Oleh pada 06 Oct 2018 kategori

raja bomoh kepercayaan psikologi

Ayat seperti 'kita hanya menggunakan 10% daripada otak kita, jika anda telan gula-gula getah - gula itu akan lekat dalam tubuh anda selama beberapa tahun' atau yang paling klasik setakat ini  'bumi ini sebenarnya rata' merupakan kepercayaan-kepercayaan yang dilihat seperti mempunyai asas yang kukuh.

Namun kita semua tahu, kesemua hujah di atas telah dibuktikan tidak ada kebenarannya dari segi saintifik. Sama seperti sebuah artikel kami berkenaan kod warna pada ubat gigi yang dikatakan penanda kepada bahan ubat gigi tersebut. Sudah terbukti ramai sekali orang yang dengan mudah terpercaya dengan kenyataan-kenyataan sedemikian rupa, apatah lagi dalam zaman informasi ketika ini, di mana kita mudah percaya apa saja yang dikongsikan individu yang kita kenal.

Bukan kita sahaja yang tertipu. Golongan bijak pandai seperti doktor pun ada kalanya menjadi tukang hebah kepada kepercayaan-kepercayaan tidak ada asas, sehingga menakutkan pesakit. Kena fenomena 'mudah percaya' ini berlaku pada setiap lapisan masyarakat?

Kenapa kita mudah percaya perkara tidak ada asas?

mufti tak percaya

Tidak ada jawapan yang tepat dapat disimpulkan dalam menjawab persoalan di atas. Ini kerana sindrom ini mampu berlaku pada sesiapa saja, tak kiralah secerdik mana dia sekalipun.

Salah satu pendapat paling popular kenapa kita mudah percaya sesuatu tanpa asas, adalah disebabkan keadaan mental kita yang lebih gemar untuk mengambil jalan mudah dalam memahami sesuatu.

Oleh kerana berlaku terlalu banyak perkara yang tak mungkin dapat kita ikuti, kerana masa yang terhad - kita akan mengambil jalan pintas dalam usaha untuk menjelaskan kepada minda kita sendiri tentang sesuatu perkara yang kita tak berupaya untuk menyelidiknya sendiri.

Ini mengakibatkan minda kita dengan pantas dan tanpa sedar akan membuat kesimpulan apakah perkara yang patut kita percayai, walaupun kita tak tahu latar belakang apa yang kita percayai. Kesimpulan pantas inilah menjadi penyebab utama kenapa ramai antara kita mudah percaya sesuatu.

Bagaimanapun, persoalannya - kenapa kita melakukan perkara sedemikian secara automatik? Ada beberapa sebab kenapa minda kita nak cepat benar 'menyelesaikan sesuatu persoalan,' antaranya;

Tahap heuristik seseorang individu

polis berisiko tinggi

Sekiranya ditanyakan satu soalan - "manakah pekerjaan yang lebih bahaya; nelayan atau pegawai polis?" apa jawapan anda? Majoriti individu akan menjawab pegawai polis. Ini disebabkan kita sudahpun mengetahui risiko pekerjaan pegawai polis yang mungkin datang daripada pembacaan kita terdahulu atau pengalaman-pengalaman yang telah kita kumpul. Bagaimanapun, realitinya pekerjaan nelayan membawa 10 kali lebih risiko kematian berbanding pegawai polis.

Itulah yang dinamakan kebolehan heuristik seseorang. Ramai akan menjawab pegawai polis disebabkan kita senantiasa didedahkan dengan berita kematian pegawai keselamatan, menyebabkan minda kita menyimpan maklumat itu - sehingga mempengaruhi kita untuk percaya 'memang benar kerja pegawai polis lebih berisiko daripada nelayan.'

Ini menyebabkan kita tidak mampu melakukan pertimbangan sewajarnya, sehingga kita tersalah sangka dalam sesuatu perkara. Inilah juga salah satu cara propaganda politik disebarkan. Apabila sesuatu perkara itu kerap diulang-ulang siar, semakin orang akan percaya apa yang disiarkan itu benar - walaupun realitinya mungkin berbeza.

Dalam sesetengah perkara, memang boleh kita bergantung kepada naluri kita, tetapi ada masanya lebih baik kita sabar dan dapatkan maklumat selanjutnya  terlebih dahulu, sebelum kita melulu membuat sangkaan yang salah.

Pengaruh emosi dalam membuat keputusan

penunjuk perasaan anti islam

Setiap orang akan menyangka pilihan peribadi mereka dalam politik adalah berdasarkan logik dan kebenaran, tanpa mengambil kira emosi. Bagaimmanapun realiti yang sebenarnya berlaku adalah setiap kali pilihanraya, majoriti pengundi akan mengundi mengikut apa yang dirasakan oleh emosi mereka.

