Oleh pada 30 Sep 2018 kategori

Sudah menjadi lumrah seorang manusia sering bergantung kepada sesuatu dalam kehidupan. Namun, apabila kebergantungan itu telah melebihi had, ia boleh mencetuskan ketagihan.

Kebiasaannya apabila kita menyebut "ketagihan", sudah pasti antara perkara yang terlintas di fikiran adalah dadah, alkohol dan rokok. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis lagi ketagihan yang wujud yang boleh merosakkan akal dan fikiran seorang manusia. Kami kongsikan antara sepuluh jenis ketagihan yang sukar disembuhkan:

10. Kerepek kentang

ketagih kerepek kentang

Tidak banyak makanan dalam dunia yang boleh menyebabkan anda ketagihan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar makanan ketagih adalah berpunca daripada kentang. Ia dianggap sebagai makanan yang membuatkan seseorang tergoda untuk lebih kerap makan dengan banyak. Atas sebab itulah wujud istilah "couch potato" di negara Barat.

Persatuan Psikiatri Amerika menggunakan terma "binge eating" atau makan lewah untuk menjelaskan tentang gangguan di mana seseorang makan dalam kuantiti yang lebih banyak daripada orang lain dalam masa tertentu. Menurut Psychology Today, sesetengah makanan adalah hyperpalatable di mana ia dicipta khusus untuk mencapai satu tahap keseronokan sehingga seseorang berasa seolah-olah tidak boleh berhenti mengunyah.

Jadi, jika anda ingin makan kerepek kentang, pastikan anda makan secara sedikit dan berpada-pada untuk mengelakkan daripada menjadi ketagih. (sumber)

9. Cinta

ketagih cinta

Cinta pastinya dianggap sebagai salah satu ketagihan terbesar manusia kerana ia adalah satu hubungan intelektual. Oksitosin adalah sejenis "hormon dakapan" yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari yang menyebabkan perasaan cinta dalam diri manusia.

Orang yang ketagihan cinta akan sanggup menghabiskan masa, wang, tenaga dan usaha hanya untuk seseorang yang mereka cintai. Kebiasaannya si penagih menghargai individu ini lebih daripada diri sendiri dan fokus mereka adalah kebiasaannya keterlaluan. Pada masa kini, terdapat banyak kisah manusia yang ketagihan cinta sehingga mampu membunuh, mendera malah membunuh diri sendiri atas nama cinta. 

Untuk mengelakkan daripada menjadi penagih cinta, seseorang mesti tahu dan sedar yang kita tidak boleh terlalu mengharapkan sesama insan. Perasaan manusia boleh berubah pada bila-bila masa sahaja, namun cinta yang paling agung sebenarnya adalah cinta kepada Yang Maha Esa. (sumber)

8. Membeli-belah

ketagih membeli belah

Membeli-belah kini sudah menjadi terlalu mudah dengan pelbagai aplikasi dan teknologi baru. Sama seperti orang ketagihan kerja, orang yang ketagih membeli-belah atau digelar "Shopaholic" cenderung untuk lebih berbelanja dan membazirkan wang dengan membeli pelbagai produk. Terdapat banyak jenis ketagihan membeli-belah antaranya pencari tawaran harga murah, shopaholic kompulsif atau suka berbelanja besar.

Membeli-belah berkait rapat dengan emosi di mana sesetengah penagih merasakan seolah-olah produk yang dibeli masih tidak memuaskan hati dan mereka berkecenderungan untuk membeli barang yang baru secara rekursif. (sumber)

7. Kerja

ketagih kerja

Kata orang, terlalu banyak kerja boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal seseorang. Ia jelas terbukti kerana wujudnya golongan "workaholic" yang sanggup bekerja tidak henti-henti. Ketagihan kerja sering dikaitkan dengan matlamat peribadi dan objektif seseorang individu.

Untuk mencapai sasaran jangka panjang, kerjaya seseorang boleh menjadi kriteria utama dalam kehidupan yang membuatkan mereka kehilangan minat dalam urusan harian dan prestasi.

