Siapa kata lelaki biasa-biasa yang bawa van buruk tak boleh pasang angan-angan? 25 tahun yang lalu, Wang Wei merupakan seorang lelaki biasa yang bekerja sebagai kurier pengirim barang dan membuat penghantaran menggunakan van di sekitar Hong Kong.

Ketika memulakan perniagaan kurier di bawah syarikat bernama SF Express tersebut, Wang Wei menjalankan operasinya secara haram yang dilabel sebagai 'black delivery' dengan menyeludup pesanan susu formula dari Hong Kong untuk dibawa masuk ke China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sf express wang wei jutawan china

Kini, Wang Wei menjadi lelaki ketiga terkaya di China dengan jangkaan aset bernilai USD23 bilion (RM98 bilion).

Kejayaan syarikatnya bermula apabila Wang Wei mula mengesan potensi penghantaran barang antara Shenzen dan Hong Kong yang dikatakan zon ekonomi istimewa di China.

Semasa meletusnya wabak SARS pada tahun 2003, industri penerbangan jatuh merudum namun Wang Wei berjaya mendapatkan lesen untuk meneruskan penghantaran barangan dengan menyewa kapal terbang.

Jenama SF Express kemudian terus dikenali dengan tawaran perkhidmatan kurier yang paling boleh dipercayai di China sehingga dilabel sebagai "FedEx versi China".

antara kenderaan yang digunakan sf express

Kini, rangkaian SF Express meliputi 200 buah negara dengan bantuan lebih 15,000 buah kenderaan.

Sejak kewujudan laman web Alibaba, perkhidmatan kurier di China telah berkembang dengan pesat dan menjanjikan kejayaan berlipat kali ganda kepada Wang Wei buat tahun-tahun yang mendatang.

Jadi, kepada anda yang kini bekerja sebagai abang posmen atau jejaka kurier, tidak salah mahu berangan dan berusaha untuk menjadi jutawan.

Cuma, nasihat kami, gunakanlah saluran yang betul untuk mendapatkan rezeki secara halal dan thoyyib. Jangan buat kerja haram seludup-seludup barang pula, tak berkat hidup nanti.

Rujukan dan sumber:

TIME.com

CNBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)