Oleh pada 13 Sep 2017 kategori

selamat datang ke mydin

Siapa tak kenal dengan Mydin Mohamed Holdings. Ia merupakan syarikat perniagaan dan borong yang terbesar di Malaysia. Dengan slogan terkenal, "Mengapa bayar lebih? Belilah dengan harga borong", pasaraya besar Mydin kini dianggap sebagai tempat utama untuk membeli belah, dengan keuntungan tahunan mencecah RM2.6 billion.

Ia merupakan hasil usaha pengasasnya, Allahyarham Mydin Mohamed dengan bantuan ahli keluarganya, yang menjadikan nama Mydin dikenali di serata Malaysia.

datuk ameer ali mydin

Namun, setiap kejayaan pasti ada pengorbanan dan cabaran tersendiri. Dan bagi setiap yang di atas, pasti bermula dari bawah. Begitu juga dengan Mydin. Dan walaupun pengasas Allahyarham Mydin Mohamed telah pergi meninggalkan kita pada tahun 2016, namun ia legasi ditubuhkannya sangat bermanfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sejarah awal Mydin

Pengasasan pasaraya Mydin bermula hampir 100 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1918 oleh bapa beliau, Gulam Husen Bin Jamal. Datuk kepada Mydin Mohamed iaitu Jamal, serupakan seorang imigran Muslim dari India. Pada tahun 1928, Mydin Mohamed dilahirkan di Pulau Pinang. Perniagaan runcit keluarga mereka bermula pada tahun 1940 di pasar malam.

pengasas mydin 92

Namun malang sekali kedai tersebut telah dibakar ketika Perang Dunia Kedua melanda dan membuatkan keluarga mereka kehilangan segala-galanya. Tragedi itu walaubagaimanapun tidak mematahkan semangat Mydin. Beliau semakin bersemangan dan dengan keazaman, kesungguhan dan kepercayaan yang ada, beliau meneruskan perniagaan borong tersebut.

Mydin Mohamed berkahwin ketika beliau berusia 21 tahun, dengan seorang gadis dari India, bernama Roshwan Bai. Perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak seramai 7 orang, 4 daripadanya lelaki dan 3 perempuan.

mydin pertama di jalan tok hakim kota bharu

Ketika berusia 29 tahun, berbekalkan modal yang ada, Mydin Mohamed membuka kedai runcit pertamanya pada tahun 1957.  Kedai kecil yang hanya berdindingkan kayu itu diberi nama Syarikat Mydin Mohamed, terletak di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan. Mydin memulakan perniagaan dengan menjual mainan kanak-kanak dan barangan am. 

Beliau yang tidak keseorangan dan dibantu oleh anak-anaknya. Berkat kesabaran dan percaturan perniagaan yang baik, bisnes Mydin mula melebarkan sayap ke Terengganu pada tahun 1979. Pada tahun 1987, anak kedua Mydin Mohamed iaitu Datuk Ameer Ali, menyertai Syarikat Mydin Mohamed.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalaam Perniagaan Antarabangsa dari Sonoma State University, California bekerja di Arab Malaysian Merchant Bank terlebih dahulu sebelum menyertai perniagaan keluarga.

datuk ameer ali mydin 2

Dan pada tahun 1989, nama Mydin telah dibawa ke Lembah Klang apabila cawangan di Jalan Masjid India dibuka. Pembukaan cawangan ini merupakan satu titik tolak perubahan industri peruncitan di Malaysia dan permulaan kejayaan Mydin Mohamed Holdings. Cawangan di Jalan Masjid India mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Ini memberikan keyakinan kepada Datuk Ameer yang kini CEO syarikat ini, untuk membuka pasaraya besar Mydin pertama di Subang Jaya. Namun ia tidak semudah itu. Walaupun perniagaan mereka kelihatan berjaya, namun tidak mudah untuk mendapatkan pembiayaan dari bank untuk membina Mydin Subang Jaya.