Apabila seseorang lebih banyak bekerja, dia akan menerima bayaran yang lebih lumayan dan proses yang berulang-ulang inilah yang boleh menjurus ke arah ketagihan.

Antara simptom ketagihan kerja adalah sanggup pulang lewat malam walaupun tidak diperlukan, tidak cukup tidur kerana ingin menyiapkan kerja, sering mengelak hubungan mesra bersama ahli keluarga dengan alasan "banyak kerja", menjadi sangat defensif apabila bercakap dan sering memberikan reaksi yang agresif apabila ditanya hal-hal yang remeh.

Jika semua ini tidak dibendung dari awal, ada kemungkinan individu yang ketagihan kerja mendapat gangguan mental sehingga sanggup membunuh diri sendiri. (sumber)

6. Makanan

ketagihan makanan

Makanan sudah pasti menjadi salah satu sumber penting bagi manusia untuk meneruskan hidup. Namun, ada beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan ketagihan (selain kerepek kentang). Gula, misalnya, telah dibuktikan mempunyai faktor ketagihan yang sama seperti penyalahgunaan dadah jenis kokain.

Hari ini kecanggihan internet menjadi sebahagian besar penyumbang kepada ketagihan makanan kerana setiap pesanan hanya dibuat secara dalam talian dan makanan pun akan terus dihantar sehingga ke depan pintu rumah. Makanan ringan serta makanan segera mengandungi kandungan garam, gula dan lemak yang tinggi akan menyebabkan otak mengeluarkan lebihan dopamin yang menyebabkan efek serupa seperti ketagihan kokain.

Malah, lebih teruk lagi apabila ada sesetengah penagih yang mengalami perubahan tingkah laku sehingga menjadi ganas apabila sesi pemakanan mereka terganggu. (sumber)

5. Fikiran Negatif

pemikiran negatif

Mungkin bunyinya sedikit aneh, namun fikiran negatif memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang yang sentiasa menyesali sesuatu perbuatan atau berfikir tentang perkara-perkara yang buruk secara berlebih-lebihan. Banyak kajian yang telah dijalankan membuktikan berfikiran negatif juga boleh menyebabkan ketagihan yang sama seperti pengambilan alkohol dan dadah. 

Tabiat emosi manusia adalah agak ironik kerana lebih cenderung untuk terlalu fokus kepada perkara lampau yang negatif berbanding detik-detik yang menggembirakan sehingga sanggup membuang apa sahaja yang berisiko membuatkan emosi terganggu. Malah, ada yang lebih tenggelam dalam emosi sendiri sehingga sanggup merosakkan diri sendiri dan mengenepikan orang sekeliling.

Jika fikiran 'busuk' ini berterusan, si penagih akan mula meragui tentang segala-galanya dan mempunyai tanggapan buruk terhadap hampir semua perkara. Ketagihan ini amat membinasakan jika tidak dirawat dari awal.

Untuk mengelakkan ketagihan ini, kita perlulah menjadi seorang yang 'husnudzon' dengan sentiasa bersangka baik dan berfikiran positif. Cuba senaraikan segala kebaikan tentang seseorang/sesuatu dan janganlah kita biarkan nila yang setitik itu merosakkan keseluruhan isi belanga. (sumber)

4. Teknologi

ketagihan gadget

Teknologi sememangnya berpotensi untuk merosakkan keupayaan mental seseorang. Sesetengah orang memang amat bergantung dengan kecanggihan teknologi untuk menjalani kehidupan seharian, namun dalam sesetengah kes ekstrem, ada manusia yang sanggup menjual buah pinggang semata-mata untuk memiliki telefon pintar atau tablet.

