Stesen Angkasa Antarabangsa adalah stesen angkasa di orbit Bumi rendah.

Program ISS adalah projek bersama antara lima agensi angkasa lepas iaitu NASA (Amerika Syarikat), Roscosmos (Rusia), JAXA (Jepun), ESA (Eropah) dan CSA (Kanada). Pemilikan dan penggunaan stesen angkasa diwujudkan oleh perjanjian antara kerajaan.

Pelbagai kajian dan eksperimen yang tidak dapat dilakukan di Bumi dilaksanakan di ISS ini. Para angkasawan biasanya menghabiskan masa beberapa bulan hingga tahun dalam satu-satu misi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan sudah tentu mereka ini memerlukan keperluan asas seperti oksigen, air dan makanan untuk meneruskan hidup bagi merealisasikan impian manusia.

Untuk menghantar 1 kilogram kargo ke angkasa lepas menelan kos hampir RM90,000! Jadi, bagaimana ia dihantar? Adakah mereka menghantar bersama-sama dengan kru?

bagaimana angkasawan dapat sumber air bersih di angkasa lepas

Sebelum ini, manusia menggunakan cara yang paling ringkas untuk menghantar air ke angkasa lepas, iaitu dengan "membungkus" air ke dalam roket mereka

Air tersebut menyebabkan bekalan-bekalan lain tidak dapat dimuatkan ke dalam roket, dan berat beban ini menyebabkan kos minyak meningkat

Jadi, cara ini tidak lagi digunakan.

Menghantar air tanpa kru-kru juga berisiko tinggi dan juga mahal.

Malah, tiada jaminan 100% bahawa kargo ini akan selamat sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

Dan jika kargo ini tidak sampai ke ISS, penghantaran seterusnya perlu menunggu masa yang tersangat lama.

Ini bukanlah satu pilihan kerana ia sangat berbahaya bagi para angkawasan. Persoalannya, bagaimana angkasan menerima bekalan-bekalan ini?

Air kencing sangat berharga di angkasa lepas

sumber air di angkasa lepas

Bekalan pertama yang kita akan bincangkan adalah air. Sumber air untuk digunakan oleh kru ISS datang daripada angkasawan itu sendiri.

Sama ada titisan peluh, kondensasi dari pernafasan atau membuang air kecil, kesemua air ini akan diproses semula melalui sistem penapisan kompleks.

Apabila keluar, air ini menjadi air minuman yang bersih. Pendek kata, angkasawan mengitar semula air dari badan mereka sendiri.

Malah, 85% daripada air kencing mereka boleh ditukar menjadi air bersih. 

Air dalam penghantaran kargo yang berasingan masih tetap dihantar ke ISS, tetapi dengan penciptaan Sistem Rawatan Air (WRS) di atas kapal, semuanya menjadi lebih mudah.

Dan dengan bantuan proses yang dikenali sebagai elektrolisis, mereka menemui cara untuk mengekstrak rizab oksigen yang diperlukan dari air itu sendiri.

mesin yang digunakan untuk memproses air bersih di stesen angkasa antarabangsa

(Mesin yang digunakan untuk memproses air bersih di Stesen Angkasa Antarabangsa)

Sistem ini berfungsi apabila angkasawan membuang air kecil dan flush tandas. Air tersebut kemudiannya jatuh ke dalam bekas yang berputar dengan sangat pantas dan kemudiannya dipanaskan.

Di bawah tekanan dan suhu tinggi, cecair itu mengewap dan mengumpul kondensasi dalam ruang luaran.

Dari situ, air kondensasi itu memasuki sebuah tangki. Semua kelembapan lain dari ISS termasuklah peluh dan udara yang dihembuskan, masuk ke dalam tangki yang sama.

Dan dari situ, air tersebut memasuki sebuah pemisah di mana cecair dibersihkan daripada bau.

Selepas melalui beberapa tahap penapisan, ia sekali lagi dipanaskan dan dinyahkuman, menghasilkan air yang sedia untuk diminum.

Oksigen dari air

tangki yang direka untuk dipasang ke dalam rangkaian bekalan udara sedia di iss untuk mengisi semula bekalan udara untuk pernafasan kru kapal

(Tangki yang direka untuk dipasang ke dalam rangkaian bekalan udara sedia di ISS untuk mengisi semula bekalan udara untuk pernafasan kru kapal)

Sebenarnya, oksigen boleh dihasilkan daripada air yang sama tadi di mana O dari H2O ini diekstrak.

