Oleh pada 23 Oct 2023 kategori

Perisytiharan Balfour atau Deklarasi Balfour merupakan kenyataan awam oleh kerajaan British pada tahun 1917 semasa Perang Dunia Pertama.

Deklarasi itu dibuat atas tujuan menyatakan sokongan Britain terhadap penubuhan "rumah kebangsaan bagi orang Yahudi" di Palestin, ketika itu masih sebuah wilayah bawah kuasa empayar Uthmaniyyah yang mempunyai penduduk minoriti Yahudi yang kecil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perisytiharan ini dilihat satu langkah penting yang menjadi asas kepada penubuhan Israel, sebuah negara Yahudi yang berjaya ditubuhkan pada tahun 1948 selepas berakhirnya era yang dikenali sebagai Mandat British.

Deklarasi itu ketika diwartakan benar-benar menimbulkan kontroversi dan rasa benci di kalangan penduduk Arab di Palestin; yang merasakan hak warga Palestin diabai atau dilanggar oleh British demi kepentingan gerakan Zionis.

Permulaan konflik yang tidak bertimbang rasa

bagaimana hubungan zionis cipta israel

Apa yang membuatkan banyak pihak khususnya penduduk di Palestin marah, adalah kerana Deklarasi Balfour bercanggah dengan perjanjian awal British dengan orang Arab Palestin.

Briatin pada awalnya telah berjanji akan membantu sekiranya orang Arab bangkit memberontak melawan Empayar Uthmaniyyah semasa perang. 

Deklarasi ini terkandung dalam surat bertarikh 2 November 1917, ditulis oleh Setiausaha Luar United Kingdom, Arthur Balfour kepada Lord Rothschild, pemimpin utama komuniti Yahudi British.

Tujuannya adalah untuk disebarkan sebagai pengisytiharan persetujuan kerjasama di antara kerajaan Britain dengan Zionist Federation of Great Britain and Ireland.

Teks deklarasi yang diterbitkan dalam akhbar pada 9 November 1917 berbunyi:

"Tuan Lord Rothschild,


Saya amat gembira dapat menyampaikan kepada anda, atas nama Kerajaan Baginda, perisytiharan berikut yang menyatakan simpati kepada aspirasi Zionis Yahudi yang telah dikemukakan kepada dan diluluskan oleh Kabinet.


Kerajaan Baginda memandang dengan baik penubuhan sebuah negara bagi orang Yahudi di Palestin dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan pencapaian objektif ini, dengan difahami dengan jelas bahawa tidak ada yang akan dilakukan yang mungkin merosakkan hak sivil dan agama komuniti bukan Yahudi yang sedia ada di Palestin, atau hak dan status politik yang dinikmati oleh orang Yahudi di mana-mana negara lain.'


Saya akan bersyukur jika anda dapat membawa deklarasi ini kepada pengetahuan Zionist Federation.


Saya dengan ikhlas,
Arthur James Balfour"

Kenapa Britain menyokong Zionis?

balfour declaration

Dokumen pengisytiharan ini terhasil atas beberapa faktor yang mempengaruhi keputusan kerajaan British untuk menyokong Zionis, satu gerakan politik yang pada ketika itu mempunyai matlamat untuk mencipta tanah air Yahudi di Palestin.

Secara amnya, Britain ingin memastikan sokongan orang Yahudi kekal bersama mereka dalam usaha perang menentang Jerman dan sekutunya, terutama di negara-negara yang mempunyai populasi Yahudi yang besar.

Selain itu Britain ingin melemahkan pengaruh Perancis dan Russia di Asia Barat serta menghalang Jerman daripada mendapat akses kepada lokasi strategik di kawasan-kawasan tertentu.

Pengaruh pemimpin pendokong Zionis di kalangan kerajaan British yang ingin memenuhi visi Zionisme, seperti Balfour sendiri, Perdana Menteri David Lloyd George dan Winston Churchill juga menjadi faktor utama kenapa kerajaan Britain sanggup melakukan tindakan sedemikian rupa..

Dalam aspek keagamaan, penglibatan Britain juga dilihat sebagai campur tangan yang memenuhi kewajipan agama dan moral mereka terhadap orang Yahudi, yang telah menderita berabad lamanya akibat penganiayaan dan diskriminasi di Eropah.

Orang Yahudi meraikan deklarasi dengan gembira

pendatang yahudi lehi

Disambut baik oleh banyak Yahudi di seluruh dunia yang melihat deklarasi ini sebagai satu pengabsahan hubungan keagamaan dan sejarah mereka dengan bumi Palestin, janji yang diwartakan Britain ini dilihat sebagai satu harapan baru dalam menjamin keselamatan dan kemakmuran orang Yahudi di masa depan. 

Walau bagaimanapun tidak semua orang Yahudi khususnya mereka yang tidak menyokong gerakan Zionis bersetuju dengan deklarasi ini.

Kumpulan Yahudi sebegini melihat asimilasi secara semula jadi ke bumi Palestin seperti yang telah pun dibuat adalah jalan terbaik. Kumpulan sebegini membentuk komuniti minoriti Yahudi yang sudah menetap di Palestin lebih awal.

