Oleh pada 10 May 2017 kategori

Kredit foto: cempedakcheese.com

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan penahanan seorang jutawan muda kerana disyaki menjual produk tiruan secara atas talian hingga mengaut keuntungan jutaan ringgit. Oleh itu, para netizen mendakwa jutawan muda yang dimaksudkan ialah Ameerul Afiq atau lebih dikenali dengan nama King Afiq memandangkan gambar apartmen yang diserbu KPDNKK itu kelihatan serupa dengan gambar yang pernah dikongsinya terdahulu di media sosial.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk pengetahuan anda, King Afiq sememangnya sangat aktif memberikan ceramah perniagaan selain dikatakan sering menunjukkan kekayaannya di media sosial. Persoalannya, siapakah sebenarnya King Afiq disebalik dakwaan yang dilemparkan terhadapnya itu? Mari kita sama-sama rungkai dengan membaca sedikit sebanyak kisah hidupnya sebelum bergelar jutawan yang bakal memberi inspirasi kepada anda.

Biodata Ringkas

Nama Sebenar: Ameerul Afiq Bin Abdul Hadi

Nama Gelaran: King Afiq/kingafiqq

Asal: Kajang

Tempat Tinggal: Bukit Antarabangsa, Ampang

Umur: 19 tahun

Tarik Lahir: 10 Jun 1997

Pekerjaan: Peniaga atas talian

Jawatan: CEO Rad.Kl

Facebook Rasmi: https://www.facebook.com/kingafiqq

Instagram: https://www.instagram.com/kingafiqq

Twitter: https://twitter.com/ameerulafiq_

jom kenali siapa sebenarnya king afiq sebelum bergelar jutawan 1 656

Kredit foto: Twitter @ameerulafiq_

Siapa King Afiq?

King Afiq merupakan seorang usahawan muda yang menjalankan bisnes atas talian (online business) menerusi platform seperti Instagram, Facebook, Youtube dan Twitter. Sepanjang menjalankan bisnes tersebut, King Afiq melalui banyak pahit manis perniagaan yang membuatkannya belajar sesuatu yang amat berharga. Bak kata orang, pengalaman merupakan guru terbaik dalam hidup. Sudah menjadi adat untuk orang di luar sana hanya nampak kejayaannya sekarang tetapi tidak latar belakang dan apa yang telah dia lalui selama ini.

King Afiq dilahirkan pada 10 Jun 1997 di Kajang. Ibu bapanya merupakan orang biasa-biasa sahaja, tapi di matanya mereka merupakan insan terhebat di muka bumi. Mengapa? Ianya kerana walau banyak kali melalui jatuh bangun dalam dunia perniagaan, namun mereka tak pernah berputus asa - bermula daripada menjual kerepek, membuka gerai atau lot tudung di pasar malam sehinggalah sekarang mereka mampu untuk mempunyai gudang kain mereka sendiri di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Merasakan perasaan bangga dengan kejayaan mereka itu tidak cukup, King Afiq mengambil keputusan untuk membanggakan mereka pula biarpun mengakui dirinya seorang yang sangat nakal.

jom kenali siapa sebenarnya king afiq sebelum bergelar jutawan 2 802

Kredit foto: Twitter @kingafiqqq

Kehidupan sewaktu kecil

Ibu bapa King Afiq telah menyusun perjalanan hidupnya dengan begitu kemas dan rapi sekali. Walaupun hakikatnya Allah yang menentukan perjalanan hidup seseorang itu, namun ibu bapalah yang menjadi wasilah sebagai penyusun perjalanan hidup anak mereka.

King Afiq dihantar ke sebuah tadika yang agak ke arah moden sedikit yang lebih mementingkan pembelajaran Bahasa Inggeris berbanding agama. Jelasnya, dia bukanlah berlatar belakangkan keluarga yang terlalu alim seperti ustaz atau ustazah, tetapi orang biasa sahaja seperti kebanyakan dari kita.

Apabila meningkat usia sedikit, King Afiq kemudian dihantar ke sekolah rendah berhampiran rumahnya, iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2. Sejak usia 6 tahun, King Afiq sudah memulakan dunia bisnesnya. Sewaktu kecil dahulu, King Afiq menjual gambar yang ditekap dari buku-buku lukisan lain, lalu dijual dengan harga 50 sen pada kawan-kawannya untuk diwarnakan.

