Adakah anda masih ingat pekerjaan pertama anda?

Mungkin ada yang bekerja separuh masa di restoran makanan segera. Ada yang bantu ibu bapa berniaga. Atau bekerja sebagai juruwang di kedai runcit. Mungkin ada yang menjadi barista di Starbucks. Segelintir yang lain mungkin bekerja sebagai pelatih di pejabat mana-mana organisasi.

Kebiasaannya, kerja pertama seseorang tidaklah begitu gah dan hebat. Bagaimana pula dengan mereka yang tergolong sebagai orang paling kaya di dunia? Apakah pekerjaan pertama mereka sebelum bergelar jutawan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya, mereka juga manusia biasa seperti anda dan saya. Rata-rata orang kaya di dunia ini mempunyai sejarah pekerjaan pertama yang agak biasa. Bekas Presiden AS Barack Obama misalnya, pernah bertugas sebagai pencedok aiskrim di kedai aiskrim Baskin Robbins di Honolulu.

jeff bezos sebelum menjadi kaya dan selepas menjadi jutawan

Top 100 Billionaires

Tapi apabila berbicara tentang orang kaya yang paling kaya iaitu 100 orang jutawan terkaya di dunia, ada beberapa persamaan menarik dari segi pengalaman bekerja mereka.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah agensi pekerjaan yang berpangkalan di United Kingdom, Aaron Wallis, telah meneliti data dan mengkaji apakah pengalaman awal bekerja sebelum jutawan-jutawan dunia ini berjaya.

Menurut laporan yang mengkaji 100 orang billionaire paling ulung yang mempunyai nilai bersih harta terkumpul sebanyak $2.3 trilion itu, hanya 30 daripadanya memulakan kerjaya dengan mewarisi atau membantu perniagaan keluarga. Manakala 17 lagi jutawan terus mula membuka syarikat dan perniagaan sendiri.

elon musk jutawan

Jadi, jutawan yang lain bekerja sebagai apa?

53 jutawan selebihnya adalah seperti orang lain - mengemas kini resume, berusaha mencari dan mendapatkan kerja.

Aaron Wallis kemudian menyenaraikan kesemua pekerjaan pertama bagi 53 orang terkaya ini dan membuat pengelasan. Apa yang menarik, seramai 10 orang (19%) jutawan bekerja sebagai jurujual dan 9 orang (17%) lagi bekerja sebagai pelabur saham.

Berikut kategori pekerjaan yang diceburi majoriti jutawan itu: 

PekerjaanBilangan
Jurujual (salesperson)10
Pelabur saham (stock trader)9
Pembangun perisian (software developer)5
Jurutera (engineer)5
Penganalisis (analyst)4
Akauntan / bidang kewangan (accountant / financial role)4
Pembantu Jualan Runcit (retail assistant)3
Pembantu undang-undang (legal assistant)2
Mekanik (mechanic)2

ramai jutawan yang menjadi pelabur saham sebelum menjadi usahawan kaya dunia

Pendidikan jutawan

Selain meneliti sejarah pekerjaan jutawan-jutawan ini, Aaron Wallis juga mengkaji latar belakang pendidikan mereka. 

Daripada kesemua 100 jutawan, hanya 25 orang yang tidak pernah melanjutkan pelajaran atau mempunyai sebarang ijazah. Jutawan selebihnya merupakan lepasan universiti. 

Dalam 75 jutawan yang menamatkan pengajian, seramai 22 orang menerima ijazah kepujian dalam bidang kejuruteraan diikuti dengan ijazah dalam bidang perniagaan seramai 16 orang.

Menurut Aaron Wallis, walaupun saiz sampel data adalah kecil, mereka masih boleh membuat deduksi berdasarkan trend data.

jeff bezos menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan sebelum menjadi usahawan

Kesimpulan

Keputusan kajian itu mendapati mereka yang berkecimpung dan memulakan kerjaya sebagai jurujual mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menjadi seorang jutawan. Ini disebabkan mereka lebih biasa dengan selok-belok perniagaan dari awal dan tahu cara menguruskan sebuah perniagaan.

Contoh paling mudah ialah kisah kejayaan George Soros iaitu manusia ke-29 terkaya di dunia yang memulakan kerjaya sebagai jurujual kembara yang berniaga barang permainan dan menjadi pemborong hadiah sebelum berjaya meraih kekayaan sebagai seorang saudagar dan broker.

pekerjaan jutawan sebelum menjadi kaya 381

Michael Dell juga merupakan satu lagi contoh di mana beliau bekerja sebagai seorang jurujual telemarket bagi sebuah akhbar sebelum menjadi kaya dan dikenali sebagai pengasas Dell.

Seperti yang pernah kami kongsi sebelum ini, trend latar belakang pendidikan juga memainkan peranan kerana ramai jutawan Silicon Valley menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan seperti Larry Page (Google) dan Jeff Bezos (Amazon).

Jadi, sekiranya anda merupakan seorang graduan kejuruteraan yang bekerja sebagai jurujual atau promoter dan sering diperlekehkan oleh orang lain, janganlah mudah berkecil hati.

Mana tahu suatu hari nanti anda juga boleh tersenarai sebagai 100 orang paling kaya dalam dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)