Nampaknya, undang-undang tidak hanya terbatas di sempadan negara atau benua sahaja. Kini, ia dikuatkuasakan di tempat yang lebih jauh lagi. Baru-baru ini, seorang angkasawan Amerika Syarikat, Anne McClain, menjadi orang pertama yang disiasat kerana dikatakan melakukan jenayah di ruang angkasa lepas.

Tuduhan terhadap angkasawan NASA itu telah difailkan oleh bekas pasangannya iaitu Summer Worden. McClain telah mendirikan rumah tangga melalui perkahwinan sejenis dengan Worden yang merupakan seorang pegawai perisikan Angkatan Tentera Udara pada 2014.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pasangan itu telah berpisah pada 2018 apabila Worden telah memfailkan permohonan cerai di mahkamah. Worden menuduh McClain mencuri identiti kerana mengakses akaun banknya menggunakan komputer NASA.

anne mcclain dan summer worden

Anne McClain dan Summer Worden

Pasangan itu telah terlibat dalam perebutan hak penjagaan anak lelaki Worden sejak setahun yang lalu. Keadaan menjadi lebih rumit apabila dia menuduh McClain mengakses akaun banknya secara haram. Menurut Worden, jenayah itu dilakukan McClain ketika dia berada dalam misi selama enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Walaupun ia bukanlah jenayah berat seperti membunuh tetapi ia telah membuka satu perspektif baru dalam bidang undang-undang. Memandangkan semakin banyak negara dan syarikat swasta mula menghantar manusia ke ruang angkasa, undang-undang baru yang merangkumi ruang angkasa perlulah diperkenalkan bagi menjamin keselamatan.

Jenayah pertama ruang angkasa

stesen angkasa antarabangsa 931

Stesen Angkasa Antarabangsa

Pada awalnya, Worden telah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan. Worden menjadi curiga apabila bekas pasangannya itu tahu mengenai semua perbelanjaannya. Apabila dia bertanya kepada pihak bank mengenai lokasi di mana akaunnya diakses, dia mendapati ianya diakses menggunakan rangkaian yang didaftarkan di bawah NASA.

McClain mengaku bahawa dia telah mengakses bank akaun itu tetapi menafikan segala tuduhan jenayah ke atasnya. McClain mendakwa dia hanya ingin memastikan anak mereka diuruskan dengan baik.

Baru-baru ini, Ketua Penyiasat NASA dilaporkan telah berjumpa dengan McClain. NASA pula telah bercakap secara terbuka dengan memuji kerjaya profesional McClain tetapi enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan salah laku angkasawan itu.

mcclain di stesen angkasa antarabangsa

McClain di Stesen Angkasa Antarabangsa

Wakil dari NASA telah memuji McClain sebagai seorang anggota tentera yang memiliki karier hebat, melakukan misi tempur di Iraq dan salah seorang angkasawan terbaik NASA.

McClain juga dipuji kerana melakukan tugas yang baik dalam misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa baru-baru ini. Sama seperti semua pekerja mereka yang lain, NASA tidak akan memberi komen mengenai kehidupan peribadi mereka.

Walaupun tidak mengulas kes itu secara terbuka tetapi isu itu kini ditangani oleh pihak berkuasa Amerika. Memandangkan pertikaian undang-undang itu antara dua rakyat Amerika, kes ini seolah-olah jatuh di bawah bidang kuasa mereka. Keadaan ini mungkin boleh menjadi lebih rumit sekiranya ia melibatkan angkasawan antarabangsa di ruang angkasa.

Ketetapan undang-undang ruang angkasa

angkasawan di iss

Ketika ini, tiada rangka kerja terperinci untuk menetapkan undang-undang di ruang angkasa atau cara untuk menangani pertikaian yang timbul di kapal angkasa komersial. Keadaan ini semakin tidak jelas apabila melibatkan pertiakaian antara individu yang berlainan negara.

Satu-satunya tempat yang boleh dilawati manusia di ruang angkasa adalah Stesen Angkasa Antarabangsa. Ia ditadbir di bawah perjanjian antarabangsa yang dinamakan Perjanjian Antara Kerajaan di bawah Space Station Coorperation.

Telah ditetapkan bahawa, setiap kes jenayah akan ditangani oleh negara-negara yang terlibat dengan Stesen Angkasa Antarabangsa terhadap rakyat mereka sendiri selagi ia tidak melibatkan seseorang dari negara lain.

worden dan mcclain

Worden dan McClain

Mengenai tuduhan jenayah antara McClain dan Worden, kedua-duanya adalah rakyat Amerika. Ini menjadikannya ditangani sepenuhnya oleh Amerika Syarikat sendiri.

Negara-negara lain seperti Kanada, Jepun, Rusia atau negara-negara Eropah yang terlibat boleh menguatkuasakan undang-undang mengikut cara masing-masing ke atas rakyat mereka jika melakukan sebarang jenayah di ruang angkasa.

Perjanjian ruang angkasa antarabangsa

perjanjian stesen angkasa antarabangsa

Setakat ini, ruang angkasa dikawal oleh lima perjanjian antarabangsa yang utama. Ia dikenalil sebagai Perjanjian Angkasa Lepas, Perjanjian Bulan, Konvensyen Pendaftaran, Perjanjian Penyelamat dan Konvensyen Liabiliti.

Namun, kelima-lima perjanjian ini tidak meliputi protokol untuk kejadian jenayah yang melibatkan dua warganegara berbeza di ruang angkasa. Perjanjian Angkasa Lepas yang dibuat antara 109 negara pada lebih 50 tahun yang lalu tidak mempunyi apa-apa yang menyentuh topik jenayah ini.

Dalam kes ini, Amerika Syarikat mungkin dapat menggunakan peruntukan khas Kod AS yang dikenali sebagai "bidang kuasa maritim dan wilayah khas Amerika Syarikat. Ia meliputi cara bagaimana untuk menangani pertikaian jenayah rakyat mereka di negara-negara lain. Akan tetapi, undang-undang ini tidak meliputi semua jenis kes jenayah.

Kod dan undang-undang antarabangsa yang lebih komprehensif perlu dirangka dan difikirkan untuk ruang angkasa yang semakin dikunjungi ramai penduduk Bumi.

Rujukan:

1.Angkasawan NASA didakwa lakukan jenayah pertama di angkasa lepas

2.Angkasawan Amerika dituduh melakukan jenayah di stesen angkasa antarabangsa

3.Kes jenayah pertama di angkasa lepas dalam sejarah




Hakcipta iluminasi.com (2017)