Seorang penjawat perkhidmatan awam baru saja menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja yang ada, selepas mula bertugas beberapa bulan. Muncul seorang pekerja baru. Bimbang tidak faham tugasannya, pekerja baru itu - seorang wanita, meminta agar diwujudkan buku panduan bagi membolehkan pekerja baru seperti dirinya faham akan tugasan sebenar yang perlu dilakukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Idea itu kelihatan baik pada dasarnya, namun pekerja senior itu sudah sarat jadualnya dan berharap agar wanita itu boleh belajar melalui observasi, sama seperti orang lain. Namun kerana tak sampai hati, diamkan saja dan menjawab berkata ok.

Untuk beberapa bulan berikutnya, pekerja wanita itu kerap bertanyakan tentang buku panduan yang dijanjikan - walaupun sedar beban kerja si senior agak padat. Pertanyaan itu yang kerap kali tiba tanpa sebarang solusi mampu ditawarkan, membuatkan si senior rasa keliru dan tidak berdaya.

Rasa bersalah mula menyerang si senior - sehinggakan dia mula mengambil alih tugasan yang sepatutnya disiapkan pekerja wanita itu, hanya semata-mata enggan disalahkan sekiranya tugasan itu gagal disiapkan dengan baik ekoran ketiadaan buku panduan. Tekanan yang dihadapi memuncak dan senior itu mula mengalami gangguan tidur dan tidak lagi berselera untuk makan dek tekanan kerja.

Pekerja wanita itu malangnya jadi lebih mendesak, selepas tidak diajak masuk dalam perbincangan melibatkan syarikat, menambah tekanan yang ada. Akhirnya, pekerja senior itu pengsan selepas tiba di rumah dan dikejarkan ke hospital. Tekanan yang dihadapi direkodkan sebagai masalah depresi yang ekstrim - membuatkan dirinya tidak sangka walaupun baru saja bergelar seorang graduan tidak lama dahulu, nasibnya kini sedemikian rupa.

Mula menjadi kebiasaan pekerja Jepun

tertekan tapi pendam perasaan

Kisah seperti itu merupakan antara kisah yang kerap kali didengari oleh Takahiro Kato (bukan nama sebenar), seorang profesor neuropsikiatri dari Universiti Kyushu di Jepun. Kato percaya kes tekanan itu merupakan satu bentuk kemurungan moden yang biasanya dianggap sebagai tekanan biasa tempat kerja, tanpa ramai menyedari kesannya pada kesihatan sendiri.

Berbeza dengan cara memahami tekanan seperti di barat atau majoriti negara lain, orang Jepun melihat kemurungan sebagai sesuatu yang normal - produk akibat keletihan yang akan hadir selepas seseorang telah bekerja dengan keras.

Setiap pekerja ada tahap tekanan yang mampu mereka hadapi namun satu factor serupa sama seperti kes yang diceritakan, adalah pesakit itu sendiri sebenarnya tahu punca serta sebab kenapa mereka tertekan, namun takut atau malu untuk berhadapan dengan punca tekanan itu.

Kebiasaannya kes seperti ini melibatkan golongan muda; generasi yang lahir selepas 1970 - usia di mana mereka masih lagi takut untuk mempertahankan pandangan sendiri dan enggan bertindak menegur dan mengecilkan hati orang lain. Ini menyebabkan pekerja-pekerja ini meneruskan kerja dibelenggu rasa bersalah, tidak selesa serta sering menyalahkan diri sendiri sekiranya sesuatu yang tidak betul berlaku.

Budaya Jepun dalam membesarkan anak-anak juga bagi Prof. Kato, agak bercanggah dengan etos budaya kerja barat yang semakin menjadi amalan utama di negara tersebut.

Tradisi keibu-bapaan yang melahirkan ketidak seimbangan mental

pelajar sekolah jepun

Satu ketika dulu, negara Jepun meletakkan matlamat untuk membangunkan ekonomi dengan sangat pesat selepas tewas dalam perang dunia kedua. Pada ketika ini, golongan lelaki digalakkan menjadi seseorang yang perlu sibuk bekerja dan kaum ibu pula diberikan tanggungjawab sepenuhnya dalam membesarkan anak-anak.