Bagi orang yang mengalami simptom ketagihan teknologi, mereka kurang berminat untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak mempunyai kaitan dengan gajet atau teknologi. Keadaan ini akan membuatkan mereka menjadi kurang aktif dalam kehidupan seharian. Mereka yang ketagihan teknologi juga adakalanya mengalami masalah sukar tidur sehingga boleh membawa kepada masalah mental. (sumber)

3. Merokok

ketagih rokok

Merokok adalah salah satu ketagihan paling bahaya dalam dunia dan dalang utamanya adalah rokok dan tembakau itu sendiri. Sebatang rokok biasanya mempunyai kandungan nikotin yang boleh merosakkan bahagian otak yang mengawal isyarat sama ada "mencari makanan" atau "kebuluran".

Merokok bukan sahaja merosakkan pelakunya bahkan orang yang berada di sekeliling juga akan terkesan dengan perbuatan ini. Ramai saintis telah membuktikan sesiapa yang menghidu asap rokok (perokok pasif) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit daripada perokok itu sendiri.

Merokok boleh menyebabkan pencemaran udara 10 kali ganda berbanding udara kotor yang dihasilkan sebuah kereta diesel. Nikotin diketahui akan membuatkan seseorang itu berasa tenang. namun si perokok akan menjadi ketagih dan sentiasa terikat dengannya.

Ketenangan yang dirasakan itu cumalah perasaan bersifat sementara sahaja tetapi tabiat merokok itu sendiri akan meninggalkan kesan buruk jangka panjang kepada otak dan tubuh badan. Pilihlah mana yang anda mahu.

2. Alkohol

penyalahgunaan alkohol

Semua orang tahu bahawa pengambilan alkohol adalah berbahaya kepada kesihatan dan kita sering diingatkan mengenainya di mana-mana sahaja. Suatu masa dahulu alkohol merupakan sesuatu yang dianggap mewah dan sering diminum oleh golongan yang berkemampuan sahaja. Namun, lama-kelamaan, tabiat meminum alkohol seolah-olah menjadi 'minuman ruji' bagi sesetengah orang dan mereka merasakan hidup tidak lengkap tanpa alkohol.

Hari ini, pengambilan alkohol di kalangan remaja dan anak-anak muda adalah lebih kerap berlaku berbanding golongan dewasa. Ketagihan dan pengambilam alkohol secara berlebihan juga menjadi salah satu penyumbang utama dalam masalah kesihatan yang berkaitan hati, sistem saraf, perut dan jantung.

1. Dadah

dadah terlarang

Ketagihan dadah merupakan ketagihan yang paling banyak membawa maut sehingga ke hari ini. Ketagihan dadah ini sebenarnya adalah salah satu penyakit otak yang boleh membawa kepada perubahan struktur otak itu sendiri. Lebih 5% populasi dunia didapati menggunakan dadah terlarang dan tahukah anda, usaha untuk memulihkan serta merawat setiap pesakit di dunia ini mungkin mencecah nilai sehingga RM 1 trilion.

Dadah 'power' seperti Kokain dan Heroin boleh menyebabkan seseorang itu ketagih walaupun hanya mencubanya sekali sahaja. Dadah seperti itu juga boleh menyebabkan kesan lain seperti pendarahan hidung, kerosakan otak, serangan jantung dan banyak lagi. Lebih 200,000 orang menemui ajal setiap hari disebabkan Kokain dan Heroin sahaja, belum dikira kes maut akibat dadah-dadah jenis lain.

Jika seorang penagih terlalu kerap mengambil dadah, akan sampai satu tahap di mana mereka tidak boleh hidup langsung tanpanya dan proses pemulihan akan menjadi hampir mustahil.

Tidak kiralah sama ada dadah 'tumbuhan' atau sintetik, jauhkanlah diri anda daripada terjebak dengan najis dadah. Sekiranya rakan-rakan anda sering memujuk dan mengajak anda menghisap dadah, mungkin sudah tiba masa anda mula mencari sahabat baru yang lebih indah budi pekertinya. Janganlah sesekali merosakkan diri sendiri kemudian terpaksa melibatkan orang tersayang di sekeliling anda dengan masalah ketagihan yang dialami.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)