Fenomena ini yang digelarkan sebagai 'emotional reasoning' atau 'fikiran berlandas emosi' mampu menyebabkan mana-mana individu percaya perkara yang tidak ada asasnya.

Penyelidik yang mengkaji pesakit-pesakit kemurungan mendapati ramai pesakit yang murung, sebenarnya tertekan dengan apa yang mereka rasakan benar pada diri mereka - bukan pada perkara yang berasas. Ini menyebabkan ramai orang merasa tertekan tanpa mempunyai sebarang faktor yang menjadi tekanan.

Emosi kita mampu menipu minda kita sendiri, sehinggakan ramai percaya ada yang tidak kena pada mereka sedangkan mereka normal.

'Emotional reasoning' ini juga memberi kesan yang sangat besar pada kepercayaan seseorang, apatah lagi apabila melibatkan topik seperti seksualiti, agama, kewangan, jenayah dan teori konspirasi.

Sebagai contoh, apabila seseorang bukan Muslim mula terpengaruh dengan media barat berkenaan stigma terhadap Muslim dan Islam, ini akan menyebabkan mereka mula takut dengan orang Muslim di sekeliling mereka tanpa sebab. Ini disebabkan mereka mula dicengkam rasa bimbang kerana 'percaya' kebenaran propaganda memburukkan Muslim di seluruh dunia.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku - pastikan anda membuka minda anda pada setiap topik tanpa perlu membuat prejudis atau persepsi sejak mula walaupun anda mungkin ada rasa was-was.

Bias kepercayaan seseorang yang melampau

percaya diri cantik

Setiap orang berpegang teguh dengan kepercayaan yang telah mereka pegang dan malangnya, ada juga individu yang terus tetap berpegang dengan perkara yang tidak benar, walaupun sudah dibuktikan tidak benar. Ini kerana dalam diri setiap orang ada perasaan bias yang menyebabkan kita melakukan tindakan sedemikian rupa yang dilabelkan sebagai 'confirmation bias' atau bias kepercayaan.

Salah satu bukti berlakunya bias kepercayaan dalam diri kita, adalah apabila kita lebih gemar membaca perkara-perkara yang menyokong pandangan sedia ada kita - dalam membantu menguatkan lagi hujah kita.

Sebagai contoh, penyokong pasukan ABC sudah pasti tidak akan mempersoalkan keputusan penalti yang pasukannya dapat - walaupun dia tahu pemain yang diminatinya menipu dengan menjatuhkan badannya dengan sengaja. Penyokong parti XYZ pasti akan membaca portal media yang menyuarakan pandangan selari dengan parti XYZ. Sekiranya anda sudah percaya bumi ini rata - bawalah bukti video dan rakaman bumi ini bulat sekalipun, anda tetap akan mengatakan bumi ini rata.

Apa yang dilakukan ketika itu adalah setiap individu sebenarnya sedang melindungi kepercayaan mereka. Sekiranya kepercayaan yang kita pegang itu benar, baguslah. Bagaimana pula sekiranya kita sebenarnya sedang mempercayai perkara yang tidak benar?

Kesimpulan

Harus diakui ada kalanya golongan kaki troll di internet kerap kali menyuarakan hujah-hujah secara sarkastik dalam 'mempermainkan' kepercayaan kita - tetapi itu kes lainlah. Bagaimanapun, naluri manusia ini sebenarnya lebih gemar untuk mendapatkan kebenaran serta sentiasa menyimpan harapan agar orang lain turut sama berkongsi kebenaran dengan kita.

Perlumbaan percaya dan mempercayakan individu lain ini akan terus berterusan, walau apa pun usaha dilakukan untuk mengubahnya. Ini kerana kita adalah manusia yang tidak sempurna serta membawa pelbagai jenis kepercayaan.

tok bomoh khurafat

"Kau percaya apa kau nak. Aku percaya apa aku nak," kata kita bila tiada kata persetujuan ditemui. Itu tidak mengapa. Sekiranya kita gagal menemui kata putus, apa yang penting adalah untuk tidak menukarkan semua percanggahan pendapat menjadi satu bentuk konfrontasi (seperti yang kerap berlaku sekarang di kalangan netizen).

Tarik diri anda daripada perdebatan itu. Tarik nafas panjang-panjang dan terimalah idea serta pendapat berbeza, berbanding dengan apa yang sudah kita percayai sekian lama. Terus-menerus cuba membetulkan orang yang secara faktanya sendiri sudah kelaut hujahnya - hanya akan membuatkan semua pihak semakin kuat berpegang pada pengetahuan heuristik mereka, emosi dan ilusi yang telah terbina.


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)