Setiap hari anda ke tempat kerja, punch card, dan terus ke meja anda. Hidupkan komputer anda dan bekerja seperti biasa. Dikala bosan, anda mula melayari laman sesawang untuk merehatkan minda. Facebook, Lazada, Mudah dan sebagainya. Kemudian anda kembali bekerja.

Namun tahukah anda, setiap gerak geri anda sedang diperhatikan oleh majikan anda, jika mereka memasang segala kelengkapan untuk memantau apa yang anda lakukan. Sudah tentu ia merupakan langkah berjaga-jaga bagi menjaga privasi dan keselamatan syarikat, namun ia juga secara tak langsung telah melanggar dan mengganggu privasi anda sebagai seorang pekerja dan manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com ingin berkongsi 6 cara majikan anda guna untuk memantau setiap gerak geri dan aktiviti anda di pejabat yang sangat menakutkan dan mengganggu privasi.

1. Rakaman perbualan telefon

rakam perbualan telefon

Jika CCTV digunakan sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sesuatu dan memantau pergerakan anda di dalam pejabat, namun ia tidak dapat merakam suara atau perbualan anda, dan tak dapat mengetahui apa yang anda sedang buat secara terperinci.

Cara yang agak mengganggu privasi dan mengerikan adalah dengan merakam perbualan telefon. Ia membuatkan majikan anda boleh mendengar perbualan anda dengan jelas. Jika anda berbual mengenai hal kerja, itu tak menjadi masalah. Tetapi jika anda terlupa dan berborak mengenai hal peribadi atau sulit, mungkin perbualan itu juga didengari oleh majikan anda.

Jadi, jika anda pasti anda tidak dirakam, barulah guna untuk hal lain, jika tidak, jangan cuba-cuba. Tetapi, agak beretika bagi majikan yang menggunakan cara ini, dan anda juga tidak beretika kerana menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, melainkan dibenarkan majikan.

2. Menjejak pergerakan di luar pejabat

mengesan kereta

Menggunakan GPS adalah salah satu cara untuk mengesan jejak pekerja yang bekerja di luar kawasan pejabat. Jika skop pekerjaan anda memerlukan anda untuk keluar dari pejabat seperti melakukan jualan dan menghantar barang, anda perlu tahu majikan anda mungkin mengesan lokasi dan pergerakan anda, sama ada menggunakan GPS dalam telefon syarikat yang anda gunakan, mahupun pada kereta syarikat yang anda pandu.

Penjejakan lokasi menggunakan GPS ini dapat memberikan maklumat kepada majikan sama anda sedang bekerja di luar atau tidak dan secara tak langsung mengetahui tahap produktiviti anda. Walaupun ia dianggap sebagai keterlaluan, namun ada baiknya kerana ia boleh menjadi alat keselamatan yang melindungi pekerja atau kereta syarikat jika berlaku kemalangan atau apa-apa insiden.

3. Memantau aktiviti komputer anda

awasi penggunaan komputer

Ini antara cara yang paling menakutkan dan berkesan yang majikan boleh lakukan untuk mengawal aktiviti anda ketika bekerja. Dengan kaedah ini, majikan anda boleh mengetahui setiap gerak geri anda menggunakan komputer. Majikan anda boleh mengetahui sama anda sedang bekerja, melayari Facebook atau membeli-belah secara online. Perisian seperti Ekran System digunakan bagi tujuan ini yang mana boleh merakam aktiviti skrin komputer.

Cara ini juga digunakan oleh mereka yang bekerja secara sambilan atau sub-kontrak, dengan cara ini, majikan boleh mengetahui jumlah jam yang anda bekerja. Dalam pejabat-pejabat biasa, ia biasanya digunakan bagi mengesan jejak user seperti "system administrator" yang mana boleh berisiko tinggi jika user ini disalahgunakan kerana boleh mengubah sistem dan data.

Jadi, jika anda menggunakan komputer korporat, ingat, anda mungkin diperhatikan.

4. Pengawasan aktiviti laman sesawang

pantau laman sesawang

Jika anda rasa anda berpeluang untuk melakukan apa saja ketika ketiadaan majikan anda, anda silap. Terdapat beberapa cara untuk mengesan laman sesawang yang anda kunjungi, daripada menyemak history sehinggalah memintas pertukaran data antara network dengan komputer anda. Jadi majikan anda boleh menyemak apa yang anda lakukan ketika ketiadaannya.

Walaupun ini agak menganggu privasi, namun ia kadang-kadang perlu untuk mengawal aktiviti tidak berfaedah pekerja, lebih-lebih lagi jika mereka melawati laman sesawang lucah. Namun, bagi mereka yang tidak melakukan aktiviti pelik, pastinya anda rasa agak terganggu. Langkah terbaik adalah untuk menyekat sesetengah laman sesawang yang tidak mahu dilawati oleh pekerja, bukan dengan cara ini.

5. Merakam keystroke

rakam keystroke

Ini agak ekstrem. Dengan menggunakan cara ini, majikan anda boleh melihat dan mengetahui setiap huruf yang anda taip (keystroke), tak kisahlah sama ada menaip berkenaan kerja menggunakan Microsoft Word, e-mel, mahupun Facebook. Dan ya, ia dilakukan tanpa pengetahuan anda. Terdapat banyak perisian ini secara percuma dan berbayar, dan ia juga boleh merakam setiap keystroke yang anda lakukan.

Walaupun ia digunakan mengawasi aktiviti jahat oleh pekerja, namun agak tertekan bagi pekerja yang tidak bermasalah. Ingat, setiap huruf yang ditaip boleh diketahui, termasuk e-mel dan kata laluan Facebook anda.

6. Menggunakan spyware

spyware

Jika anda rasa pengawasan skrin itu sudah menakutkan, anda perlu lebih risau dengan yang ini. Sekurang-kurangnya dengan pengawasan skrin, anda tahu anda diawasi. Tapi ada majikan yang tak akan berhenti di situ saja. Mereka kadang-kadang menggunakan perisian yang boleh menyembunyikan diri daripada pengetahuan anda dan melihat aktiviti komputer anda, tanpa anda sedari.

Perisian ini diklasifikasikan sebagai spyware oleh kebanyakan pakar sekuriti dan anti-virus. Namun, penggunaan spyware ini adalah diharamkan di kebanyakan negara. Jika anda mengesyaki majikan anda menggunakan perisian seperti ini, sila semak dengan undang-undang yang anda, mungkin anda boleh mendapat pampasan atas pencerobohan peribadi yang berlaku.




Hakcipta iluminasi.com (2017)