Sementara menanti keputusan UPSR keluar pula, King Afiq juga ada membuat bisnes lain iaitu menjual 'jajan’ atau makanan ringan kepada rakan-rakannya. King Afiq membeli makanan ringan dalam kuantiti yang banyak di pasaraya Giant dan kemudian menjualnya di sekolah. Tatkala rakan sebayanya sibuk berhibur dengan kelekaan dunia, King Afiq gigih mencari duit.

King Afiq di zaman persekolahannya aktif dalam sukan dimana dia mewakili permainan bola sepak peringkat negeri Selangor dari darjah 4 hingga darjah 6. Tetapi, ianya sama sekali tidak menjejaskan pelajarannya apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang sebanyak 5A dalam UPSR. Malah, adik-beradiknya yang lain juga cemerlang dalam pelajaran mewarisi kebijakan ibu bapanya.

Sewaktu memasuki sekolah menengah, King Afiq enggan masuk sekolah asrama kerana bimbang hidupnya akan terkongkong dan ketinggalan zaman. Pada tahun 2010 sewaktu Tingkatan 1, ayah King Afiq secara tiba tiba mahukan dirinya memasuki sekolah agama. Terkejut dengan keputusan itu, King Afiq akhirnya mencuba juga untuk menggagahkan dirinya memasuki sekolah tersebut.

Akhirnya, King Afiq bersekolah di Sekolah Tinggi Islam Assofa yang mana pada permulaannya dia merupakan pelajar paling teruk di sekolah itu yang menurutnya seperti 'seekor jin yang ada dalam kawasan malaikat'. Ini kerana kejutan budaya yang dialaminya apabila dikelilingi kesemua budak-budak 'skema' dan alim.

jom kenali siapa sebenarnya king afiq sebelum bergelar jutawan 3 715

Kredit foto: Instagram @kingafiqq

Sewaktu itu, King Afiq sekali lagi mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam bisnes. Idea timbul apabila dia melihat rakan-rakannya setiap hari memakai baju melayu tetapi butang baju melayu mereka kebiasaannya buruk memandangkan ianya kawasan kampung.

Oleh itu, King Afiq mula menjual butang baju melayu ala-ala berlian yang kelihatan mahal dan eksklusif. Ternyata, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Manakala semasa Tingkatan 2, King Afiq kembali membuat bisnes yang pernah dilakukannya ketika sekolah rendah iaitu menjual 'jajan'. Pada masa yang sama, King Afiq juga menjadi wakil yang akan membuat baju untuk batchnya dari Tingkatan 2 sehingga Tingkatan 5.

Sewaktu berada di Tingkatan 4, King Afiq mula menjual jersey bola di asramanya. Sementelah audiens di asrama agak besar disebabkan jumlah pelajar yang ramai, maka senang bagi King Afiq untuk membuat jualan. Hasil pendapatannya ketika itu cukup lumayan, dianggarkan sekitar RM20,000 ke RM30,000 sepanjang 5 tahun King Afiq bersekolah di sana.

Bukan itu sahaja, King Afiq juga ada menjual jam berikutan kebiasaannya pelajar-pelajar sekolah tersebut tidak membawa jam setiap kali peperiksaan. Peluang itu direbut dengan menjual jam yang moden dan bergaya.

Ketika sedang menghampiri peperiksaan percubaan SPM, King Afiq mula berfikir tentang perancangannya selepas mula meninggalkan sekolah. Suatu hari ketika sedang solat Isyak, King Afiq terlintas untuk membuka InstaShop sebagai sumber pendapatan. Sebaik memberitahu kepada ibu bapanya tentang idea tersebut, mereka benar-benar menyokong buah fikirannya itu dan memberi semangat yang tidak putus-putus.

Ternyata, modal yang digunakan King Afiq untuk perniagaannya kini diperoleh dari duit hasil pendapatan yang dikumpul sewaktu berniaga di zaman persekolahan suatu ketika dahulu. Semoga kisah King Afiq ini mampu membuka mata para peniaga di luar sana untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan.

Olahan: Facebook King Afiq




Hakcipta iluminasi.com (2017)