Di seluruh dunia, terdapat lebih 600 juta orang yang tinggal berhampiran salah satu daripada 1,500 kawasan gunung berapi aktif. Siapakah yang bertanggungjawab memastikan keselamatan penduduk ini daripada letusan berikutnya? Tidak lain dan tidak bukan, jawatan ahli vulkanologi iaitu pakar atau pengkaji yang mengkaji tentang gas, abu dan lahar gunung berapi.

Anda mesti tidak banyak mengetahui tentang kerjaya sebagai seorang ahli vulkanologi, kan? Mengapakah pekerjaan ini dianggap penting, walaupun menetap beribu batu jauhnya dari gunung berbahaya itu? Kami kongsikan beberapa fakta menarik tentang bidang dan pekerjaan seorang "doktor volkano."

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Belajar segalanya tentang komposisi magma, gas gunung berapi dan banyak lagi

Menurut Arianna Soldati, seorang penyelidik yang mengkaji aliran lava dari University of Missouri, 95% orang yang bertanya tentang kerjanya tidak tahu apa itu vulkanologi.

Vulkanologi ialah suatu bidang yang mempelajari bagaimana sebuah gunung berapi terbentuk, diperbuat daripada apa, benda apakah yang diletuskan dan bermacam-macam lagi aspek meliputi gunung berapi. Ramai ahli vulkanologi yang mempunyai ijazah dalam bidang geologi. Soldati misalnya, merupakan seorang ahli geologi fizikal yang mengumpulkan sampel dari tapak dan menganalisa sampel tersebut untuk mengetahui komposisinya.

Sementara yang lain pula adalah ahli geofizik yang mengkaji plat tektonik dan peranannya dalam letusan gunung berapi serta gempa bumi. Ahli geokimia dan ahli petrologi pula mengkaji gas serta mineral yang terdapat pada gunung berapi manakala ahli geodesi pula melihat kepada sebarang kecacatan bentuk muka bumi di sekeliling gunung berapi untuk mengetahui jika ada magma yang terkumpul di lapisan bawahnya. Kesemua disiplin yang jauh berbeza ini berganding bahu untuk bekerja bersama-sama mengkaji sifat gunung berapi.

2. Atas faktor keselamatan, seorang ahli vulkanologi akan bekerjasama dengan ahli vulkanologi dari seluruh dunia

Jacob Lowenstern merupakan Ketua Program Bantuan Bencana Gunung Berapi di Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat, iaitu sebuah agensi kerajaan yang memantau 169 buah gunung berapi aktif di sana, terutama sekali di Hawaii, Alaska, Washington dan Oregon.

Selain itu, agensi tersebut memberikan bantuan dan latihan kepada ahli vulkanologi dari negara luar kerana sebuah sistem gunung berapi yang aktif tidak tahu erti sempadan. Program yang ditawarkan membantu menyelamatkan manusia dan haiwan daripada kebinasaan yang dibawa oleh aliran lava, gelongsoran lumpur dan gas.

kerjaya ahli vulkanologi gunung berapi meletus di bawah permukaan air 2

Gunung berapi di bawah permukaan air boleh menyebabkan bahaya kepada kapal seperti pumis yang terapung, berlainan dengan gunung berapi atas tanah yang mampu menggoncangkan dunia. Semasa gunung Eyjafjallajökull di Iceland meletus pada tahun 2010, asap abunya yang tinggi dan tebal telah menyebabkan kesemua penerbangan dari dan ke Eropah serta Britain terkandas selama seminggu. Menurut Soldati, ketika itu, tidak ada siapa yang tahu tahap yang selamat untuk mulakan penerbangan kerana masih belum ada kajian dibuat tentangnya.

kerjaya ahli vulkanologi gunung berapi meletus tambora indonesia

Pada tahun 1815 ketika gunung berapi Tambora meletus di Indonesia, ia telah menyebabkan penduduk hidup dalam kegelapan sepanjang tahun akibat asap abu tebal telah menghalang matahari hingga menyebabkan tumbuhan mati, kebuluran dan sehingga 100,000 orang terkorban.

Ada masanya sesuatu kes yang amat berat akan terjadi dan menyebabkan isu global seperti kes-kes ini. Di sinilah tugas ahli vulkanologi diperlukan.

