Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha adalah seorang ahli bedah ortopedik dan merupakan angkasawan pertama Malaysia. Dia telah dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa dengan menaiki kapal Soyuz TMA-11 bersama-sama anak kapal Ekspidisi 16 pada 10 Oktober 2007 di bawah perjanjian dengan Rusia melalui program Angkasawan.

Masalah berkaitan solat

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, Sheikh Muszaphar mempunyai beberapa masalah ketika berada di angkasa . Masalah pertamanya ialah bagaimana dia dapat menentukan arah kiblat ketika ingin menunaikan solat. Ketika Sheikh Muszaphar berangkat dalam lawatan selama 9 hari ke Stesen Angkasa Antarabangsa itu, umat Islam sedang menyambut kehadiran bulan Ramadhan.

solat menghadap kaabah

Sebagai seorang muslim yang diwajibkan solat ke atasnya, Sheikh Muszaphar memberitahu bahawa dia ingin mengadap ke arah Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam ketika ingin menunaikan solat seperti yang terkandung dalam Al-Quran:

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan. (Al-Baqarah:149)

Di sinilah timbul kesulitan itu. Dari ISS ini yang jaraknya 220 batu di atas permukaan bumi, kedudukan Kaabah yang merupakan kiblat berubah setiap saat demi saat. Semasa berada di beberapa bahagian orbit stesen angkasa itu, kiblat boleh bergerak hampir 180 darjah setiap kali solat. Jadi bagaimanakah angkasawan pertama Malaysia itu menunaikan solatnya?

Garis panduan ibadah di angkasa lepas

cara berwuduk di angkasa lepas

Agensi ruang angkasa Malaysia iaitu Angkasa telah mengadakan persidangan bersama 150 saintis Islam dan ulama, setahun sebelum angkasawan negara berlepas ke angkasa. Mereka membincangkan mengenai solat di angkasa dan beberapa persoalan yang lain.

Selepas selesai perjumpaan itu, pihak Angkasa telah mengeluarkan satu dokumen berjudul "Garis Panduan Melakukan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)" yang memuatkan perincian mengenai cara beristinjak, mengangkat hadas kecil dan besar, menentukan waktu solat, arah kiblat, waktu puasa dan juga menguruskan jenazah. Garis panduan ini telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

international space station 854

Seperti yang ramai sedia tahu bahawa kapal angkasa mengelilingi atau mengorbit bumi setiap 90 minit sekali, 16 kali sehari. Secara logiknya jika 16 peristiwa siang dan malam berlaku sehari, jumlah solat adalah sebanyak 80 waktu.

Ini bermakna dalam satu pusingan yang dilakukan oleh kapal angkasa, waktu siang adalah 45 minit dan malam juga adalah sama. Jika tempoh itu dibahagikan kepada solat lima kali sehari, solat subuh hanya mempunyai masa satu minit sahaja. Ini merupakan masalah kedua bagi angkasawan negara.

Bagi menyelesaikan persoalan ini, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa solat di Stesen Angkasa Antarabangsa dilakukan sama seperti di bumi iaitu lima kali sehari.

Kaedah berbeza menentukan kiblat

menentukan arah kiblat

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan itu juga, cara menentukan bahawa arah kiblat harus "berasaskan apa sahaja kemungkinan" untuk para angkasawan. Ia boleh dipraktikkan dengan cara menentukan kedudukan Kaabah, unjuran Kaabah, Bumi dan di mana sahaja ia dilakukan.

Ini membawa kepada masalah yang ketiga buat Sheikh Muszaphar. Terdapat dua kaedah pemahaman untuk menentukan arah kiblat. Kaedah pertama adalah kaedah Bulatan Besar yang biasa digunakan dan satu lagi ialah kaedah garis halus yang jarang digunakan.

Dengan melihat pada peta yang rata dan menggunakan kaedah garis halus (garisan yang memotong sudut yang sama di semua garis bujur), dengan mengambil kira contoh antara Stesen Angkasa Johnson di Houston ke Mekah yang berada di timur barat daya. Dengan mengambil kira juga bahawa stesen angkasa ini berada di kedudukan utara dan barat Kaabah, pergerakan semulajadi ke arah Mekah sepatutnya menghala ke barat daya.

Ukuran peta rata dan Bumi yang bulat berbeza

formula bulatan besar

Namun begitu, segalanya berbeza apabila meletakkan garisan yang sama pada peta dunia yang berbentuk bulat. Ini kerana keadaan bumi yang sebenar yang berbentuk bulat dan mempunyai lengkungan. Para saintis Islam sudah mengetahui hal ini sejak dari abad ke-9 lagi bahawa laluan bulatan besar akan memberikan jalan terpendek ke Mekah dari mana sahaja anda berada di dunia.

Namun, beberapa tempat seolah-olah tidak bertentangan. Sebagai contoh umat Islam di Alaska bersembahyang sedikit ke utara. Jadi penggunaan formula bulatan besar yang menjadi asas kepada hampir semua kompas kiblat dalam talian ini yang digunakan bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Dr. Kamal Abdali, seorang ahli kartografer yang juga seorang Muslim telah menulis secara meluas tentang menentukan arah kiblat. Ia lebih menyokong formula bulatan besar tetapi menambah bahawa solat tidak sepatutnya terjadi seperti anda sedang melakukan aksi gimnastik dengan bergerak-gerak menghadap kiblat.

Beliau menegaskan bahawa solat di dalam kereta api atau kapal terbang, adalah perlu untuk menetapkan arah kiblat semasa ingin memulakan solat sahaja dan tidak perlu risau tentang perubahan kedudukan kemudiannya.

Cara menunaikan solat

angkasawan negara solat di angkasa lepas

Namun begitu bagaimana teori ini boleh digunakan di angkasa lepas? Secara kiraannya Sheikh Muszaphar perlu membayangkan ISS dan Mekah berada pada ruang yang sama, sama ada membandingkan tempat di Bumi yang berada betul-betul di bawah stesen angkasa, atau membayangkan Kaabah berada di ruang angkasa lepas, sama seperti kedudukan Kaabah itu di Bumi (pilihan ini disarankan oleh Majlis Fatwa).

Akan tetapi bersolat di angkasa lepas juga membawa kepada masalah lain. Umat Islam biasanya menghadap tanah untuk solat kerana tidak mahu menyamai pengikut ajaran menyembah matahari dan bulan seperti firman Allah SWT:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah (Fussilat : Ayat 37)

Bagi permasalahan ini, Dr. Khaleel Mohammed iaitu pembantu professor dalam bidang agama di San Diego State University berpendapat bahawa solat di ruang angkasa adalah sama seperti solat ketika melakukan jihad di mana keadaan dan caranya berbeza daripada biasa. Jadi angkawasan tidak perlu mengikut bulat-bulat cara solat yang biasa dilakukan di bumi kerana ketiadaan graviti.

Angkasawan juga hanya perlu menentukan arah kiblat ketika mengangkat takbir sahaja dan menentukan waktu solat sama seperti waktu di mana dia mula berlepas ke angkasa lepas. Apa yang paling penting ialah solat adalah perkara wajib sekiranya seseorang itu tidak mempunyai sebarang keuzuran syarie.

Rujukan:

1. Jakim

2. Wired

3. Says




Hakcipta iluminasi.com (2017)