Hubungan ibu dan anak serta kebergantungan anak kepada ibunya menjadi simbol kepada keutuhan hubungan kekeluargaan di Jepun, namun bagi Kato generasi baru yang lahir ketika itu kukuh dari segi mentalnya kerana mereka mampu melihat bagaimana kuatnya ayah mereka bekerja. Perubahan zaman mengubah amalan keibu-bapaan bercorak tradisional ini, seterusnya mempengaruhi pemikiran anak-anak Jepun generasi selepas itu seakan takut untuk membuat keputusan sendiri bahkan cukup gementar untuk meluahkan isi hati mereka yang sebenar - berbeza dengan generasi sebelum mereka.

Perubahan sistem pendidikan Jepun melaksanakan dasar yang terlalu mementingkan minat pelajar juga dikritik Prof. Kato, gagal memacu ekonomi Jepun ke tahap yang lebih tinggi dek terlalu mengejar minat pelajar. Kato percaya sistem yang dikenali sebagai 'yutori kyoiku' itu sebenarnya telah menghancurkan jati diri pelajar, seterusnya melahirkan generasi baru yang bekerja hanya bergantung kepada minat dan agak lembik dalam bertindak.

pekerja jepun terbaring penat hampir mati

Selepas era 1990-an di mana gelombang kebangkitan ekonomi Jepun mula perlahan dan cara kerja tradisional mula diganti dengan kaedah baru, pekerja muda Jepun mula menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri. Kajian Kato menunjukkan terlalu ramai pekerja yang berhadapan kesukaran untuk menjadi seorang individu sebenar di pejabat khasnya melibatkan mereka yang kurang bersosial.

Akibat daripada itu, kebanyakan daripada mereka memendam rasa, menyedari apa yang mereka lakukan sebenarnya tidak sihat - namun cenderung untuk terus mendiamkan diri dan berlakon seakan semuanya baik kerana tidak mahu mengecewakan atau menyakitkan hati orang lain.

Masalah kemurungan yang menular ke seluruh dunia

bekerja dalam tekanan

Kajian Kato yang diperbesarkan pada tahun 2011 membuktikan bahawa dia menemui dapatan yang sama di beberapa negara lain, selepas menganalisa rekod 247 orang psikiatri dari Taiwan, Australia, Bangladesh dan Korea Selatan. Kajian tentang negara Taiwan misalnya menunjukkan kadar kemurungan pekerja di negara tersebut jauh melebihi kadar yang berlaku di Jepun.

Perubahan globalisasi dilihat sebagai satu perubahan yang bukan mampu ditangani setiap lapisan pekerja, dengan kebanyakan pekerja hanya memilih untuk senyap dan berlakon seakan tiada apa dan terus mengorbankan kesihatan mental mereka.

Pekerja senior yang pengsan akibat tekanan kerana diminta untuk melatih pekerja baru itu kembali memulakan kerjanya selepas tamat tempoh cuti. Namun selepas insiden tersebut, dia mendapati suasana pejabat yang menantinya berbeza. Dia diberikan layanan istimewa, tidak lagi diganggu serta dibantu sebaik mungkin oleh pekerja di sekelilingnya.

Masalah baru pula muncul - dia mula rasa tekanan dalam meyakinkan rakan sepejabatnya yang lain bahawa dia baik dan dia sihat.

pekerja jepun baring

Bagaimanapun, pengalaman dibantu ahli psikiatri dalam menangani masalah sedemikian mula membantu beliau berdepan dengan tekanan-tekanan bentuk baru itu. Lelaki itu mula memfokuskan hanya kepada tanggungjawab pekerjaan dan meninggalkan aspek-aspek sosial di antara pekerja yang memerlukan seseorang mengurus pelbagai jenis dinamik yang boleh wujud.

Pekerja itu dikatakan sudah mula dapat menerima bahawa setiap manusia ada batasan beban yang boleh dipikul. Bagi dirinya, dia mula berani untuk berkata 'tidak' bagi menolak permintaan rakan sepejabat lain, yang akhirnya akan menghantui dirinya.

Jika sebelum itu dia kurang selesa untuk berkomunikasi dengan seseorang individu yang membuatkan dirinya rasa kurang senang, kini dia lebih berani untuk bercakap dengan lebih terbuka dalam usaha melindungi dirinya di tempat kerja.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel A ‘Modern’ Depression Is Creeping Into Japanese Workplaces yang diterbitkan pada 16 Oktober 2019 oleh The Atlantic.




Hakcipta iluminasi.com (2017)