Sebagai staff, kita di peringkat bawahan ni memang banyak benda nak mengeluh berkenaan boss, supervisor atau majikan kita. 

Tetapi bagi mereka yang pernah atau masih bergelar boss ni, hanya mereka yang duduk dalam kedudukan ini faham bagaimana sukarnya memegang kuasa dan tanggungjawab menguruskan sesuatu organisasi. Bagaimanapun malangnya, harus kita terima hakikat bukan semua boss sama. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang best. Ada yang kejam macam diktator. Ada juga yang sebenarnya tak layak jadi boss, tapi disebabkan sepupu kepada pakcik belah mak dia pemilik syarikat tu; dia layak jadi boss anda. 

Berikut adalah lima jenis boss yang boleh kita temui, disayangi dan juga dibenci kita semua.

1. Jenis my way or the highway

boss jenis diktator

Ini boss paling susah kita nak deal dengan dia. Semua benda kena ikut cara dia; kalau tak ikut salah - walaupun tugasan tersebut boleh diselesaikan dengan kaedah berbeza yang lebih cepat dan lebih efektif.

Masa mesyuarat pula dia akan berleter 2-3 jam, komen satu per satu semua perkara yang dia rasa perlu diubah, diperbetul atau ditambahbaik. Dengar dia membebel saja dah habis separuh hari kerja, tapi expectation dia tak berubah. Dia nak semua benda siap hari tu juga walaupun dah banyak masa terbuang dengar dia mengomel.

Jadi terpaksalah kita buat overtime. Boss jenis ni sangat-sangat gemarkan orang yang rajin buat kerja lebih masa kerana bagi dia kerja lebih masa adalah lebih baik berbanding buat kerja habis dalam masa yang ditetapkan. 

Tetapi disebabkan ramai tak nak dipandang serong boss jenis ni, ramai pun buat sajalah overtime sambil yakinkan diri lebih banyak overtime itu petunjuk staff yang bagus.

2. Jenis let go

boss jenis santai

Kadangkala ada ketika lantikan boss hadir bukan dari mereka yang layak. Bermacam situasi boleh berlaku yang menyumbang kepada situasi ini, tetapi biasanya berlaku bila ada staff naik pangkat jadi boss - tetapi dia dah hampir usia pencen dia atau lebih mudah, kita dapat boss jenis malas.

Boss jenis ni tak nampak keperluan untuk dia push staff dia atau perbaiki situasi yang mungkin boleh diperbaiki. Pada dia, mentaliti dia adalah dia makan gaji. Dia jaga hati semua orang elok-elok tak perlu wujudkan konflik, biar semua orang happy - tugas dia selesai.

Kerja asal siap, lambat sikit pun tak apa. Kalau staff nak keluar sekejap tu, no problem. Mula-mula memang nampak semua OK. Lama-kelamaan staff tu sendiri akan mula ambil kesempatan ke atas kelonggaran yang ada dan akhirnya ofis pun kerap kali kosong. 

Orang call pejabat tak berangkat. Kaunter tak dijaga. Inventori tak diselia dengan betul. Tak apalah; asalkan semua orang happy dan dapat gaji.

3. Jenis bawa masalah rumah ke pejabat

boss emosional masalah keluarga

Maaflah kalau penulis katakan - selalunya jenis ni hadir dari golongan wanita. Bila dia ada saja gaduh dengan suami ke atau ada masalah keluarga, habis satu pejabat jadi mangsa dia. Muka masam je satu hari tu.

Kita nak minta dia tandatangan apa-apa dokumen pun kena jeling, macam kita ada buat salah. Memang harus kita akui, kita semua ni manusia, ada emosi dan perasaan.

Sukar untuk kita elak daripada terbawa-bawa masalah yang kita kena hadap di rumah ke pejabat - tetapi apabila masalah emosi itu menyumbang kepada gangguan produktiviti, orang lain pun akhirnya terpalit sekali. 

Kalau dah kahwin tu, bolehlah kita lebih memahami. Namun kadang-kadang yang dah agak berusia, belum kahwin tu pun sikit-sikit nak tayang emosi masa mesyuarat tu - peninglah semua orang.

4. Jenis ketinggalan zaman

boss ketinggalan zaman

Teknologi semakin lama semakin cepat peredarannya dan bukan semua orang mampu mengejar kemajuan yang ada. Termasuklah boss-boss yang berkhidmat dah agak lama. 

Bila ada sistem baru, dia cuba elak daripada belajar guna. Benda mudah macam gunakan aplikasi sidang video maya pun dia kalau boleh nak elak sentuh. Semua benda nak kena rujuk dan harap orang lain buatkan, hanya kerana bagi sesetengah boss ni - dia dah tak mampu belajar benda baru.

Jika situasi tersebut tak beri kesan kepada orang lain, tak mengapa. Tetapi ada sesetengah jenis boss yang nak seluruh pejabat kekal gunakan aplikasi, perisian atau perkakasan yang mesra dia; walaupun hakikatnya kalau ditambahbaik kerja mampu jadi lebih mudah. 

Kita pun ikut sajalah arahan yang dikeluarkan kerana dah itu standard yang ditetapkan. Standard itu pula lebih layak dikata 20 tahun dulu punya kebiasaan.

5. Jenis bajet VIP

hormat boss tahap vip

Anda pernah dapat boss yang nak orang bawahan semua tengok dia seolah-olah orang yang cukup penting dan perlu dihormati - sampaikan bila dia hadir ke pejabat pun, semua orang kena beratur tepuk tangan bila dia berjalan masuk ke pejabat? 

Jika anda pernah, tahniahlah. Anda senasib dengan penulis.

Dapat boss macam ni memang sukar - kerana individu boss sebegini melihat anda semua bernasib baik dan sangat bertuah dipilih masuk menyertai syarikat mereka. Mereka tidak melihat anda turut sama membantu syarikat naik, sebaliknya dia lah yang mengubah nasib anda semua.

Hubungan pekerja-majikan bagi dia adalah sehala dan anda harus bersyukur dia menggajikan anda. 

Boss sebegini sukar untuk ditangani kerana bagi mereka tak kiralah anda pengurus ke, supervisor ke, ketua jabatan ke, head of department, macai, peon, office boy, kerani, intern atau apa saja jawatan anda - anda harus bersedia untuk melayan semua tugasan dan tanggungjawab yang bakal dianugerahkan kepada anda.

Biasa golongan begini hadir dari jenis individu yang berpangkatlah. Sama ada mempunyai title sebab jasa atau sekadar beli title, hanya boss jenis ni sajalah yang tahu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)