Oleh pada 11 Sep 2017 kategori

uitm

Sebagai salah sebuah negara membangun, edukasi di Malaysia boleh dikatakan agak stabil. Walaupun terdapat banyak ruang yang masih boleh diperbaiki, kita patut berbangga dengan sistem yang sedia ada. Sebanyak 19.72% daripada perbelanjaan keseluruhan negara dibelanjakan pada sistem pendidikan.

Pada tahun ini, sistem pendidikan tinggi Malaysia telah memecahkan rekod, buat kali pertamanya berada di kedudukan ke-25 di dunia, yang merupakan pencapaian terbaik. Ia membuktikan bahawa sistem pendidikan tinggi kita adalah suatu kuasa baru yang tidak boleh dinafikan kehebatannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

yuna uitm

Faktornya? Tentulah pencapaian universiti-universiti di Malaysia yang kian meningkat prestasinya. Times Higher Education telah mengeluarkan senarai kedudukan universiti dunia 2018, dan iluminasi.com ingin berkongi 8 universiti Malaysia yang berada dalam ranking 1000 universiti terbaik dunia 2018.

8. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

uniten

Pengajaran : 17.1%
Penyelidikan : 11.7%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 973

UNITEN atau Universiti Tenaga Nasional, sebuah universiti berstatus GLC yang merupakan milik  Tenaga Nasional Berhad sepenuhnya berada di tangga ke-973 universiti terbaik dunia, 1 tangga lebih baik daripada Texas State University. Ditubuhkan pada tahun 1999, ia yang kini mempunyai pelajar seramai 8,231 orang pelajar yang mana 7% daripadanya adalah pelajar luar negara. 

UNITEN juga mempunyai 24 pusat kajian yang mempunyai visi untuk menjadi universiti terkemuka dalam tenaga global. Antara alumni-alumni UNITEN yang dikenali adalah Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Najwan Halimi (bekas setiausaha akhbar DS Anwar Ibrahim), dan juga penyanyi Amir AF 2016.

(Sumber : Times Higher Education)

7. Universiti Teknologi Petronas - 785 

utp

Pengajaran : 33.3%
Penyelidikan : 25.2%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 785

Berada di tangga ke-7 universiti terbaik Malaysia, dan juga ke-785 terbaik dunia adalah Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang terletak di Tronoh, Perak. Ia ditubuhkan pada tahun 1997 atas arahan kerajaan Malaysia. 

Kursus-kursus di UTP diatur kepada 3 fakulti berlainan untuk peringkat ijazah sarjana muda, dan juga terdapat pelajar ijazah sarjana. Ia mempunyai pelajar seramai 5,875 orang secara keseluruhan, dan hampir 1,300 pelajar luar negara. 

UTP berada di tangga ke-91 daripada 300 universiti bagi kategori "BRICS & Emerging Economies 2017" (Institusi di negara yang diklasifikasikan sebagai “advanced emerging”, “secondary emerging” atau “frontier”, oleh FTSE (Financial Times Stock Exchange))

Selain itu, UTP juga berada di kedudukan ke-150 universiti terbaik Asia, dan ke-192 universiti muda (bawah 50 tahun).

(Sumber : Times Higher Education)

6. Universiti Teknologi Malaysia

utm

Pengajaran : 31.1%
Penyelidikan : 20.4%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 784

Sejarah penubuhan UTM atau Universiti Teknologi Malaysia bermula sejak 1904, iaitu sebuah sekolah teknikal yang diberi nama "Treacher Technical School" terletak di Weld Road (sekarang Jalan Raja Chulan). Tujuan penubuhannya adalah untuk mengajar Pembantu Teknikal kepada Jabatan Keretapi, Ukur dan Kerja Raya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Ia kemudiannya menjadi sebuah kolej teknikal, dan pada 1 April 1975, perjalanan sebuah sekolah kepada sebuah universiti lengkap apabila Universiti Teknologi Malaysia ditubuhkan. Fokus utama UTM adalah terhadap bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

UTM berada di kedudukan ke-139 universiti terbaik Asia dan ke-100 kategori "BRICS & Emerging Economies 2017". Purata peratusan keseluruhan diperoleh UTM adalah 30.6% (27.5% pada 2017) meletakkan UTM di tangga ke-784 universiti terbaik dunia.

(Sumber : Times Higher Education)

5. Universiti Sains Malaysia

usm

Pengajaran : 32.2%
Penyelidikan : 17.7%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 757

USM merupakan universiti kedua yang ditubuhkan di Malaysia iaitu pada tahun 1969. Dengan jumlah pelajar hampir 30,000 orang, ia merupakan antara universiti terbesar di Malaysia dari segi jumlah pelajar.

USM menggunakan pendekatan berbeza daripada universiti-universiti lain yang memilih sistem "sekolah", dan disokong oleh pelbagai jenis aktiviti kurikulum tambahan. USM percaya ia dapat meningkatkan disiplin dan pengalaman secara keseluruhan, yang menghasilkan graduan yang mempunyai pelbagai jenis kemahiran.

