majikan pekerja hipokrit tikam belakang

Sebelum menjadi penulis di Iluminasi, penulis adalah seorang pekerja di sebuah pejabat yang biasa sajalah. Gaji pun biasa saja, cukup-cukup makan. Disebabkan oleh organisasi syarikat ini yang agak ramai jumlah pekerjanya - aplikasi mesej Whatsapp dimanfaatkan sepenuhnya sebagai alat komunikasi rasmi kami.

Kita semua tahu faedah Whatsapp dan bagaimana aplikasi seperti itu, termasuklah Telegram, Messenger dan pelbagai jenis aplikasi lain - membolehkan kita bertukar-tukar mesej dengan pantas, cepat dan paling penting percuma. Ya penulis tak nafikan komunikasi sangat senang dilakukan.

Namun bila dah menghadap situasi sama selama beberapa tahun, penulis dapat melihat sisi lain keburukan penggunaan aplikasi mesej percuma ini pada kami golongan pekerja. Berikut adalah lima keburukan Whatsapp yang penulis rasakan agak menyusahkan dan kadangkala rasa nak 'uninstall' saja Whatsapp ni.

1. Budaya 'noted'

penggunaan whatsapp di tempat kerja

Beberapa tahun lepas, penulis pernah ditegur oleh ketua jabatan kerana jarang membalas pengumuman rasmi beliau dalam kumpulan Whatsapp kami. Satu benda yang seakan dah jadi kebiasaan (bagi pejabat kami) ketika itu, adalah budaya membalas mesej ketua dengan perkataan 'noted' sebagai indikasi kita faham.

Datang satu mesej ketua, akan masuklah notifikasi berpuluh orang 'noted' dan 'noted' dan 'noted' menandakan mereka 'noted' dengan mesej. Tetapi bila dah kerap sangat perlu dinotedkan mesej, bosan juga kan? Jadi penulis pun berhenti membalas 'noted' sehinggakan dipersoalkan kenapa perkara itu berlaku.

2. Rasa terpinggir tak dijemput masuk kumpulan 'chat' rahsia

budaya penggunaan whatsapp

Pernah tak anda dengan tak disangka-sangka mendapat tahu tentang kewujudan bilik Whatsapp yang melibatkan kumpulan pekerja lain - kecuali anda? Pasti ramai yang mengalami masalah itu. Nasib baiklah penulis tak pernah.

Tak dapat dinafikan dalam hubungan pejabat, 'politik pejabat' akan mewujudkan klik-klik atau kumpulan kecil yang lebih rapat, melahirkan segregasi yang akan menyebabkan wujudnya percanggahan pendapat atau rasa kurang gemar antara satu sama lain. Tetapi pada zaman SMS dulu, masalah ini agak kurang ketara kerana kita masih lagi terpaksa berkomunikasi secara 'satu dengan satu.'

Bila kita tak dijemput masuk kumpulan-kumpulan ni, pasti kita akan tertanya-tanya pada diri sendiri; "aku ni ada orang tak suka kah?" atau "mereka ni memang sengaja pulaukan aku kah?" yang seterusnya akan menyebabkan kita rasa tak seronok nak pergi bekerja.

3. Wujud prasangka bila tak aktifkan blue-tick

bimbang mesej tidak berbalas

Selepas Whatsapp mewujudkan fungsi 'penanda biru' atau 'blue-tick,' wujud satu stigma dalam pengguna Whatsapp khasnya masyarakat kita tentang individu yang tidak mengaktifkan fungsi 'blue tick' Whatsapp beliau.

Pernah dalam satu mesyuarat, ketua jabatan penulis membangkitkan soal ini kerana dia mahu tahu bahawa mesej yang disampaikan oleh beliau, telah selamat sampai serta selamat dibaca oleh penerima - yakni kami lah.