Mereka melakukannya dengan arus elektrik dilalukan melalui molekul air untuk memisahkan kedua-duanya.

Proses ini dikenali sebagai elektrolisis. Selepas itu, 2 atom hidrogen dan 1 atom oksigen tulen diperoleh.

Mereka kemudiannya mengumpulkan molekul oksigen yang terpisah dalam silinder khusus, dan angkasawan boleh bernafas dengan lebih selesa.

Namun, ke mana perginya molekul-molekul hidrogen tersebut?

proses elektrolisis menghasilkan oksigen dari air

Ia juga digunakan untuk manfaat maksimum kru ISS, melalui sesuatu yang dikenali sebagai tindak balas Sabatier di mana hidrogen dicampurkan dengan karbon dioksida untuk menghasilkan air.

Jadi, adakah ISS boleh berdikari sepenuhnya dan tidak memerlukan Bumi?

Malangnya tidak. Sistem kompleks ini hanyalah mampu menghasilkan hampir 2 kilogram oksigen sahaja sehari, yang mana hanya cukup untuk 2 orang.

Biasanya kru ISS terdiri daripada 6 orang. Untuk memenuhi keperluan, oksigen dihantar dari Bumi.

Pelbagai pilihan makanan

makanan di angkasa lepas

Makanan adalah satu-satunya perkara di mana ISS bergantung sepenuhnya kepada bekalan yang dihantar dari Bumi.

Kesemua makanan paket bungkus kering dibawa bersama-sama kru ketika mereka berlepas ke stesen dari Bumi, atau kargo berasingan dihantar.

Menurut NASA, para angkasawan makan buah-buahan, kekacang, ayam, daging lembu, makanan laut, gula-gula, dan juga kek coklat!

Mereka juga menikmati minuman seperti kopi, teh, jus, dan limun.

Tetapi, mengapa mereka tidak boleh mewujudkan ladang kecil di stesen untuk makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar ?

makanan untuk angkasawan di angkasa lepas

Ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana bagaimana tumbuhan boleh tumbuh dengan persekitaran yang sangat berbeza di angkasa lepas?

Tiada graviti, malam dan siang yang tidak menentu (ISS melihat 16 matahari terbit dan matahari terbenam setiap hari), udara yang kering dan sejuk.

Malah, walaupun ruang dalam ISS sangat luas, namun mereka tidak mampu menyediakan ruang untuk sebuah taman.

Namun berita baiknya adalah mereka telah berjaya mencari jalan penyelesaian dan para angkawasan telah menanam tumbuhan untuk makanan di ISS.

salad yang ditanam di angkasa lepas

(Salad yang ditanam di Stesen Angkasa Antarabangsa)

Pada tahun 2015, anggota-anggota ISS ke-44 makan salad yang ditanam sepenuhnya di atas kapal.

Biji benihnya dihantar dari Bumi dan sebaik sahaja sampai ke stesen ini, ianya dimasukkan ke dalam bekas mengandungi tanah dengan lampu merah, biru dan hijau yang mana setiap satunya menyediakan keadaan tertentu untuk pertumbuhan benih.

Eksperimen ini terbukti berjaya dan para angkasawan memberitahu bahawa salad tersebut mempunyai rasa yang sama seperti di Bumi.

Ke mana perginya sampah sarap?

sampah dalam stesen angkasa antarabangsa

(Sampah dalam Stesen Angkasa Antarabangsa)

Bagaimana pula dengan sampah yang dihasilkan kerana sama seperti kita di Bumi, angkasawan juga mempunyai sampah. 

Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membuang sampah ke luar kapal. Jadi, apabila mereka menerima penghantara, kapal kargo akan berlabuh di stesen.

Angkasawan mendapatkan apa yang mereka perlukan dan mengisi semula kapal ini dengan sampah. Selepas beberapa minggu, kapal ini ditanggalkan dari stesen dan berlepas ke Bumi. 

Jadi, hidup dalam ISS di angkasa lepas memerlukan kepakaran dan ketahanan diri yang sangat tinggi. Disebabkan itu, bakal angkasawan perlu menjalani latihan berbulan-bulan bagi mempersiapkan diri mereka berhadapan dengan cabaran-cabaran ini.

Rujukan:

1. Space

2. NASA

3. Sides

4. Atlantic




Hakcipta iluminasi.com (2017)