Memandangkan persaingan bakat dan kemahiran pekerja di Malaysia menjadi semakin sengit, banyak syarikat kini mencuba pelbagai strategi baru untuk mengekalkan staf yang kreatif dan berkemahiran dengan lebih lama. Ada yang cuba meneroka skim masa kerja yang fleksibel dan juga kerja dari rumah.

Menurut Panduan Pendapatan Hays Asia 2016, 57% majikan di seluruh Asia menyatakan organisasi mereka sudahpun mempunyai susunan kerja yang fleksibel. Polisi yang paling kerap digunakan ialah waktu kerja fleksibel dan juga lokasi kerja yang fleksibel di mana pekerja boleh bekerja dari tempat lain seperti rumah, kafe dan sebagainya.

waktu kerja fleksibel kerja dari rumah 816

Kelonggaran majikan ini sebenarnya amat dihargai pekerja. Dalam satu tinjauan yang dijalankan, seramai 42% daripada 1,137 responden menyatakan mereka sanggup mengurangkan bayaran gaji sebanyak 10% jika mereka dibenarkan bekerja dari rumah. Manakala 23% responden lagi sanggup melepaskan sehingga 20% jumlah gaji untuk tujuan yang sama.

Kami kongsikan 4 faktor utama pekerja memilih untuk bekerja dengan sesuatu organisasi atau masih kekal dengan majikan yang sama:

kerja fleksibel waktu dan lokasi 101

#1 Kos dan tempoh perjalanan ke tempat kerja

Kos dan tempoh perjalanan ke tempat kerja merupakan salah satu peranan paling penting dalam menentukan kesanggupan rakyat Malaysia memotong gaji untuk kefleksibelan bekerja dari rumah.

Menurut Laporan Bank Dunia 2015, rakyat Malaysia menghabiskan lebih 250 juta jam akibat kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur sepanjang tahun 2014. Kos pembaziran masa dan minyak kenderaan dijangka lebih kurang RM3,100 setiap orang atau bersamaan lebih daripada 1.1% KDNK tahunan negara.

Kami harap dengan kewujudan MRT, masalah trafik dalam negara akan berkurang sekaligus dapat mengurangkan pembaziran tenaga, masa dan minyak kenderaan rakyat secara keseluruhannya.

berbasikal ke tempat kerja

#2 Lokasi tempat kerja

Berbanding negara Asia lain seperti Singapura, Jepun dan China, rakyat Malaysia amat mementingkan lokasi kerja. Panduan Pendapatan Hays Asia mendedahkan yang 18% pekerja di Malaysia sedang mempertimbangkan untuk bertukar kerja kerana lokasi yang tidak sesuai dengan mereka.

Ini mungkin disebabkan faktor keluasan negara dan capaian pengangkutan awam ke tempat kerja yang tidak begitu memuaskan. Majikan di Malaysia perlu sedar akan hal ini dan boleh cuba mempertimbangkan tawaran bekerja dari rumah atau lokasi kerja yang lebih fleksibel.

masa banyak terbuang di atas jalan raya

#3 Keseimbangan budaya kerja (work-life balance)

Bagi majikan, kebaikan bekerja dari rumah boleh mengurangkan pembaziran masa, produktiviti lebih tinggi dan juga membuatkan pekerja kekal lebih lama dengan organisasi serta menarik minat pekerja baru.

Menurut Panduan Pendapatan Hays Asia lagi, 34% pekerja di Malaysia menyatakan mereka masih kekal dengan majikan semasa kerana terdapat keseimbangan budaya kerja dalam organisasi. Sekiranya majikan menawarkan kelonggaran bekerja dari rumah, ia akan lebih meningkatkan kepuasan bekerja dan menjadikan syarikat tersebut lebih kompetitif.

Betullah kan, jika anda tak gembira di tempat kerja, buat apa kekal di tempat yang sama lama-lama? Jadi, persekitaran kerja yang menggembirakan juga merupakan faktor yang penting.

waktu kerja fleksibel kerja dari rumah fleksibel

#4 Masa kerja fleksibel

Selain polisi bekerja dari rumah, masa kerja yang fleksibel juga boleh membenarkan pekerja merancang jadual dengan lebih berkesan untuk mengelakkan trafik pada waktu puncak. Kaedah ini efektif untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran jam bagi pekerja. Ia juga boleh menjadi strategi pengekalan pekerja yang popular kerana mereka mampu mengimbangkan budaya kerja melalui aturan seperti ini.

kerja dari rumah majikan pekerja

Walau bagaimanapun, polisi bekerja dari rumah mungkin tidak sesuai dijadikan jalan penyelesaian bagi semua organisasi. Ada sesetengah pekerjaan yang memerlukan pekerja bersemuka dengan klien dan juga untuk menjaga maklumat yang sensitif. Sebagai contoh, pekerja farmasi yang perlu berinteraksi dengan pelanggan atau janji temu antara peguam dengan anak guam. Selain itu, kehadiran secara fizikal di pejabat juga boleh mewujudkan hubungan profesional dalam organisasi dan memupuk budaya berpasukan yang lebih baik.

Sama ada strategi bekerja dari rumah atau jam-fleksi, polisi kerja perlu seiring dengan budaya syarikat dan sifat perniagaan. Janganlah kerana terlalu melayankan permintaan pekerja, operasi dan pengurusan syarikat habis porak-peranda.


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)