Nurul Izzah binti Anwar atau lebih mesra dengan gelaran Nurul Izzah adalah salah seorang pemimpin wanita paling terkenal di negara kita.

Seorang yang lantang bersuara, perjuangan Nurul Izzah dalam arena politik negara kita bermula pada penghujung tahun 90-an, selepas ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa melakukan perbuatan sodomi sehingga dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anak sulung kepada Datuk Seri Anwar dan ibunya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah menggalas bebanan hidup berdepan masyarakat yang pada ketika itu secara terbuka mengkritik atau mempertahankan dakwaan yang berlaku terhadap ayahnya serta menjadi penguat semangat ibunya sendiri, dalam usaha membersihkan nama ayah mereka yang tercemar.

Biodata Nurul Izzah

nurul izzah ketika kecil budak

Nurul Izzah Anwar lahir pada 19 November 1980. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, dia menyambung pendidikan sekolah menengah di Sekolah Perempuan Assunta, Nurul menamatkan pengajian peringkat menengah dengan mendapat keputusan cemerlang 8 agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau kemudian menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Petronas dalam bidang kejututeraan kimia sebelum menukar bidang pengajian dan tempat belajar ke Universiti Tenaga Nasional di Bangi, dalam bidang kejuruteraan elektrik.

nurul izzah tudung bawal

Berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik, Nurul menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang kajian Asia Tenggara dan Hubungan Antarabangsa di Universiti John Hopkins, Washington, Amerika Syarikat.

Nurul menyukai warna hijau serta gemar masakan nasi ayam. Menjadikan ayahnya sendiri sebagai idola, karier politik Nurul Izzah tampak panjang usianya.

Era puteri reformasi

anak anak perempuan anwar ibrahim

Tidak pernah menceburi bidang politik selama ini, Nurul dan ibunya dilihat terpaksa memberanikan diri terjun ke dalam politik negara selepas menghadapi tuduhan demi tuduhan yang memalukan keluarga mereka.

Dalam usaha mencari pembantu bagi membersihkan nama ayahnya, Nurul diberikan peluang untuk bertemu Presiden Filipina (ketika itu) yang juga rakan baik ayahnya, Joseph Estrada dalam mendesak kerajaan Malaysia membebaskan ayahnya daripada dakwaan.

Bagaimanapun, kebanyakan usaha yang dilakukan mereka ketika itu gagal membantu ayahnya dan dalam satu ucapan di Wales pada tahun 1999, ketika diajukan soalan adakah beliau akan masuk ke arena politik, Nurul menjawab semuanya bergantung kepada masa. Walaupun begitu, Nurul menunggu agak lama untuk terjun ke dalam politik negara.

Cubaan pertamanya menjadi ahli politik secara rasmi terkandas pada tahun 2004 disebabkan dia masih lagi berstatus seorang pelajar di UNITEN yang menyebabkan beliau terhalang, ekoran kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Pengalaman luas bertemu pemimpin-pemimpin dunia dalam melobi pembebasan ayahnya membina keyakinan Nurul untuk menjadikan politik sebagai karier. Yang jadi persoalan hanyalah bila waktunya?

Menyertai pilihanraya umum

nurul izzah berkempen bersama suami dan anwar

Pengaruh Nurul Izzah semakin berkembang selepas masuk menyertai Parti Keadilan Rakyat yang diasaskan berikutan insiden yang menimpa ayahnya. Dia terpilih untuk menjadi calon bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai, menentang calon popular Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dalam pertembungan pilihanraya kali pertama penyertaannya.

Kemenangan bergaya Nurul Izzah dalam pilihanraya tersebut membuktikan sokongan orang ramai khasnya pengundi Lembah Pantai kepadanya, seterusnya merasmikan kemasukan Nurul Izzah ke dalam Parlimen Malaysia.

Kerusi itu berjaya dipertahankan pada pilihanraya umum 2013, selepas Nurul Izzah berjaya menewaskan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Ekoran perubahan taktik dalam strategi pilihanraya Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihanraya umum 2018, Nurul Izzah diberikan kepercayaan memegang kerusi yang dipegang ibu dan ayahnya selama ini iaitu Parlimen Permatang Pauh. Dia menang mengatasi dua calon daripada Barisan Nasional dan PAS yang bertanding menentangnya.

Berdepan kontroversi

malaysia nurul izzah putri anawar ibrahim foto

Kontroversi kerana menjadi ahli politik adalah satu perkara normal yang perlu dihadapi, dalam suasana politik Malaysia. Nurul Izzah juga tidak terlepas daripada berdepan kritikan demi kritikan.

Salah satu kontroversi yang paling teruk melanda dirinya adalah berikutan kenyataannya dalam sebuah forum yang diadakan di dalam Gereja Full Gospel, Subang Jaya. Dalam forum tersebut, Nurul Izzah menyatakan agar kebebasan beragama di negara kita sepatutnya tidak terhad kepada orang bukan Muslim sahaja, malahan sepatutnya juga diberikan kepada penganut agama Islam.

Kenyataan yang dikeluarkan itu mendapat reaksi bukan sahaja daripada pihak masyarakat, bahkan daripada Sultan Selangor sendiri, DYM Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyatakan kekesalan atas kenyataan tersebut.

Nurul Izzah cuba meredakan kontroversi tersebut dengan mengatakan maksud sebenar kenyataan beliau bukanlah untuk menggalakkan orang Islam murtad. Nurul Izzah telah bertindak menyaman penerbit Utusan Malaysia kerana didakwa memutar belitkan kenyataan beliau namun kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah.

nurul izzah free anwar

Selain kontroversi itu, Nurul Izzah juga berdepan kritikan masyarakat, khasnya penduduk Sabah selepas gambar pertemuan beliau dengan seorang pemimpin bernama Jacel H. Kiram, yang dipercayai berkait dengan dalang kepada insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013. Insiden ini timbul berikutan tuntutan ayah kepada Jacel, Jamalul Kiram III yang menuntut Sabah daripada Malaysia sekian lama.

Nurul Izzah dikritik kerana pertemuan pada November 2015 itu dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan beliau kepada tuntutan Jamalul Kiram III ke atas Sabah. Nurul Izzah menjelaskan pertemuan tersebut tidak berkait dengan isu tersebut dan memohon maaf pada Disember 2015, di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

Pengorbanan Nurul Izzah

izzah

Memiliki wajah yang cantik, Nurul Izzah berdepan banyak gosip dan pertanyaan. Beliau melangsungkan perkahwinan pada Mei tahun 2003 dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, seorang pengurus bank berkelulusan Universiti Cambridge.

Perkahwinan mereka dilakukan semasa ayahnya Datuk Seri Anwar masih dipenjarakan namun Datuk Seri Anwar diberikan pelepasan khas untuk menjadi wali pernikahan anaknya. Bagaimanapun, selepas desas-desus keretakan rumah tangga mereka mula kedengaran, Nurul Izzah memfailkan tuntutan cerai pada bulan Disember 2013.

Perkahwinan mereka berdua berakhir pada 15 Januari 2015 di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, selepas mahkamah menerima persetujuan kedua-dua pihak untuk bercerai. Raja Ahmad Shahrir melafazkan cerai talak satu di hadapan hakim pada jam 4.17 petang hari itu.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi hak penjagaan anak mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sehingga ke hari ini, Nurul Izzah masih belum menemui pengganti bagi mengisi ketiadaan suami dalam hidupnya. Namun bagi peminat kumpulan Radiohead ini, mungkin itu adalah satu pengorbanan yang perlu dia terima demi negara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)