lagu terbuang dalam pelukan ada kaitan dengan joy revfa ini kata hafiz hamidun

Kredit foto: Instagram Hafiz Hamidun & Instagram Bob

“Lagu Terbuang Dalam Pelukan saya hasilkan pada 2011 dan ia tiada kena mengena dengan kisah peribadi saya.”

Demikian kata penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun mengulas lagu single terbaru nyanyian Bob di Konsert Akhir AF Megastar pada Ahad.

Hafiz menyifatkan liriknya yang didakwa mempunyai kaitan dengan kontroversi yang dilaluinya sebelum ini sebagai kebetulan sahaja.

Ini kerana jelasnya, melodi dan lirik lagu itu telahpun disiapkan sepenuhnya pada tahun 2011 lagi.

"Ketika saya menghasilkan melodi lagu ini sejujurnya ia hanya untuk suka-suka saja selain eksperimen saya nak menguji sejauh mana kemantapan vokal Bob.

"Ternyata Bob seorang penyanyi yang bagus kerana dia mampu mempersembahkan lagu ini dengan baik. Malah, saya amat puas hati dengan persembahan Bob," dedahnya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia terkejut dengan hasil penulisan lirik Bob yang disifatkan dramatik.

"Selepas saya menyiapkan melodi lagu ini memang Bob yang meminta untuk dia menulis liriknya. Sebagai komposer, saya tiada masalah untuk memberi kebenaran.

"Cuma, apabila lagu ini siap dirakam sepenuhnya baru saya terfikir mahu meletakkan judulnya Terbuang Dalam Pelukan dan Bob turut setuju," ujarnya.

Selain itu, Hafiz memberitahu dia sedikitpun tidak terkesan apabila mengetahui penyanyi itu gagal menduduki sebarang tempat dalam pertandingan akhir kerana fokusnya hanyalah ingin melihat lagu itu diterima pendengar.

"Dengan bakat dan keupayaan dimiliki Bob, saya sangat gembira kerana dia (Bob) berjaya membuktikan kemampuan dirinya yang sebenar.

"Justeru, saya berharap masyarakat dan pendengar muzik di negara ini membuka mata untuk membuat penilaian dengan mengutamakan bakat berbanding memandang pada pakej personaliti seseorang penyanyi," katanya.

Ditanya mengenai kisah peribadinya yang masih menjadi bualan, penyanyi itu memilih untuk mengunci mulut.

Harapannya agar urusan penyelesaian kes itu berjalan dengan lancar agar dia dapat kembali memberi tumpuan kepada karier seni dan dunia perniagaan yang diceburi.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)