3. Ada antara ahli vulkanologi yang bekerja di bawah permukaan air

Lebih kurang 80% letusan berlaku di bawah permukaan laut. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat kajian oleh para ahli vulkanologi. Sebelum beberapa tahun yang lalu, peta komprehensif yang membentangkan pelan dasar lautan masih belum wujud. Ahli vulkanologi pula tidak boleh melihat dengan mata kasar sebuah gunung berapi yang berada 3,000 kaki jauhnya di dasar laut.

kerjaya ahli vulkanologi gunung berapi meletus di bawah permukaan air 48

Kini, teknologi telah berjaya mengatasi segala masalah itu. William Wilcock mengkaji Paksi Gunung Laut di Lautan Pasifik yang merupakan gunung berapi paling aktif di kawasan Timur Laut Pasifik. Beliau menggunakan balai cerap laut dengan infrastruktur cabled array. Dengan teknologi ini, mereka mampu memantau bahan kimia dan suhu dalam air, mengukur ruang magma dan sentiasa memerhatikan potensi berlakunya gempa bumi yang boleh menjadi punca letusan gunung berapi.

4. Kajian untuk mengekalkan kehidupan sedia ada

Walaupun gunung berapi membentuk lapisan atmosfera yang asal dengan menghasilkan karbon dioksida dan nitrogen yang diperlukan dalam kehidupan, gas-gas lain yang terhasil daripada gunung berapi seperti sulfur dioksida meningkatkan kebolehan atmosfera untuk menyimpan haba. Kajian seperti inilah yang mengimbangi pemahaman tentang masa depan dunia. Kini banyak penyelidikan sedang dijalankan untuk mengetahui hubungan antara aktiviti gunung berapi dengan perubahan iklim dan bagaimana kedua-duanya mengeruhkan keadaan antara satu sama lain.

kerjaya ahli vulkanologi gunung berapi meletus

Ada sesetengah ahli vulkanologi yang berasa bimbang dengan perubahan iklim, terutamanya melibatkan Iceland di mana litupan ais yang mencair boleh melepaskan tekanan pada ruang magma dan boleh menjadi punca lebih banyak letusan gunung berapi pada masa akan datang. Menurut seorang ahli geofizik, Magnus Guðmundsson, kesan pengurangan tekanan pada ruang magma itu dilaporkan akan menjadi seperti "gabus pada sebotol champagne yang terpelanting secara mengejut apabila dilonggarkan."

5. Peralatan penting bagi ahli vulkanologi

Walaupun seorang ahli vulkanologi banyak menggunakan peralatan canggih dan berteknologi tinggi seperti seismometer, spektrometer, satelit dan sebagainya, satu alatan paling penting dalam kerjaya ini adalah tukul batu yang diperbuat daripada besi.

kerjaya ahli vulkanologi gunung berapi mengumpul sampel lava

Menurut Soldati, selain membawa buku nota untuk mencatat pemerhatian, tukul ini digunakan untuk menghancurkan batuan dan juga mengumpul sampel leburan lava. Untuk mengambil sampel, beliau akan menghayunkan tukul ke dalam lava sambil menghalakan bucu tajam sebelum memasukkan leburan yang bersuhu sekitar 1,100 darjah Celsius itu ke dalam sebuah baldi berisi air. Kaedah ini akan mempercepatkan penyejukan lava yang akan menukarnya kepada kaca. (Jika proses penyejukan berlaku perlahan-lahan, lava akan bertukar menjadi batu).

Sampel yang diambil akan dibawa ke makmal dan diuji menggunakan mesin seperti viskometer silinder sepusat yang akan mencairkan sampel lava untuk mengukur tahap kelikatan. Tahap kelikatan inilah yang akan menentukan betapa kuat sesuatu letusan. Lava yang kurang likat hanya akan mengalir keluar daripada gunung berapi manakala lava yang lebih tumpat akan menyebabkan letupan yang menghancurkan sisi gunung dan menyebabkan lava, batuan dan asap debu berterbangan.

Begitulah antara tugas yang dilakukan oleh seorang ahli vulkanologi. Tidak dinafikan, kerjaya ini agak berbahaya namun kajian gunung berapi ini sebenarnya memberikan banyak impak positif dalam kehidupan. Sebagai contoh, gunung berapi akan menjadikan tanah lebih subur daripada biasa. Banyak tanaman yang paling produktif di dunia ini ditanam menggunakan abu gunung berapi yang kaya dengan mineral.

Selain itu, letusan gunung berapi juga akan menyebabkan pembentukan tanah baru seperti letupan Gunung Kilauea di Hawaii misalnya yang berjaya menambahkan seluas 500 ekar tanah di sana pada tahun 1983. Begitulah besarnya kekuasaan Allah yang telah menciptakan alam semesta ini dalam keadaan teratur dan seimbang. Tak ada yang lebih, tak ada yang kurang. Subhanallah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)