Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai diktator terkenal dunia telahpun mati atau digulingkan. Ada yang baru memegang takhta, namun ada beberapa lain yang gilakan kuasa telah bermaharajalela selama lebih sedekad lamanya.
Kami kongsikan lima diktator kejam dari Asia yang digeruni bukan sahaja oleh rakyat sendiri, malah oleh seluruh dunia:
Kim Jong-un
BESARKAN TEKS A- A+
Setelah Kim Jong-il mati pada bulan Disember 2011, anak lelaki bongsunya Kim Jong-un telah mengambil alih pegangan dan kawalan ke atas Korea Utara. Ketika itu, ramai pemerhati yang mengharapkan anak lelaki yang mendapat pendidikan dari Switzerland itu boleh mengubah corak kepimpinan ayahnya yang paranoid dan gilakan senjata nuklear. Namun, sangkaan dunia meleset kerana kuah sememangnya telah tumpah ke nasi.
Di antara "pencapaian" Kim Jong-un setakat ini adalah pengeboman Yeonpyeong, Korea Selatan; menenggelamkan kapal tentera laut Korea Selatan Cheonan yang mengorbankan 46 anak kapal; dan menyambung tradisi kem tahanan politik ayahnya yang dipercayai menahan seramai 200,000 rakyat tidak bernasib baik.
Kim Jong-un juga telah menonjolkan sedikit kreativiti sadis dalam hukuman ke atas seorang pegawai Korea Utara yang dituduh mengambil alkohol semasa dalam tempoh kabung rasmi untuk mendiang Kim Jong-il. Menurut laporan media, pegawai itu dihukum mati menggunakan bedilan bom mortar. (Sumber 1, 2)
Bashar al-Assad
Ini kisah seorang lagi anak yang mengambil alih tempat bapa sebagai ketua negara. Bashar al-Assad mula menjadi Presiden Syria pada tahun 2000 setelah ayahnya meninggal dunia, selepas 30 tahun mengepalai kerajaan negara itu. Diberi jolokan "Harapan", sangkaan orang ramai juga meleset seperti Kim Jong-un kerana Bashar hanyalah seorang reformis.
Dia telah menang tanpa bertanding pada pilihan raya presiden pada tahun 2007. Dilaporkan pasukan polis rahsianya yang digelar Mukhabarat telah menahan, menyeksa dan membunuh para aktivis politik secara rutin ketika menjelang musim pilihan raya. Sejak Januari 2011, Tentera Syria dan pasukan keselamatan negara itu telah banyak kali menggunakan kereta kebal dan roket untuk menumpaskan pihak pembangkang selain mengorbankan ribuan nyawa yang tidak berdosa. (Sumber 1, 2)
Mahmoud Ahmadinejad
Mahmoud Ahmadinejad dikenali di seluruh dunia sebagai salah seorang diktator terburuk dalam sejarah. Kami juga kurang pasti sama ada ingin menyenaraikan Presiden Mahmoud Ahmadinejad ataupun Pemimpin Tertinggi Ayatollah Khomeini sebagai pemerintah paling diktator dari Iran. Namun, kedua-duanya sama sahaja bersikap menindas rakyat di sana. Mahmoud Ahmadinejad telah mencuri kerusi presiden semasa pilihan raya tahun 2009 kemudian telah menggagalkan misi protes Revolusi Hijau. Seramai 40 hingga 70 orang pembantah terkorban dan 4,000 lagi ditahan kerana membantah keputusan undian yang telah ditipu.
Di bawah undang-undang Mahmoud Ahmadinejad, mulai tahun 2006 hak-hak asasi manusia disekat khususnya kebebasan bersuara dan hak berhimpun. Pihak kerajaan kerap menyeksa dan menganiaya penentang yang ditahan termasuklah memberi hukuman seksaan dengan pengasingan sel untuk tempoh berpanjangan. Sesiapa yang membantah akan menerima gangguan daripada puak militia basij selain pasukan polis rahsia. Penyeksaan dan penganiayaan merupakan rutin bagi mana-mana tahanan politik, terutamanya di Penjara Evin berhampiran Tehran.
Nursultan Nazarbayev
Sejak zaman Soviet lagi Nursultan Nazabayev telah memerintah Kazakhstan. Setelah kemerdekaan dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Nursultan merupakan presiden pertama dan satu-satunya presiden yang pernah mengetuai kerajaan itu sehingga ke hari ini.
Selama zaman kediktatorannya, Nursultan telah didakwa atas tuduhan rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia. Akaun bank peribadinya mengandungi sejumlah wang yang melebihi USD 1 bilion. Mengikut laporan Amnesty International, pihak pembangkang politik seringkali dimasukkan ke penjara di dalam persekitaran yang amat dahsyat ataupun ditembak mati di tengah-tengah gurun. Selain itu, kes pemerdagangan manusia amat tinggi di negara itu.
Presiden Nazarbayev perlu meneliti dan meluluskan sebarang perubahan dalam perlembagaan. Dia juga mengawal badan kehakiman, pihak tentera dan pasukan keselamatan dalam negara. Sebuah artikel New York Times pada tahun 2011 mendakwa kerajaan Kazakhstan telah membayar kumpulan pemikir di Amerika Syarikat untuk menghasilkan laporan dan berita yang "manis-manis sahaja" tentang negara itu.
Presiden kuku besi itu tidak menunjukkan sebarang tanda untuk melepaskan kuasa dalam masa terdekat. Dia telah memenangi pilihan raya presiden di Kazakhstan pada 2011 dengan mengutip jumlah undian majoriti sebanyak 95.5%. (Sumber 1, 2, 3, 4)
Islam Karimov
Seperti jirannya di Kazakhstan, Islam Karimov telah mula memerintah Uzbekistan sebelum pembebasan negara itu daripada cengkaman Kesatuan Soviet lagi. Walaupun dengan gaya kepimpinan seakan-akan Joseph Stalin, rakyat Uzbekistan telah bersepakat membenarkan dia menyambung memegang jawatan presiden dengan undian sebanyak 99.6% pada tahun 1996.
Sejak itu, Islam Karimov dengan bangga telah menentang Perlembagaan Uzbekistan dengan membenarkan dirinya bertanding semula pada tahun 2000, 2007 dan 2012. Memandangkan dia amat suka 'merebus' mana-mana penentang dalam air panas hidup-hidup, maka tidak hairanlah tiada siapa yang berani membantah. Walaupun menang pilihan raya, insiden seperti Pembunuhan Beramai-ramai Andijan telah membuatkan semakin ramai rakyat Uzbek yang membencinya. (Sumber 1, 2)