Sesetengah orang Yahudi juga percaya apa yang dibuat oleh Zionis adalah menderhakai perintah Tuhan yang telah mengusir mereka daripada kawasan itu, berpegang bahawa hanya perintah Tuhan boleh membenarkan mereka pulang ke tanah asal mereka.

Deklarasi Balfour ditolak majoriti orang Arab di Palestin dan negara-negara lain, yang melihatnya sebagai pengkhianatan oleh British. Orang Arab percaya mereka merupakan majoriti dan pemilik sah Palestin.

Mereka juga mahu Britain melunaskan jaminan membenarkan kemerdekaan sebagai balasan bagi pemberontakan mereka terhadap Empayar Uthmaniyyah semasa perang.

Isu paling besar, orang Arab Palestin gusar kedatangan orang Yahudi akan mengusir mereka dari tanah mereka dan menggugat budaya dan agama mereka - seperti mana yang telah berlaku sekarang ini.

Titik tolak konflik panjang yang masih belum selesai

masyarakat palestin israel

Deklarasi Balfour memulakan rangkaian peristiwa yang akhirnya menukar sejarah Palestin selama-lamanya.

Selepas perang dunia pertama berakhir tahun 1918, Britain memperoleh mandat dari Liga Bangsa (League of Nations) untuk mentadbir Palestin sehinggalah Britain merasakan Palestin bersedia untuk merdeka.

Walau bagaimanapun Britain mula berdepan desakan, di antara memenuhi janji kepada orang Yahudi atau melunaskan tuntutan kemerdekaan orang Arab Palestin.

Britain cuba menyeimbangkan permintaan yang bertembung dari kedua-dua belah pihak dengan mengeluarkan pelbagai dasar dan cadangan, seperti Kertas Putih 1922, Komisyen Peel 1937 dan Kertas Putih 1939 tetapi tiada yang berjaya.

Sebaliknya, semua tindakan Britain hanya meningkatkan ketegangan dan keganasan antara orang Yahudi dan orang Arab, mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua pihak dengan Britain.

Situasi bertambah buruk ekoran Perang Dunia Kedua, di mana Peristiwa Holocaust yang berlaku di Eropah mempercepatkan keperluan untuk orang Yahudi menubuhkan negara sendiri di Palestin seperti dijanjikan.

Bangkitnya semangat nasionalisme di kalangan masyarakat Arab dan sentimen anti-kolonialisme juga telah menyebabkan penolakan orang Arab terhadap pemerintahan British di Palestin dan kehadiran lebih ramai orang Yahudi di sana.

Akhirnya, British memutuskan untuk menarik diri dari Palestin dan merujuk perkara ini kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1947. PBB mencadangkan rancangan pembahagian yang akan memisahkan Palestin kepada dua negara: sebuah negara untuk orang Yahudi dan sebuah lagi untuk orang Arab sebagai penduduk asal, dengan Jerusalem ditakrifkan sebagai bandar antarabangsa.

Rancangan ini diterima majoriti Yahudi tetapi ditolak kebanyakan orang Arab, yang menganggapnya tidak adil. 

Siri perang yang berterusan

hubungan syria hamas iran russia

Rancangan pembahagian ini tidak dilaksanakan, kerana perang mula tercetus antara orang Yahudi dan orang Arab, di dalam dan di luar Palestin pada tahun 1948.

Peperangan ini menjadi pemangkin kepada penubuhan Israel sebagai negara orang Yahudi, selepas tentera Yahudi berjaya menguasai sebahagian besar wilayah yang diperuntukkan kepada mereka dalam rancangan PBB serta beberapa kawasan tambahan yang telah mereka kuasai dalam pertempuran.

Peperangan juga mengakibatkan pengusiran dan penyingkiran ratusan ribu orang Palestin, yang memilih untuk melarikan diri atau lebih teruk, diusir dari rumah dan tanah mereka selepas mereka enggan berpindah.

Tanah orang Arab yang masih tinggal di Palestin diambil alih oleh sementara kerajaan Mesir (Gaza) dan Jordan (Tebing Barat), sementara Jerusalem dibahagikan di antara Israel dan Jordan.

Hasil daripada konflik pertama itu tahun 1948 yang menyaksikan kejayaan besar orang Yahudi, akhirnya diikuti beberapa siri peperangan dan konflik lain antara Israel dan jiran-jiran Arabnya, seperti Krisis Suez 1956, Peperangan Enam Hari 1967, Peperangan Yom Kippur 1973 dan Peperangan Lubnan 1982.

Yang terbaru adalah serangan kumpulan Hamas yang menguasai Gaza pada 7 Oktober 2023.

Apa yang patut kita fahami, intipati Deklarasi Balfour dan pengaruhnya yang menyumbang kepada nasib malang rakyat Palestin harus diambil sebagai pengjaran kepada masyarakat Islam di seluruh dunia.

Deklarasi ini terus dianggap titik penting dalam sejarah orang Yahudi khususnya pendokong Zionis, yang melihatnya sebagai pengiktirafan hak sejarah dan tuntutan mereka terhadap Palestin.

Yang paling penting, kalau nak berjanji dengan Britain - kita haruslah berhati-hati.




Hakcipta iluminasi.com (2017)