Pada tahun 2015, Dan Price - seorang jutawan muda yang berjaya membangunkan sebuah syarikat khidmat pembayaran bernama Gravity Payments sedang mendaki bukit dengan rakannya Valerie. Price yang pada ketika itu berusia 31 tahun, mendengar keluhan rakannnya itu yang sedang berdepan masalah kewangan teruk.

Bekas anggota tentera, Valerie merupakan seorang petugas selama 11 tahun sebelum bekerja sebagai orang awam biasa dengan pendapatan $40,000 setahun. Malangnya, tinggal di Seattle tidak memungkinkan seseorang mampu hidup selesa dengan angka sedemikian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Valerie memberitahu bagaimana dia sedang bergelut membayar sewa rumah yang telah dinaikkan, dengan hutang bil utiliti mula bertambah. Bagi memperbaiki situasi, dia bekerja dua kerja yang memerlukan komitmen 50 jam setiap minggu bagi satu pekerjaan hanya untuk bertahan.

Kisah itu membuka mata Price tentang gambaran sebenar bagaimana dia terlepas pandang situasi pekerja yang bekerja dengannya.

Jurang ekonomi yang semakin membesar

seattle income inequality gap

Sebelum tahun 1995, pembahagian ekonomi Amerika Syarikat masih layak dikatakan seimbang. 50% daripada golongan berpendapatan paling rendah di seluruh Amerika Syarikat memegang kuasa ekonomi lebih besar berbanding 1% yang tertinggi. Namun situasi ini mula berubah kini apabila 1% menguasai pai ekonomi terbesar dan jumlah yang dikuasai 50% terendah, jadi lebih mengecil.

Gaji CEO sekitar tahun 1965 kebiasaannya hanya 20 kali lebih besar berbanding gaji tahunan pekerja bawahan namun kajian 2015 menunjukkan, jurangnya berubah menjadi 300 kali ganda lebih besar perbezaannya. Price mengambil idea kajian dua orang pakar ekonomi bernama Daniel Kahneman dan Angus Deaton, bagi mengenalpasti angka minima seseorang pekerja di Amerika Syarikat perlu ada membolehkan hidup dengan selesa.

Setelah analisa berkenaan tahap kewangan syarikatnya dilakukan, Price mendapati angka $70,000 setahun patut diletak sebagai penanda aras minima syarikatnya dan dia sendiri perlu memotong pendapatannya, malah perlu mengurangkan beban tanggungannya - menjual dua buah rumahnya serta pegangan saham yang dia ada.

Selepas berjaya mencapai matlamatnya, Price memanggil pekerjanya bagi memberikan mereka berita gembira. "Gaji minima di Gravity Payments akan dinaikkan kepada $70,000 setahun." Semua pekerjanya diam tanpa reaksi walaupun Price cuba mengawal emosi gembiranya. Mereka tak dapat memproses apa yang berlaku.

Perubahan besar pada hidup

bandar seattle

Kenaikan itu telah mengubah Gravity Payments sepenuhnya. Jumlah transaksi yang mereka uruskan meningkat tahun ke tahun daripada $3.8 billion kepada $10.2 billion.

Jumlah pekerja yang telah membeli kediaman sendiri meningkat daripada 1% kepada 10%, di salah satu bandar di mana kadar penyewaan dan pembelian hartanah merupakan antara yang tertinggi di Amerika Syarikat. Berlaku peningkatan bayaran sukarela bagi skim pencen yang mendadak di kalangan pekerja Gravity Payments dan ramai pekerja berjaya melangsaikan hutang.

Apa yang lebih membanggakan Price, perubahan itu mendorong ramai pekerja Gravity Payments lebih berani memulakan keluarga, dengan kadar kelahiran di kalangan pekerjanya meningkat mendadak berbanding sebelumnya.

Walau demikian, tindakan Price itu mendapat tentangan beberapa pihak khasnya golongan majikan di Amerika Syarikat yang mendakwa, apa yang dilakukan Price akan memberi kesan pada semua perniagaan yang ada. Price digelarkan komunis, kerana mengutamakan dasar sosialis.

Lebih teruk, dua pekerja Gravity Payments berpangkat senior bertindak meletakkan jawatan - selepas marah dengan kenaikan gaji segera pekerja berpangkat muda. Mereka berdua merasakan tindakan Price hanya akan menyebabkan produktiviti syarikat tergangggu.

Itu semua tidak berlaku. Sebaliknya tahap produktiviti pekerja di Gravity Payments meningkat disebabkan mereka kini mempunyai kebebasan lebih besar untuk berbelanja. Mana yang terpaksa tinggal jauh, sudah menyewa lebih dekat. Mana yang sebelum ini senantiasa terbeban desakan kewangan, mula mempunyai lebih banyak pilihan.

Perubahan kecil pada mentaliti majikan

hadiah tesla pekerja kepada majikan

Kisah kenaikan gaji Gravity Payments walaupun tidak memberikan kesan yang besar pada negara tersebut serta dunia, tetap menjadi inspirasi kepada beberapa syarikat lain. Pharmalogics di Boston dan Rented.com di Atlanta menaikkan gaji minima pekerja mereka kepada $50,000 setahun. Kedua-dua syarikat melaporkan perubahan positif yang serupa pada tahap produktiviti pekerja mereka.

Apa yang dimulakan Price bagaimanapun sebenarnya paling memberikan kesan pada dirinya sendiri. Jika sebelum ini dia adalah anak muda jutawan tipikal yang tidak peduli tentang faktor kesesuaian gaji, pada hidup pekerja syarikatnya - Price kini mengubah pendirian, tidak takut untuk meletakkan kepentingan pekerja melebihi segalanya.

Godaan yang pernah dirasai satu ketika dulu untuk berusaha menjadi nama tokoh korporat besar, diletakkan sebaris dengan individu-individu terkaya dunia tidak pernah lekang dalam fikirannya - tetapi kini terpaksa dipendamkan kerana Price tahu, rasa tamak itu akan senantiasa menggodanya.

Setahun selepas dia menaikkan gaji, pada satu hari - semua pekerja yang ada di Gravity Payments menjemput Dan Price ke perkarangan pejabat. Ada sebuah kereta Tesla berwarna biru di situ. Semua pekerja sama-sama berkongsi wang pendapatan mereka bagi membeli Tesla tersebut, untuk menggantikan kenderaan jenama Audi yang digunakannya selama lebih 12 tahun.

Berapa harga kereta Tesla tersebut?

$70,000!




Hakcipta iluminasi.com (2017)