Sepasang buah tembikai wangi (cantaloupe melon) baka hibrid yang ditanam khusus di bandar Yubari, Hokkaido, telah memecahkan rekod dengan bidaan bernilai 5 juta yen (RM191,200) baru-baru ini. Ia telah mengatasi rekod terdahulu iaitu 3.2 juta yen pada tahun 2018. Buah tembikai wangi istimewa ini terkenal kerana isinya yang berwarna jingga, lembut dan rasanya yang sangat manis. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pembida bertuah tersebut merupakan syarikat minuman terkemuka yang berpangkalan di Tokyo iaitu Pokka Sapporo Food & Beverage Ltd. Menurut Presiden syarikat, Yoshihiro Iwata, bidaan itu dibuat bersempena ulang tahun ke-10 syarikat sejak mula melancarkan air soda berperisa tembikai wangi. Disebabkan syarikat itu mula diasaskan di Sapporo, mereka ingin membalas budi dengan memberikan sesuatu kembali pada Hokkaido.

Buah tembikai wangi yang dibeli itu akan dipamerkan di Sapporo Dome dan Lapangan Terbang Chitose di Hokkaido sebelum diambil semula untuk menjalankan analisis warna serta bau untuk pembangunan produk-produk baru syarikat tersebut.

Kenapa buah-buahan di Jepun mahal?

Jepun sememangnya dikenali di seluruh dunia dengan penghasilan produk yang 'rare' dan berkualiti premium seperti daging Kobe, anggur Ruby Roman, cendawan Matsutake dan susu Nakazawa. 

kedai buah mewah di jepun

Namun, mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapakah kebanyakan buah di Jepun dijual pada harga yang sangat mahal. Membeli buah-buahan di sana terasa seolah-olah membeli barangan kemas. Sebiji tembikai empat segi sama di kedai buah premium bernilai sama seperti 36 biji tembikai biasa. Epal Sekai-ichi yang membawa maksud "terbaik di dunia" boleh mencecah sehingga RM105 sebiji. Begitu juga dengan buah tembikai wangi Yubari yang kebiasaannya dijual pada harga antara 4,000 yen (RM153) sehingga 10,000 yen (RM382).

Harga-harga tersebut merupakan harga yang 'biasa' dan boleh didapati dengan mudah. Walau bagaimanapun, harga buah-buahan ini akan melambung tinggi semasa lelongan diadakan bagi hasil tuaian pertama pada setiap kali musim.

Buah merupakan satu cabang perniagaan yang besar dan amat serius di Jepun. Penanam mengambil masa bertahun-tahun untuk membiakkan buah-buahan yang bersaiz besar dan berbentuk aneh supaya dapat dijual kepada pelanggan daripada golongan elit.

buah strawberi jepun sebesar bola tenis

Menurut seorang pemilik kedai buah, Okuda Nichio, proses untuk mendapatkan bentuk sempurna sebiji strawberi yang diinginkannya amat sukar. Dia mengambil masa selama 15 tahun sebelum berjaya berada di tahap kini. Buah strawberi Bijin-hime (bermakna "puteri cantik") yang ditanam sendiri oleh Nichio mengambil masa 45 hari sebelum boleh dituai. Setiap tahun, dia hanya menjual sekitar 500 biji strawberi terpilih bersaiz bola tenis yang bernilai 500,000 yen sebiji (RM19,000).

Status buah yang berbeza di Jepun

Penduduk Malaysia mungkin sudah terbiasa membeli buah dengan harga murah kerana ia sering dijadikan pencuci mulut dan snek harian. Kita membeli buah kerana ingin menikmati kemanisan selain mendapat faedah daripada kandungan nutrisinya yang tinggi. Harga buah-buahan tempatan rata-rata masih dalam kategori mampu dimiliki dan tidak banyak berbeza berbanding sayur-sayuran.

Walau bagaimanapun, budaya di Jepun menganggap buah sebagai sesuatu yang bersifat spiritual dan sering dijadikan hadiah sebagai tanda penghargaan, ucapan tahniah atau sekadar ingin mengambil hati orang yang dihormati. Dalam erti kata lain, ia seumpama memberi hadiah berbentuk sekotak coklat mewah yang boleh menunjukkan status atau kedudukan si pemberi atau penerima.

hadiah buah akan dibungkus kemas dan menarik

Tambahan pula, dikatakan orang Jepun sering makan menggunakan mata terlebih dahulu. Jadi, setiap biji buah yang ingin dihadiahkan perlu dipersembahkan dengan sebaik mungkin. Misalnya, setiap biji strawberi tidak bercacat kebiasaannya dijual dalam bekas mirip kotak barangan kemas manakala buah tembikai pula dibalut setiap satu sebelum diletakkan di dalam kotak kayu yang penuh dengan hiasan.