Di Asia, USM berada di kedudukan ke-165, mengatasi University of Science and Technology Beijing, dan juga Tokyo University of Science.

(Sumber : Times Higher Education)

4. Universiti Putra Malaysia

upm

Pengajaran : 26.6%
Penyelidikan : 23.7%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 753

Seperti UTM, UPM juga mempunyai sejarah tersendiri. Ia mula-mula ditubuhkan sebagai Sekolah Pertanian pada tahun 1931. Ia kemudiannya berubah menjadi Kolej Pertanian Tanah Melayu pada tahun 1947, dan Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1973.

Bermula tahun 1997, ia dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia. Walaupun mengalami beberapa kali perubahan, namun fokus UPM tidak berganjak iaitu kepada pertanian dan menjadi sebuah universiti penyelidikan yang terkenal di Malaysia.

UPM kini mempunyai 16 buah fakulti yang menampung 24,000 orang pelajar. Dengan peratusan purata 30.6%, UPM berada di kedudukan ke-753 universiti terbaik dunia, dan ke-126 universiti terbaik Asia.

UPM juga berada di kedudukan ke-45 dunia dalam "Universiti Global Terbaik untuk Sains Pertanian" oleh U.S. News & World Report College and University Ranking.

(Sumber : Times Higher Education)

3. Universiti Kebangsaan Malaysia

ukm

Pengajaran : 26.6%
Penyelidikan : 23.7%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 693

Ditubuhkan pada tahun 1970, kampus utama UKM terletak di Bangi, Selangor. UKM merupakan salah satu daripada 4 universiti penyelikan di Malaysia. Penubuhan UKM diaspirasikan oleh nasionali yang ingin mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahawa pengetahuan.

Walaupun terdapat pelbagai bidang di UKM, namun fokus utamanya adalah berkaitan tenaga termasuklah sains bumi dan bioteknologi. Kajian dan penyelidikan oleh UKM telah menggerakkan pelbagai industri di Malaysia termasuklah kejuruteraan, seni bina dan sains pemakanan.

Pada tahun 2006, UKM memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri, membuktikan usaha UKM memberikan pendidikan berkualiti. Selain itu, UKM jukga menjalankan kerjasama dengan Oxford University Innovation melalui satu perkongsian bagi membantu struktur pengkomersilan dan proses. Disebabkan ini, Universiti Oxford telah membuat beberapa urusan perlesenan dalam industri di Malaysia.

(Sumber : Times Higher Education)

2. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)

utar

Pengajaran : 15.4%
Penyelidikan : 7.8% 
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 593

Berada di tangga ke-2 universiti terbaik di Malaysia, UTAR juga merupakan universiti swasta terbaik di negara kita. UTAR ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai universiti swasta tak berkeuntungan (not-for-profit private university) dan dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Pendidikan UTAR.

Kini UTAR menawarkan 110 program akademik di 9 buah fakulti dan 3 institut di seluruh Malaysia. Program bermula dari peringkat asasi sehinggalah peringkat doktor falsafah.

Sehingga kini, UTAR telah menubuhkan kerjasama rasmi bersama lebih daripada 200 institusi pendidikan dan industri korporat di dalam dan luar negara dengan tujuan memudahkan pertukaran antarabangsa, penyelidikan dan latihan.

UTAR berada di kedudukan ke-129 universiti terbaik Asia.

(Sumber : Times Higher Education)

1. University of Malaya

um

Pengajaran : 31.2%
Penyelidikan : 26.6%
Kedudukan dunia 2018 : Nombor 380

Seperti yang dijangkakan, Universiti Malaya yang merupakan universiti tertua di Malaysia berada di tangga pertama senarai ini. UM mempunyai akar umbi di Singapura, dengan penubuhan Kolej Perubatan King Edward VII pada tahun 1905, yang juga diberi nama "Sekolah Perubatan Kerajaan Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu".

Pada tahun 1949, Kolej Perubatan King Edward VII bergabung dengan Kolej Raffles, yang menjadikan tertubuhnya Universiti Malaya. Kini UM mempunyai 12 buah fakulti termasuklah fakulti undang-undang, pergigian, perubatan, bina alam sekitar, ekonomi dan pentadbiran, perniagaan dan perakaunan, pendidikan, sains, bahasa dan linguistik, seni dan sains sosial, sains komputer dan teknologi maklumat, akademi pengajian Melayu, akademi pengajian Islam, pusat budaya, pusat sukan dan pusat pengajian asasi.

Pada tahun 2015, UM berada di kedudukan ke-35 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi oleh QS, manakala U.S. News & World Report meletakkan UM di kedudukan 57 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan.

Di peringkat universiti Asia, UM berada di kedudukan ke-59 pada tahun 2018.

(Sumber : Times Higher Education)



Hakcipta iluminasi.com (2017)