapi lebih daripada itu. Jadi, kalau ada rezeki, mungkin saya boleh melebarkan sayap ke luar negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya pengalaman menyambut Ramadhan kali ini, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC ini mengakui tidak banyak bezanya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Setiap tahun, usia semakin meningkat dan matlamat saya sekarang mahu membahagiakan ibu bapa dan diri sendiri,” katanya.


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)