Jadi, tidak hairanlah apabila potongan buah-buahan premium ini juga dihidangkan di penghujung santapan golongan atasan yang dipanggil kaiseki. Status tinggi santapan diraja ini bermakna buah yang dipilih juga perlu berstatus dan berkualiti tinggi. Ia perlu sempurna dari segi bentuk, rasa dan tekstur serta tidak mempunyai sebarang cela.

Faktor penanaman : penyumbang harga mahal

Selain daripada status buah itu sendiri yang dilihat mewah, badan pengawalseliaan kebangsaan iaitu Koperasi Pertanian Jepun juga telah menetapkan pelbagai syarat bagi saiz, warna dan rasa buah yang boleh dibeli daripada petani sebelum dijual kepada orang ramai.

Keluasan tanah untuk aktiviti penanaman buah juga tidak begitu banyak disebabkan tanah Jepun yang dirangkumi sehingga 80% kawasan pergunungan. Banyak ladang buah di Jepun diusahakan oleh perniagaan keluarga atau syarikat berskala kecil. Kebiasaannya, penanaman buah di Jepun melibatkan proses intensif buruh dan kerja yang sangat rumit.

buah tembikai wangi premium

Untuk memberikan anda gambaran betapa 'rumit'nya proses penanaman buah ini, kita ambil contoh mudah penanaman buah tembikai wangi (muskmelon) menggunakan kaedah Shizuoka. Dari peringkat awal, petani akan memilih biji benih yang terbaik untuk ditanam di dalam rumah hijau. Sebaik sahaja benih bercambah, putik yang tidak memenuhi standard akan dibuang dan proses pendebungaan seterusnya dibuat sendiri dengan tangan menggunakan berus lukisan.

Apabila buah mula kelihatan, hanya yang terbaik akan dipilih. Setiap satu jalaran hanya ditinggalkan sebiji buah sahaja supaya ia tidak perlu berebut menyerap zat makanan dengan buah-buah lain.

topi hitam pada setiap buah untuk mengelakkan selaran matahari

Buah tembikai wangi yang berjaya tiba ke peringkat ini akan menerima layanan yang lebih istimewa sebelum ia menjadi ranum. Seutas tali diikat di bahagian tangkai buah agar ia tidak jatuh sebelum dituai. Jalaran juga akan dicantas supaya berada pada paras yang sama tinggi. Setiap buah kemudian dipakaikan 'topi' hitam yang diperbuat daripada plastik untuk mengelakkan terkena selaran matahari.

Akhir sekali setiap biji buah ini akan menerima urutan khas menggunakan tangan yang dipakaikan sarung tangan putih. Urutan ini dilaporkan dapat membentuk sebiji buah yang sempurna, memberikan kulit luar yang mulus selain merangsang rasa isi buah yang manis.

Menurut Masaomi Suzuki yang merupakan seorang pengusaha kebun buah, dia dan ahli keluarganya tidak pernah pergi bercuti bersama kerana seseorang perlu tinggal di kebun untuk memerhatikan hasil tanaman.

"Butik" buah premium Sembikiya

Kedai buah mewah Sembikiya di Tokyo mengatakan bahawa merekalah yang bertanggungjawab mempopularkan budaya pemberian buah sejak dahulu lagi. Pada tahun 1834, isteri seorang samurai dengan bijak telah mengubah dan menaik taraf kedai buah murah milik keluarga menjadi sebuah kedai yang premium. Dia hanya memilih buah-buahan yang terbaik, tanpa sebarang kotoran atau kecacatan untuk menarik golongan pembeli yang ingin mengambil hati ketua mereka.

butik menjual buah premium sembikiya

Apabila buah tembikai wangi yang ditanam sudah bersedia untuk dituai dan dijual, pihak Sembikiya tidak akan membeli kesemuanya terus dengan sewenang-wenangnya. Setiap biji buah akan dinilai dari segi bentuk bulat, 'selok-belok' corak di permukaan buah, kemanisan dan bau. Dilaporkan hanya sekitar 3% daripada hasil tuaian buah tembikai wangi dianggap berkualiti tinggi dan hanya beberapa biji sahaja daripada jumlah itu akan berjaya mendapat tempat di rak jualan Sembikiya.

Jika anda berkunjung ke Jepun dan tidak mampu membeli buah premium di Sembikiya, anda masih boleh mencari buah yang tidak begitu mahal dengan melawati kawasan-kawasan kampung. Carilah buah yang sedang dalam musim, misalnya : buah ara, nashi, anggur dan pisang kaki pada musim luruh; mandarin dan epal pada musim sejuk; strawberi dan amanatsu pada musim bunga; buah pic dan ansu semasa musim panas.

Selain itu, anda juga boleh membeli di pasar-pasar yang banyak menjual buah yang 'kurang sempurna.' 




Hakcipta iluminasi.com (2017)