Oleh pada 09 Jan 2018 kategori

bos tak bayar gaji

Pernah tak anda alami situasi ini. Anda bekerja untuk syarikat, tak ada apa-apa masalah berlaku. Anda bekerja seperti biasa dan apabila tiba hujung bulan, gaji anda dibayar. Beberapa bulan kemudian, anda tidak dibayar gaji. Boss anda menjanjikan untuk membayar bulan hadapan, dan tiba masanya, masih belum dibayar.

Atau, anda berniat untuk mencari kerja lain kerana kerja yang anda lakukan sekarang tak sesuai dengan jiwa anda. Malah, ada syarikat yang menawarkan kerja dengan gaji lebih lumayan. Anda pun berhenti kerja dan mula bekerja di tempat lain, tapi gaji anda belum dibayar syarikat lama anda.

Apa patut anda buat? Dan adakah apa-apa yang anda boleh lakukan dalam situasi ini? Ya, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan.

Akta Kerja 1955

akta kerja 1955

Sebelum apa-apa, anda perlu tahu, istilah "pekerja" atau "employees", digunakan dengan berlainan daripada kegunaan harian orang biasa, dan kegunaan dalam bidang perundangan. Akta Kerja 1955 (Semenanjung Malaysia sahaja) mendefinisikan "pekerja" sebagai orang yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan. Jangan bimbang, masih ada peluang.

Seksyen 69 dalam Akta Kerja 1955 membenarkan Ketua Pengarah Buruh menyelesaikan pertikaian mengenai gaji pekerja, sehingga gaji bulanan mencecah RM5,000. Dan jika anda bekerja sebagai buruh kasar, tak kira berapa pun gaji anda.

Juga terdapat akta yang mentadbir hal ini bagi mereka yang bergaji RM5,000 ke atas, dan akan dijelaskan dalam artikel ini.

Jadi, bila sepatutnya majikan anda membayar gaji anda?

Pekerja sepatutnya dibayar gaji dalam masa 7 hari. Menurut Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955, :

"Subject to subsection (2), every employer shall pay to each of his employees not later than the seventh day after the last day of any wage period the wages, less lawful deductions earned by such employee during such wage period,"

Ia bermaksud, setiap majikan hendaklah membayar gaji setiap pekerja tidak lewat dari hari ke-7 selepas hari terakhir mana-mana tempoh upah (kerja), yang biasanya sebulan. Jadi, jika anda bekerja untuk bulan Januari, gaji anda harus dibayar selewatnya pada 7 Februari.

Jika melebihi tempoh ini, majikan anda telah melanggar undang-undang yang dijelaskan dalam seksyen ini.

Jika berhenti kerja atau dipecat

ramai pekerja dibuang tahun 2017

Bagi anda yang berhenti kerja atau dipecat, ia tertakluk kepada Seksyen 20, seperti berikut : 

"The wages, less lawful deductions, earned by but not yet paid to an employee whose contract of service terminates in accordance with section 11 (1) or of section 12 shall be paid to such employee not later than the day on which such contract of service so terminates."

Ia bermakna apabila kontrak anda dengan syarikat berkenaan telah tamat, dan anda ingin tinggalkan syarikat tersebut, gaji anda mesti dibayar pada hari penamatan kontrak perkhidmatan.

Jika berhenti atau dipecat tanpa notis

berhenti kerja tanpa notis

Biasanya jika anda dipecat oleh boss anda, atau anda sendiri ingin berhenti, notis harus diberikan. Ia bertujuan memberitahu satu-satu pihak berkenaan apa yang akan berlaku dalam tempoh yang munasabah, dan tempoh tersebut bergantung kepada situasi.

Jika anda berhenti, atau diberhentikan tanpa notis, anda harus membayar atau dibayar, jumlah tertunggak untuk tempoh berkenaan di bawah seksyen 13(1). Sebagai contoh, jika anda dipecat tanpa notis, dan sepatutnya notis harus diberikan 8 minggu sebelumnya, jadi anda patut dibayar gaji termasuk untuk tempoh 8 minggu tersebut.

Juga terdapat situasi di mana berlaku perlanggaran syarat dalam kontrak di bawah seksyen 13(2), salah laku oleh pekerja (seksyen 14(1)) dan pekerja diletakkan dalam risiko yang tak tertakluk dalam kontrak (seksyen 14(3)).

Segala perkara membawa kepada seksyen 21 : 

  1. Jika majikan menamatkan kontrak pekerja tanpa notis menurut peruntukan seksyen 13(1), 13(2) dan 14(1)(a), gaji yang diperoleh oleh pekerja sehingga dan termasuk hari sebelum penamatan mesti dibayar tidak lewat dari hari penamatan kontrak.
  2. Jika pekerja sendiri yang menamatkan kontrak tanpa notis menurut peruntukan 13(1), 13(2) dan 14(1)(a), upah yang sama harus dibayar paling lambat pada hari ketiga sepelas penamatan kontrak. 

Dipendekkan cerita, jika kontrak ditamatkan, majikan harus membayar bekas pekerja gaji yang diperoleh, dalam masa yang diperuntukan. Akta Kerja ini hanya digunapakai di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Bagaimana jika majikan enggan membayar gaji?

Gaji RM5,000 dan ke bawah

Terdapat beberapa pilihan. Anda boleh dapat pembelaan melalui pemfailan tuntutan di Mahkamah Buruh. Ia bukanlah mahkamah seperti mahkamah yang anda biasa dengar. Ia merujuk kepada "Pertanyaan" kepada Ketua Pengarah Buruh seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 69 Akta Kerja.

Gaji lebih RM5,000

Jika gaji lebih dari RM5,000 ia tertakluk kepada Akta Perhubungan Perindustrian 1967, seksyen 2 :

"...sesiapa sahaja, termasuk pelatih, yang diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan untuk bekerja atau ganjaran dan bagi maksud apa-apa prosiding berhubung sesuatu pertikaian perdagangan, termasuklah mana-mana orang yang diberhentikan, dilepaskan atau diberhentikan berkaitan dengan atau akibat daripada pertikaian itu atau pemecatan, pelepasan atau pemberhentian telah menyebabkan pertikaian itu,"

Jadi, selagi anda adalah seorang pekerja, anda berada dalam Akta ini dan dilindungi. Jika anda dan majikan anda tak dapat selesaikan masalah ini, Jabatan Perhubungan Perusahaan akan masuk campur.

Jika belum selesai?

  1. Dan jika masih belum selesai, jabatan ini akan melaporkan kepada Ketua Pengarah.
  2. Ketua Pengarah kemudiannya akan membantu pihak-pihak berkaitan mencapai penyelesaian. Dan jika juga belum selesai, Ketua Pengarah akan melaporkan kepada Menteri Sumber Manusia.
  3. Menteri Sumber Manusia akan menyelesaikan masalah (seksyen 19A), jika masih gagal, perkara ini akan dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan untuk diselesaikan.
  4. Selepas kes didengarkaan di mahkamah, perintah yang dipanggil "Anugerah" akaan diberikan.
  5. Kemudian, mana-mana pihak boleh membuat rayuan ke Mahkamah tinggi, sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Kebanyakan pertikaian gaji biasanya melibatkan jumlah wang yang sedikit, jadi ia tak begitu berbaloi untuk menggunakan khidmat peguam. Anda boleh mewakili diri sendiri, dan ia tidak formal seperti prosiding mahkamah biasa. Anda hanya perlu diwakili peguam jika kes dirujuk kepada Mahkamah Tinggi dan ke atas.

Rujukan : Ask Legal


tags : , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)