Tiada bank mahu beri pinjaman untuk luaskan perniagaan

Menurut Datuk Ameer, tiada satu bank pun mahu memberikan pinjaman ketika mereka mahu membuka Mydin Subang Jaya. "Ia adalah satu kerja gila untuk membuka sebuah pasaraya besar berdekatan dengan pasaraya yang sudah kuat dan terkenal (Giant). Bagaimana anda mahu bersaing dengan syarikat sebesar itu?", kata pihak bank kepada beliau.

datuk ameer ali mydin 3

Datuk Ameer juga diingatkan oleh pihak bank bahawa ia adalah satu risiko besar untuk membuka cawangan di Subang Jaya kerana Mydin terkenal dengan barangan murah dan pasarannya terhad kepada kawasan berpendapatan rendah seperti di Jalan Masjid India dan bandar-bandar kecil. 

Namun apa yang dijawab oleh Datuk Ameer sangat bernas. "Orang Malaysia suka pergi pasar malam kan? Kenapa? Kerana barangannya murah. Saya tinggal di Bangsar yang merupakan kelas pertengahan (ketika itu). Pernah tak anda pergi ke pasar malam di situ? Orang masih mahukan belian yang baik,".

mydin subang jaya pasaraya besar pertama mydin

Tak berputus asa mendapatkan dana selepas ditolak oleh beberapa buah bank, beliau akhirnya mendapat pinjaman daripada Bank Arab-Malaysian Berhad. Terbukti gerak hati beliau kuat, pasaraya Mydin Subang Jaya mendapat sambutan, dan selepas setahun beroperasi mereka terpaksa menambah tempat letak kereta untuk menampung jumlah pelanggan.

mendapat sambutan ramai 432

"Belajar dari kesilapan dan teruskan perjuangan. Sesebuah organisasi tak akan berkembang jika takut untuk melakukan kesalahan," - Datuk Ameer Ali Mydin

Kejayaan itu menjadi satu batu loncatan kepada Datuk Ameer dan kumpulan syarikat Mydin untuk memperluaskan lagi empayar mereka. Kini pihak bank sudah mempercayai pelan perniagaan yang dibawa oleh Mydin, tiada halangan lagi untuk Datuk Ameer membuka cawangan demi cawangan bermula daripada pasaraya besar sehinggalah kedai runcit dan pasaraya mini, mengikut lokasi.

meriah di mydin

Apa yang hanyalah sebuah kedai runcit berdindingkan kayu kini telah bertukar menjadi perniagaan pasaraya besar bernilai bilion ringgit. Bermula dengan dirinya sendiri, Mydin Mohamed, dan juga bantuan isteri serta anak-anaknya, kini kumpulan syarikat ini mempunyai lebih daripada 6,500 pekerja dengan perolehan tahunan sebanyak RM3 billion. 

Dan daripada hanya menjual mainan kanak-kanak, barangan rumah dan runcit, kini Mydin meniagakan hampir setiap aspek perniagaan peruncitan.

sam s groceria

sam s deli

Segala pengorbanan dan kegigihan kini terbalas apabila Mydin Mohamed Holdings kini mempunyai lebih daripada 270 buah kedai, termasuklah 18 pasaraya besar, 16 emporium, 3 bazaar, 48 pasar mini, 8 kedai serbaneka (MyMart), 6 cawangan beroperasi sebagai Mydin Mart, 7 kedai runcit premium (SAM's Groceria), 2 kedai makan premium (SAM's Deli), dan terbabit dengan 162 buah Kedai Rakyat 1Malaysia di serata Malaysia.

Dan bagi yang tak tahu SAM's Groceria dan SAM's Deli adalah milik Mydin Mohamed Holdings, SAM adalah singkatan kepada "Saya Anak Malaysia".

datuk wira dr ameer ali mydin

Datuk Ameer juga berkongsi rahsia kejayaan Mydin. "Adalah sangat penting untuk kita tahu apa yang kita buah, dan buat apa yang kita tahu. Kami sudah lama menceburi bidang peruncitan dan borong, dan kami berpegang kepada kepakaran kami", jelas Datuk Ameer Ali.

Beliau juga memberitahu kita harus mempunyai kemahuan untuk berjaya, dan rajin serta bijak dalam berbuat sesuatu. Tiada apa yang datang bergolek, kita harus kuat bekerja dan berkorban masa bersama keluarga serta hidup kita. "Tak ada jalan mudah,", tambahnya lagi.


tags : , , , , , , , ,








Hakcipta iluminasi.com (2017)