Kredit gambar: Jack Board
Jika melihatkan pada gambar ini, ia kelihatan seolah-olah sebuah planet lain, dan bukannya di bumi. Kawah gunung berapi Ijen, yang terletak di Jawat Timur, merupakan sebuah lombong sulfur.
Pekerja-pekerja harus mengharungi gas berbahaya yang dikeluarkan oleh kawah ini, untuk mengekstrak sulfur, dan sejumlah sulfur mencecah 80kg dibawa naik ke atas melalui cerun yang sangat curam, untuk mencari sesuap nasi. Pekerjaan sebagai pelombong sulfur di kawah ini boleh dikatakan antara salah satu pekerjaan yang paling berat, sukar dan teruk di Asia.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika waktu malam, gas yang dikeluarkan oleh kawah ini terbakar secara semulajadi yang menghasilkan apa yang dipanggil "api biru". Ia menjari tarikan pelancong yang sanggup menuruni curam kawah ini untuk bergambar. Namun bagi pekerja lombong ini, mereka harus memulakan kerja pada awal pagi.
Seperti salah seorang daripada mereka, Yatim, 44, beliau dan pekerja-pekerja lain memulakan kerja ketika hari masih gelap seawal jam 2 pagi. Ini kerana untuk mengelakkan cuaca panas terik.
Rutin pekerjaan mereka adalah mengekstrak sulfur berwarna kuning yang terhasil secara tidak berhenti di tepi tasik tersebut. Gas-gas yang terperangkap akan mengalir dalam bentuk cecair melalui sistem paip yang sangat luas.
Cecair tersebut kemudiannya menyejuk, dan menjadi keras. Dan ia menjadi tugas mereka untuk memecahkan ketulan-ketulan suflur tersebut kepada saiz yang lebih kecil.
Ia menjadi semakin sukar apabila asap sulfur yang dibawa angin, melalui dan hinggap di wajah para pekerja, menyebabkan mata mereka tertutup, dan kaku buat seketika. Asap-asap tersebut terpaksa disedut, dan masuk ke dalam paru-paru mereka. Ia merupakan musuh utama pekerja lombong sulfur ini.
Menurut Yatim, jika terdapat asap tebal, angin dan ditambah dengan hujan, ia sangat sukar untuk bekerja.
"Ia menyebabkan mata dan hidung saya sakit. Saya akan terus terbatuk serta-merta. Dan jika anda tak tahan, anda akan termuntah, dan menyebabkan sakit dada. Ia membuatkan pekerjaan ini sangat-sangat sukar dan perit," jelas Yatim.
Sebagai usaha menjaga kesihatan ketika bekerja, Yatim memakai penutup muka bagi mengurangkan kesan asap tersebut. Namun beliau akui penapis tersebut telah lama, dan tak mampu lagi untuk menghalang asap.
Bagi pekerja lombong veteran mula, yang paling tua berusia 65 tahun, mereka memilih untuk hanya menutup muka menggunakan pakaian, dan ada juga yang tak mampu untuk mendapatkan perlindungan. Kebanyakan daripada mereka yang mempunyai penutup muka, merupakan pemberian pengunjung dan pelancong yang prihatin terhadap mereka.
Ketulan-ketulan sulfur yang sudah dipecahkan menjadi kecil kemudiannya dipungut dan dimasukkan ke dalam 2 bakul kayu yang mempunyai dua bahagian, seperti dacing. Setelah penuh, mereka harus mengandar bakul tersebut dengan mengimbanginya di atas bahu, dan mengharungi cerun yang curam.
Perjalanan naik ke atas tidak mudah kerana berat sulfur-sulfur tersebut boleh mencecah 80 kilogram. Ia membuatkan mereka terpaksa berhenti seketika untuk berehat.
"Ia sangat menyakitkan, terutama di bahagian pinggang. Bahagian bahu pun terasa sakit, tetapi hanya sedikit. Jika ada tempat untuk berehat, saya akan berehat dan tidak kelam kabut untuk naik ke atas. Jika saya tak berhenti berehat, saya akan mudah penat," tambah Yatim.
Ia merupakan kombinasi kerja yang sangat sukar. Jika ia harus dilakukan oleh kita, sudah pasti tak ada yang sanggup, namun di sini, mereka tetap harunginya.
Yatim tidak berkongsi mengenai kesihatannya, seperti kebanyakan pelombong-pelombong lain yang tidak hiraukan kesan menyedut asap sulfur. Yatim memberitahu beliau melakukan pemeriksaan paru-paru dan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.
Hanya gigi mereka terkesan, yang menjadi terhakis akibat tahap keasidan sulfur yang sangat tinggi.
Terdapat pertimbangan untuk memodenkan atau menggunakan mesin untuk melombong, namun pekerja-pekerja ini tidak mahukannya. Mereka bimbang jika ia berlaku, mereka akan dibuang kerja, atau dibayar mengikut paket.
Dari segi gaji pula, ia terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan kerja yang terlalu berat. Menurut laporan Al-Jazeera pada tahun 2014, setiap kilogram akan dibayar sebanyak RM0.30. Yatim memberitahu beliau biasanya membawa pulang wang sebanyak RM245 seminggu. Ia bergantung kepada jumlah berat sulfur yang diperolehinya. Baginya, ia adalah gaji yang agak lumayan, di kawasan yang mereka tinggal.
Disebabkan mempunyai tanggungan, ia membuatkan Yatim masih kuat untuk bekerja, menampung perbelanjaan keluarganya, dan mahukan anak-anaknya mendapat masa depan yang lebih baik.
"Saya harap mereka akan berjaya dan mendapat kerja yang lebih baik. Apa sahaja impian mereka, kita sebagai ibu bapa harus menyokong dan mendoakan mereka. Saya harap mereka tidak menjadi seperti saya," ujar Yatim.
Rujukan:
1. Al-Jazeera
3. BBC