mama dragon cantik 452

Daenerys Targaryen watak kegemaran ramai dalam Game of Thrones

Bagi peminat siri televisyen yang berkisar kepada politik, judul 'Game of Thrones' merupakan salah satu siri yang akan menjadi topik yang dibincangkan kerana kejayaan siri tersebut. Membawa tema politik yang agak realistik dalam dunia fantasi, 'Game of Thrones' menjadi kegilaan ramai sejak mula ditayangkan.

Tidak dapat dinafikan musim terakhir siri ini dirasakan terlalu pantas - mungkin kerana pihak produksi mahu menyimpulkan jalan ceritanya dengan lebih pantas berbanding musim-musim lebih awal. Walaupun demikian, kedudukan Game of Thrones sebagai salah satu siri televisyen paling ikonik zaman moden, tidak akan terjejas.

Sekiranya anda salah seorang peminat GOT dan anda mahukan sesuatu yang mirip dengan siri tersebut selepas siri itu ditamatkan, apa alternatif yang ada? Berikut adalah lima alternatif kepada GOT yang kami rasakan sesuai.

1. Vikings

vikings tv show rancangan

Diolah berdasarkan sejarah sebenar kisah hidup seorang pahlawan kepada masyarakat Vikings bernama Ragnar Lodbrok, siri 'Vikings' berjaya menambat hati jutaan penonton di seluruh dunia. Menjadi antara siri paling berjaya dalam sejarah saluran History, siri ini masih ditayangkan dengan musim ke enamnya bakal menjadi penamat kepada kisah epik Ragnar anak beranak.

Walaupun ditulis berdasarkan catatan sejarah, kontroversi berkenaan paparan tokoh-tokoh dalam filem ini tidak lari daripada mendapat kritikan berikutan beberapa pengolahan sendiri yang dilakukan berikutan ketiadaan rekod yang lebih jelas dan tepat. Ini pada penulis, tetap tidak menghalang Vikings daripada menjadi salah satu alternatif terbaik untuk peminat GOT.

2. House of Cards

house of cards siri tv

House of Cards (HOC) menjadi salah satu rancangan paling berjaya bagi saluran Netflix, menjadikan Netflix gergasi industri yang ada sekarang. Berbeza dengan GOT, HOC merupakan sebuah kisah dunia politik moden yang berlaku di kalangan pemimpin Amerika Syarikat yang saling berebut kuasa.

Menampilkan aktor Kevin Spacey sebagai teraju utama, malangnya dakwaan jenayah seksual yang melibatkan aktor tersebut menyebabkan usia siri ini dipendekkan, dengan musim ke enam yang telah tamat tayangannya pada 2018 dijadikan musim terakhir. Walaupun memenangi pelbagai anugerah, siri ini tetap dikritik serta kerap kali dibandingkan dengan siri House of Cards asal, yang diterbitkan oleh BBC Britain yang dikatakan lebih realistik serta serta berpijak di bumi yang nyata.

3. Veep

veep siri tv

Sebuah satira tentang sistem pemerintahan Amerika Syarikat, siri komedi ini digelarkan oleh banyak pihak dalam Rumah Putih di Washington DC, sebagai siri paling realistik tentang hiruk-pikuk perjalanan pentadbiran negara tersebut.

Menampilkan bekas pelakon siri televisyen Seinfeld, Julia Louis-Dreyfus sebagai watak fiksyen Selina Meyer, Timbalan Presiden Amerika Syarikat dalam urusannya seharian membuat keputusan dan bermain politik.

Siri 'Veep' bertahan selama tujuh musim menamatkan musim terakhirnya pada 12 Mei 2019 sebagai salah satu siri satira politik televisyen paling berjaya. Walaupun sebuah siri komedi, paparan berkenaan politik yang berlaku di dalamnya saling tak tumpah dengan apa yang berlaku dalam hidup seorang ahli politik di mana-mana saja.

4. Dirilis : Ertugrul

resurrection etrugul turki tv tv dr

Digelarkan 'Game of Thrones Turki' oleh pihak media, Dirilis : Ertugrul atau nama terjemahannya 'Resurrection : Ertugrul' merupakan sebuah siri televisyen yang diolah berdasarkan kisah sejarah tokoh Ertugrul Gazi, ayah kepada Uthman I yang akhirnya menjadi pengasas kepada kerajaan Empayar Uthmaniyah.

Berbeza dengan GOT, 'Ertugrul' mengambil masa yang panjang menyampaikan jalan ceritanya. Musim pertamanya saja menampilkan 26 episod, dengan setiap episod mencecah dua jam durasinya. Masih bersiaran sehingga kini dalam musim ke lima, siri ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat di negara seperti Kuwait, Arab Saudi dan Pakistan. Anda boleh menonton siri ini di Youtube.

5. The Last Kingdom

the last kingdom

Berbeza dengan Dirilis : Ertugrul yang menjadikan sejarah sebagai jalan utama ceritanya, The Last Kingdom (TLK) pula merupakan sebuah siri televisyen yang diolah berdasarkan novel fiksyen sejarah bertajuk 'The Saxon Tales'. TLK memaparkan kisah seorang pahlawan bernama Uhtred Ragnarson, yang mahu menuntut kembali haknya sebagai pemerintah kepada sebuah kawasan bernama Bebbanbaurg.

Setiap musim siri televisyen ini dibuat berdasarkan kepada satu judul novel yang menjadi rujukannya, sebelum Netflix mengambil alih produksi filem ini - memberikan siri ini bajet yang lebih besar dan pasaran lebih meluas. Setakat ini TLK telahpun menamatkan musim ketiga dan produksi untuk musim ke empat. Bersifat lebih realistik walaupun berdasarkan karya fisyen, siri ini dipuji oleh orang ramai kerana kejayaannya memvisualkan kehidupan masyarakat Danish satu masa dulu dengan berkesan.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)