Namun, ada antara kami yang sengaja memilih untuk menyahaktifkan fungsi tersebut, kerana merasakan fungsi itu menyusahkan diri sendiri. Sekiranya 'blue tick' diaktifkan, kita seakan-akan rasa bersalah tak membalas mesej seseorang dan dipihak yang lagi satu pula boleh merasakan tidak puas hati kenapa mesejnya belum berbalas, sedangkan 'blue tick' dah dipaparkan.

4. Dasar syarikat diperkenalkan sesuka hati

majikan tetapkan syarat penggunaana whatsapp wajib

Kami pernah memaparkan tentang kisah seorang pekerja yang dipecat disebabkan dia keluar daripada kumpulan Whatsapp pejabat, sehingga menjadi kes mahkamah. Malangnya dalam kes itu - mahkamah mendapati apa yang beliau lakukan, melanggar peraturan dan syarat yang telah ditetapkan majikan.

Kes seperti itu merujuk kepada kes yang memang dah termaktub dalam kontrak pekerja namun semakin banyak syarikat dengan sengaja mewujudkan 'syarat-syarat sendiri' berkaitan dengan penggunaan Whatsapp, sesuka hati. Macam penulis, kami diwajibkan untuk aktif menyemak notifikasi Whatsapp sehingga jam 9 malam setiap hari bekerja.

Ada syarikat yang mewajibkan semua pekerja mempunyai Whatsapp, ada juga yang majikan yang mungkin terlalu emosi menghalang pekerja mempunyai kumpulan Whatsapp sesama pekerja tanpa kehadiran boss dalam kumpulan. Macam-macamlah kisah yang penulis dah dengar. Bagaimana dengan syarikat anda?

5. Whatsapp sebagai bukti buat kerja

bukti kerja dengan selfie

Zaman teknologi semakin canggih, kita semakin mengalami defisit kepercayaan sesama kita. Buat apa pun, mesti kena muat naik gambar kita ke kumpulan Whatsapp bagi menunjukkan kita sedang bekerja. Kena hadiri mesyuarat di luar? Ketua nak tengok gambar. Kena hadiri acara atau majlis di tempat lain? Nak kena bagi gambar.

Lepas siap satu kerja? Kena bergambar. Tengah mesyuarat? Kena ada gambar. Hadiri kem bina semangat? Kena tangkap gambar.

Yang lebih malang dan penulis selalu nampak sendiri - bila menghadapi kecemasan pun ada kalanya gambar diperlukan. Kena langgar dari belakang sampai tak dapat sampai pada waktunya? Gambar kereta kena dikongsikan dalam kumpulan. Anak demam? Ada yang sampai muat naik gambar anak tengah demam nak membuktikan kita tak menipu.

6. Kita dijangka berkomunikasi setiap masa

mesyuarat whatsapp

Berikutan kemudahan Whatsapp yang pantas dan percuma - satu-satunya perkara yang paling penulis menyampah dan meluat sangat, adalah jangkaan orang ramai yang kita terbuka untuk nak berkomunikasi setiap waktu. Bekas boss penulis hujung minggu pun dia nak mesej dalam kumpulan Whatsapp pejabat, kononnya nak kita semua alert tentang hal pejabat. Come on Boss, hujung minggu ni!

Samalah seperti nasib guru khasnya bila dah mewujudkan kumpulan Whatsapp dengan ibu bapa. Ibu bapa ada kalanya tak peduli langsung dengan waktu mereka mesej dan seakan-akan marah bila pertanyaan mereka tak berbalas - sedangkan waktu ketika itu sudah lebih 10 malam. Ada ke patut perkara sebegitu nak dibiasakan?

Dengan adanya Whatsapp, setiap orang seolah-olah 'diwajibkan' perlu cakna dengan notifikasi yang masuk serta rajin menyemak telefon, bagi memastikan mesej yang diterima dibaca, difahami dan yang lebih penting dibalas. Di mana privasi kita dalam dunia tanpa sempadan, kalau kita sendiri tidak lagu dibenarkan mewujudkan sempadan?



Hakcipta iluminasi.com (2017)