Melancong kini merupakan hobi yang amat mudah untuk dilakukan, asalkan seseorang itu mempunyai kemampuan kewangan.
Perjalanan untuk melancong sudah menjadi lebih murah berikutan pengenalan sistem penerbangan kos rendah yang mampu membuatkan sesiapa saja mampu terbang. Walau bagaimanapun, ada juga golongan-golongan yang seeloknya dibiarkan saja di negara asal mereka tanpa dibenarkan terbang.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima negara yang rakyatnya mempunyai reputasi paling buruk sebagai pelancong di luar negara mereka, kerana tabiat yang kurang hormat serta tidak mampu menjaga kelakuan ketika berada di negara orang lain.
1. China
Kita semua tahu pelancong China mempunyai reputasi yang sangat buruk, berikutan beberapa kejadian yang memalukan seperti berebut udang yang dihidangkan secara buffet, membiarkan anak kencing merata-rata, tidak tahu menjaga kelakuan dan yang terbaru, kencing di bahagian wuduk surau di negara kita!
Namun kita harus bersikap adil - banyak kes berlaku melibatkan pelancong China kerana jumlah mereka yang terlalu ramai dan juga kemampuan mereka melancong yang semakin tinggi, menyebabkan lambakan jumlah pelancong dari China ke kebanyakan negara. Tetapi bukan semua yang membawa sikap tidak bertamadun, bukan?
Kerajaan China sendiri merasa malu dengan perangai segelintir mereka ini yang memburukkan imej negara mereka dan membenarkan mana-mana individu yang berjaya merakamkan aksi memalukan pelancong China untuk ditayangkan di televisyen mereka.
2. Britain
Negara kita dikejutkan dengan berita seorang wanita Britain bernama Eleanor Hawkins yang menanggalkan pakaian semasa berada di atas Gunung Kinabalu. Eleanor mengaku bersalah serta memohon maaf atas kejadian tersebut namun apa yang terlah berlaku pasti meninggalkan persepsi buruk kita terhadap pelancong Britain.
Kes-kes melibatkan pelancong British juga sebenarnya tidak banyak beza dengan apa yang dilakukan oleh pelancong China malahan lebih teruk lagi. Dalam kajian yang dilakukan oleh Kementerian Luar UK, 7 daripada 100 orang pelancong mereka mengaku mengadakan hubungan seks di tempat terbuka dan 20 daripada 100 orang mengaku mereka pernah berlari bogel atau menayangkan punggung di khalayak ramai.
Masalah yang paling kerap berlaku melibatkan pelancong Britain adalah bila mereka mabuk, mereka gemar cari gaduh dengan penduduk tempatan menyebabkan keadaan mudah menjadi lebih ganas. Pada 2009, seorang remaja Britain bernama Thomas Strong menayangkan zakarnya kepada tugu Mustafa Kemal Atarturk sambil memaki beliau tanpa sebab. Nasib baiklah penduduk tempatan memanggil polis dan tidak bertindak membelasahnya di situ.
3. Amerika Syarikat
Ramai pelancong Amerika Syarikat berkunjung ke negara-negara lain dengan membawa satu mentaliti yang sukar untuk diterima ramai - "aku nak apa aku nak dan aku perlu dapat apa yang aku nak dapat."
Dalam kajian melibatkan pelancong Amerika Syarikat, 64 peratus di antara mereka mengaku kencing dalam kolam renang awam, 69 peratus mengaku mereka mencuri daripada hotel dan 13 peratus mengaku mereka tidak membayar caj yang dikenakan pada mereka. Beberapa kes melibatkan rakyat mereka juga membuktikan teruknya perangai mereka ini.
Sebagai contoh kes melibatkan seorang individu bernama Steve Cho, warga New York yang menanggalkan pakaiannya lalu berjalan-jalan di sekeliling lapangan terbang Phuket, sambil membaling tahinya sendiri kepada petugas yang cuba mententeramkan beliau yang sedang mengalami masalah akibat pengambilan berlebihan viagra.
4. Russia
Pelancong Russia mempunyai tabiat yang sangat-sangat menjengkelkan sehinggakan kerajaan Russia sendiri terpaksa bertindak menerbitkan risalah panduan melancong bagi rakyat mereka. Dalam risalah tersebut diletakkan nasihat-nasihat yang perlu dipatuhi oleh pelancong Russia berikutan beberapa insiden yang pernah berlaku sebelum itu.
Antaranya; jangan panggil orang kulit hitam 'negro', sekiranya melawat Kenya jangan sama sekali membandingkan rakyat Kenya dengan monyet dan banyak lagi panduan lain. Jangan ingat orang luar saja kurang senang dengan pelancong Russia!
Orang Russia sendiri kurang gemar dengan sikap pelancong domestik mereka. Dalam kajian tahun 2013, 42 peratus penduduk Russia menyampah dengan masyarakat mereka yang berkunjung ke daerah lain di dalam Russia untuk melancong. Terkenal dengan sikap kasar mereka serta tidak mempedulikan orang lain, kes-kes melibatkan pelancong Russia sudah banyak kali dilaporkan.
5. Jerman
Jerman terkenal sebagai sebuah negara maju yang mempunyai sistem masyarakat yang baik. Walau bagaimanapun, pelancong dari negara mereka tetap tidak boleh lari daripada dilabelkan sebagai antara kumpulan pelancong paling bermasalah di seluruh dunia. Pelancong dari Jerman pula boleh dilabelkan dengan tiga ayat ringkas - "berlagak, membosankan dan suka berbogel."
Dilabelkan paling kerap berbogel semasa bercuti, pelancong Jerman mempunyai peratusan paling tinggi untuk tidak memakai seurat benang pun apabila dibandingkan dengan pelancong negara lain tak kiralah di pantai atau pun di dalam kapal layar.
Salah satu tabiat pelancong Jerman yang menjadi budaya mereka sehingga menjengkelkan orang lain, adalah budaya meletakkan tuala mereka pada kerusi di tepi kolam sebagai tanda itu tempat mereka pada awal pagi. Mereka kemudiannya akan bersiar-siar terlebih dahulu, pergi bersarapan atau membuat aktiviti sebelum kembali ke kolam. Sekiranya mereka melihat tempat yang mereka 'tandakan' telah diambil, pergaduhan pasti akan berlaku.